FATIN Shidqia Lubis, 18, mungkin nama yang asing bagi industri muzik tempatan apatah lagi dia adalah seorang penyanyi daripada Indonesia.
Namun, di tanah airnya sendiri, nama Fatin itu tidak lagi asing apatah lagi dia merupakan pemenang rancangan realiti X-Factor Indonesia dan merupakan penyanyi dengan imej yang berhijab.
Sukar sebenarnya hendak membandingkan dia dengan penyanyi Indonesia yang lain kerana rata-ratanya mempertaruhkan imej seksi untuk meneruskan kelangsungan mereka dalam industri seni.
Justeru, nama-nama artis tempatan seperti Datuk Siti Nurhaliza, Shila Amzah, Najwa Latif dan Yuna yang boleh menjadi perbandingan kepada penyanyi ini.
Lantas, bila diajukan kepada Fatin tentang nama-nama artis berhijab tempatan, dia ternyata seronok dan mengenali mereka tidak seperti rakan artis senegaranya yang lain, asyik-asyik menyebut nama yang sama sahaja.
Penyanyi seperti Siti Nurhaliza itu memang saya sudah kenal sejak kecil lagi dan apabila dia sudah berhijab kini, ia memberi saya keyakinan yang positif," jelasnya.
Tambah Fatin lagi, dia merupakan peminat baharu terutamanya kepada penyanyi Najwa Latif, Shila Amzah dan Yuna.
Jika Yuna itu, genre muziknya agak berbeza sedikit dengan saya kerana saya lebih ke arah pop tetapi saya lebih suka untuk melihat imejnya.
Begitu juga dengan penyanyi lain seperti Shila Amzah dan Najwa Latif, ternyata mereka bukan sahaja tampil dengan imej berhijab, malah vokal mereka juga amat bagus sekali," katanya.
Fatin mengakui, antara artis tempatan berhijab yang pertama menjadi tumpuannya ialah Shila kerana kejayaan yang dimiliki penyanyi itu sehingga ke peringkat antarabangsa.
Artis Malaysia berhijab pertama yang saya kenal adalah Shila Amzah dan saya kenal dia melalui YouTube. Lantas daripada situ, saya mula kenal dengan Najwa Latif.
Saya mengikuti perkembangan Shila Amzah sehingga dia masuk ke pertandingan di China. Dia bukan sahaja berbakat besar dalam menyanyi, tetapi juga begitu pandai mengawal keadaan ketika di atas pentas.
Keperibadiannya yang lucu itu membuatkan saya meminatinya tetapi jujurnya, untuk mengikuti jejak langkah seperti dia itu masih lagi jauh buat saya," jelasnya.
Masih hijau dalam industri seni, Fatin sempat menyatakan keinginannya untuk menjadi seperti Shila Amzah yang berjaya mengecapi kejayaan di peringkat antarabangsa.
Melihat kejayaan dia sudah pasti saya mahu menjadi sepertinya. Tetapi saya yakin, hendak menjadi seperti dia, langkah itu harus disusun daripada bawah.
Saya tetap meneruskan langkah saya daripada bawah. Mencipta nama secara perlahan dan kemudian mahu dikenali di peringkat antarabangsa seperti dia," jujurnya.
Dalam satu temu bual bersama media Indonesia, Tribunnews.com baru-baru ini, Fatin mengakui keputusan untuk berhijab bukanlah sesuatu yang mudah baginya.
Keinginan untuk berhijab adalah sudah muncul ketika saya duduk di bangku sekolah menengah lagi, tetapi ada sahaja halangan yang saya hadapi termasuk konflik dalaman diri," jelasnya.
Akhirnya, ketika menuntut di Sekolah Menengah Atas, jelasnya, barulah dia membuat keputusan untuk berhijab terus.
Ketika awal-awal membuat keputusan untuk berhijab terus, banyak godaan yang saya terima termasuk cemuhan daripada rakan-rakan.
Namun, lama-kelamaan, cemuhan itu semakin kurang dan rakan-rakan menerima keputusan saya untuk berhijab," jelasnya yang kini menjadi ikon remaja busana muslimah di Indonesia.