Sebagai selebriti yang memang sudah lama berhijab sejak dari awal kemunculan di dalam industri, penyanyi dan pengacara Heliza Helmi berpendapat peminat atau pihak luar sewajarnya meraikan artis yang mahu mula berhijab dan bukannya terus cepat menghukum.
Heliza yang kini sedang rancak dengan aktiviti ceramah motivasi dan dakwah itu berkata sekiranya cara atau pendekatan yang digunakan oleh seseorang artis itu nampak kurang kena dengan caranya, tidak salah kita sebagai peminat memberikan teguran tetapi tegurlah secara baik.
“Pada saya, orang yang baru nak berhijab terutama artis, kita kena raikan dan sokong mereka dan di situlah pentingnya motivasi oleh orang-orang di sekeliling untuk mengajar cara pemakaian yang betul.
“Banyak cara untuk kita menegur secara baik tetapi bukan terus menghukum. Biarlah kita tegur-menegur secara berhemah apabila bercakap secara personal dengan dia dan dengan ini sedikit demi sedikit mereka akan memakainya dengan betul dan teratur mengikut lunas-lunas Islam,” katanya kepada murai.com.my.
Heliza diminta mengulas apabila baru-baru ini terdapat segelintir artis yang telah dirkitik peminat apabila pemakaian mereka kurang sesuai dengan imej bertudung, malah ada juga dikecam kerana imej bertudung mereka tidak sempurna.
Dalam perkembangan lain, Heliza baru pulang dari menyertai misi kemanusian dalam membantu umat Islam di negara Timur Tengah yang kini sedang bergolak.