Gambit, Afiq sedar diri


KACAK, berbakat dan sarat dengan kontroversi adalah pakej yang diusung oleh dua pelakon, Gambit Saifullah dan Afiq Muiz. Gambit dipandang negatif sebelum ini kerana sikap keras kepalanya, memaki peminat di laman sosial, kontroversi muzik video penyanyi Prema Yin arahannya yang didakwa berunsur lucah dan dibenci peminat gara-gara sikap antagonis yang dibawanya dalam program realiti Fear Factor.

Wajah Afiq Muiz pula terkenal satu Malaysia gara-gara pergaduhan dengan ibu kandungnya sendiri, bahkan dia digelar si Tanggang moden.

Bertemu dengan kedua-dua mereka pada majlis pelanca- ran wajah baharu sebuah portal hiburan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! sempat menggali isi hati mereka selepas episod kontroversi yang melanda mereka berakhir.




Gambit lebih matang

Dua tahun tempoh Gambit hilang daripada direktori dunia hiburan tempatan. Bukan merajuk, sebaliknya dia merehatkan diri dan baru kembali daripada bercuti di Eropah selama sebulan.

Lama tidak bersua dengan dirinya, imej Gambit kini telah berubah. Tidak lagi dengan imej rambut panjang paras bahu, sebaliknya dia kini selesa tampil dengan rambut pendek yang dipotong kemas. Sejujurnya, Gambit tampak lebih segak. Namun, imej lelaki nakal dan antagonis tidak dapat dipisahkan daripadanya.

Gambit atau nama sebenarnya, Mohd. Saifullah Rosli, 29, tidak melatah saat diajukan soalan berhubung kontroversi yang pernah melandanya, sebaliknya mengakui kontroversi itu telah banyak mematangkan dirinya.

"Kontroversi telah banyak mematangkan diri saya. Walaupun begitu, saya masih lagi Gambit yang dahulu, tidak pernah berubah, cuma saya menjadi lebih dewasa.

"Sebelum ini mungkin faktor darah muda, emosi dan ego menyebabkan saya dengan lantangnya bersuara mengeluarkan pendapat tanpa berfikir kesannya terhadap saya," ujar pemegang diploma dalam Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Automotif itu.

Satu hal yang ingin dijelaskan, kontroversi yang berlaku kebanyakannya disebabkan salah faham. Bagaimanapun, sebagai artis Gambit sedar itulah asam garam dunia seni yang harus dihadapinya.

"Saya dibesarkan dengan pendidikan supaya menjadi lebih berani dalam semua perkara termasuk dalam meluahkan pendapat.

"Jika diluar negara, tidak ada masalah jika saya lantang bersuara dalam segala hal tetapi tidak di Malaysia kerana kita mempunyai budaya dan adat untuk cakap berlapik. Saya terlupa tentang perkara itu.

"Sekarang, sebagai artis saya sedar setiap apa yang ditulis, dituturkan dan sikap semuanya menjadi bahan perhatian. Selepas apa yang berlaku, saya kini lebih berhati-hati dalam setiap perkara," katanya.

Mengakui dirinya seorang lelaki yang pemalu bukannya sombong seperti dicap oleh peminat dan pihak media sebelum ini, dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap peminat yang mengkritiknya sebelum ini.

"Tidaklah, sebagai artis, saya perlukan peminat. -Apa yang telah berlaku itu saya simpan sebagai ingatan dan pengajaran berguna untuk saya," balasnya.


GAMBIT akan berehat sehingga bulan Jun kerana menjalani pembedahan sendi lutut.

Jalani pembedahan

Kini, Gambit dalam proses rehat yang panjang akibat kecederaan meniskus (meniscus) di sendi lutut kanannya. Dalam minggu ini dia akan menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Damansara, Selangor untuk merawat kecederaannya itu.

"Saya seorang yang aktif bersukan dan kecederaan ini biasa berlaku ke atas atlet. Meniskus lutut saya tidak berada di posisi yang betul dan mengakibatkan saya rasa sakit apabila melakukan aktiviti lasak.

"Selepas pembedahan, saya diarahkan oleh doktor untuk berehat dan tidak bekerja sehingga bulan Jun," ujarnya.

Sambungnya, meskipun berehat tetapi dia masih lagi meneruskan kerja-kerja belakang tabir syarikat produksinya iaitu Eightball Production Sdn. Bhd.

"Mungkin orang lihat saya tidak aktif berlakon, sebaliknya saya aktif menerbit beberapa program di bawah syarikat sendiri.

"Alhamdulillah, rezeki masih ada dan tidak pernah putus untuk saya. Walaupun bergelar penerbit, saya tidak akan berhenti berlakon dan masih menerima tawaran lakonan daripada syarikat produksi yang lain," ucapnya.

Afiq kembali kepada ibu

Sekitar Mei tahun lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan kontroversi anak derhaka yang melibatkan pelakon Afiq Muiz atau nama sebenarnya, Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, 22, dengan ibunya Hasliza Mohd. 49.

Kontroversi pergaduhan antara ibu dan anak itu akhirnya selesai apabila Afiq memberitahu yang dia telah berbaik dengan ibunya pada awal Januari lalu. Bahkan kini, dia juga telah kembali menetap bersama ibunya.

"Saya telah insaf dan memohon ampun daripada ibu. Syukurlah ibu telah memaafkan saya dan sekarang kami tinggal bersama.

"Kontroversi itu telah mematangkan saya sebagai seorang anak dan seorang lelaki. Sebelum ini, saya cepat melenting dan lantang bersuara tanpa berfikir panjang.

"Sekarang saya lebih lega, tenang dan berfikir panjang dalam melakukan sesuatu perkara. Kembali bersama ibu umpama beban yang berat telah jatuh daripada bahu saya," ujarnya yang enggan dikaitkan lagi dengan pelakon Eina Azman.

Apabila diminta berkongsi pengalamannya apabila digelar orang ramai sebagai anak derhaka, Afiq terdiam sebentar mencari jawapan yang tepat barangkali.

Lama dia berfikir kemudian bersuara: "Ini ujian Allah kepada saya yang ketika itu nama sedang meningkat naik. Saya bersyukur Allah berikan ujian itu kepada saya ketika muda supaya saya lebih berpijak di bumi yang nyata.

"Sepanjang kontroversi itu, saya mengakui fikiran saya agak kusut dan jiwa tidak tenteram. Mungkin dengan ujian itu, tidak secara langsung telah menyedarkan orang lain yang membaca cerita tentang saya supaya kembali kepada ibu mereka.

"Nasihat saya kepada mereka yang mungkin lupa dan bergaduh dengan ibu, sila kembali dan mohon maaf pada ibu. Mereka yang melahirkan kita, tidak mungkin mereka membenci anak mereka sendiri," katanya yang berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.


BERBAIK semula dengan ibunya merupakan suatu rahmat buat Afiq dan dia berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya.

Simpan niat

Walaupun sibuk dengan kerjaya lakonan, Afiq memberitahu, dia telah menyimpan niat untuk membawa ibunya menunaikan ibadah umrah sekitar Januari tahun depan.

"Sekarang saya sedang menyimpan wang untuk membawa ibu saya menunaikan umrah. Saya pun tidak pernah menjejakkan kaki ke Mekah.

"Jika ada rezeki dan dimakbulkan Allah, saya bersama ibu akan menunaikan umrah pada Januari depan. Rasanya itu hadiah terbaik daripada saya kepada ibu," ucapnya.

Selain itu, sempena dengan sambutan Hari Ibu, Mei ini, Afiq merancang untuk menyambut hari lahir bersama ibunya.

"Saya lahir pada 1 Mei manakala ibu pada 14 Mei. Tarikh hari lahir kami tidak jauh, rasanya saya akan sambut bersama ibu.

"Tidak perlu sambutan yang besar, sebaliknya hanya kami sekeluarga, pengisian itu lebih bermakna daripada sebuah majlis yang gah," tuturnya.

Bercakap tentang kerjaya lakonannya meskipun namanya pernah dibenci khalayak buat seketika, namun, rezekinya tidak pernah putus.

Akuinya, walaupun ketika namanya sedang panas dengan kontroversi, dia masih menerima tawaran lakonan dan terbaharu dia bakal ke New Zealand untuk menjalani penggambaran sebuah drama di sana.

"Alhamdulillah, masih banyak produksi percayakan bakat lakonan saya dan saya juga tidak memilih tawaran yang diberikan asalkan ia sesuai dengan saya.

"Kontrak sebagai artis residen syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. yang tersekat sebelum ini juga telah di sambung dan saya akan terlibat dengan beberapa buah projek bermula Jun," bicaranya yang bakal muncul dengan drama seperti Gerimis Salju Demi Ana dan Dingin Sahara.

Isu saman

Menjawab isu bakal disaman oleh syarikat pengurusannya, Afiq berkata, tiada sebarang masalah antaranya dengan syarikat milik Datin Zaiton Mohd. Jiwa itu.

Malahan ketika Kosmo! menghubunginya, Afiq sedang berada dalam mesyuarat bersama Datin Zaiton di pejabat Global Station.

"Tidak ada apa yang berlaku. Semuanya baik sahaja antara saya dan Global Station," jelasnya.

Sementara itu, Datin Zaiton turut memberitahu, pihaknya tidak akan menyaman Afiq dan menyifatkan apa yang berlaku disebabkan salah faham.

"Afiq masih lagi artis kami. Seka- rang kami sedang berbincang projek seterusnya bersama Afiq.

"Apa yang berlaku hanya salah faham. Sekarang Afiq terikat penggambaran dengan produksi lain. Jadi, pihak Global harus tunggu giliran untuk projek seterusnya," ujarnya.

Tambah Zaiton, Afiq masih mempunyai baki projek yang harus diselesaikan mengikut kontrak yang ditandatangani.
Previous Post Next Post