Spider-Man 2, manusia berkuasa elektrik


SPIDER-MAN kini berhadapan dengan musuh baharu bernama Electro.

BAGI mereka yang sudah mengikuti siri filem Spider-Man sebelum ini seperti Spider-Man (2002), Spider- Man 2 (2004), Spider-Man 3 (2007) dan The Amazing Spider-Man (2012) pastinya perasan tentang kelainannya berbanding filem super hero lain.

Misalnya, setiap watak antagonis atau musuh kepada Spider-Man pada mulanya merupakan seorang individu yang baik tetapi akhirnya berubah menjadi makhluk aneh sehingga mengancam nyawa manusia.

Dalam filem The Amazing Spider- Man 2 yang memulakan tayangan di pawagam hari ini, konsep yang sama masih lagi dikekalkan apabila musuh Spider-Man kali ini iaitu Electro sebenarnya seorang lelaki lurus bendul bernama Max Dillon yang bekerja sebagai jurutera elektrik di syarikat Oscorp Industries.




Selain itu, Max juga merupakan seorang peminat tegar Spider-Man dan pada peringkat awal penceritaan turut dipaparkan aksi Spider-Man yang telah menyelamatkan Max daripada dilanggar kereta.

Cuma, nasib agak tidak menyebe- lahi Max apabila dia mengalami kejutan elektrik dan terjatuh dalam sebuah bekas yang dipenuhi dengan belut elektrik semasa cuba membaiki kerosakan yang berlaku di makmal tempatnya bekerja.

Kemudian pihak atasan cuba menyembunyikan jasad Max kerana bimbang saham syarikat akan jatuh serta semua rekod peribadi Max telah dipadam.

Bagaimanapun, Max yang kembali hidup dengan memiliki kuasa mampu menyerap tenaga elektrik, telah melepaskan diri dan merayau-rayau di kawasan tumpuan orang ramai.

Bagaimanapun, kemunculannya itu telah menimbulkan kebimbangan ramai sehinggalah Spider-Man datang untuk memberikan bantuan memandangkan keadaan mula huru-hara sehingga menimbulkan bahaya.

Pada mulanya Max cuba meminta pertolongan Spider-Man lantaran perubahan yang berlaku terhadap dirinya itu tetapi akibat tindakan tergesa-gesa seorang anggota polis yang melepaskan tembakan telah membuatkan Max marah dan beranggapan Spider-Man telah mengkhianati dirinya.


LAKONAN Emma Stone sebagai Gwen Stacy menyuntik elemen penuh dramatik dalam filem The Amazing Spider-Man 2.

Cinta pasangan

Itu merupakan antara sebahagian perjalanan cerita yang ditampilkan dalam filem arahan Marc Webb, seorang pengarah berusia 39 tahun yang sebelum ini pernah diberi tanggungjawab untuk menghasilkan sekuel kedua selepas The Amazing Spider-Man dua tahun lalu.

Dalam filem ini, plotnya tidak tertumpu kepada kisah permusuhan antara Spider-Man dan Electro sahaja, malah ia menceritakan tentang kisah cinta antara Spider-Man atau Peter Parker yang dibintangi Andrew Garfield dengan kekasihnya, Gwen Stacy lakonan Emma Stone.

Hubungan cinta pasangan tersebut telah berakhir kerana Peter sering dibayangi oleh ayah Gwen yang telah mati dan melarangnya mendekati Gwen setelah mengetahui bahawa Peter merupakan Spider-Man.

Tidak ketinggalan juga paparan mengenai hubungan persahabatan yang terjalin sejak zaman persekolahan antara Peter dan Harry Osborn, pewaris kepada Oscorp Industries.



Lari daripada bayangan

Namun begitu, Peter berdepan dengan konflik apabila sahabatnya itu meminta pertolongannya mendapatkan darah Spider-Man bagi merawati penyakit ganjil yang dihidapinya dan boleh membawa maut.

Namun, apabila permintaannya itu tidak dapat ditunaikan oleh Spider- Man, ia menyebabkan Harry berpakat dengan Electro untuk memusnahkan Spider-Man.

Selain ketiga-tiga plot tersebut, satu lagi tarikan dalam filem ini apabila penonton akan didedahkan tentang identiti sebenar ibu bapa Peter dan kaitannya dalam Oscorp Industries sehingga disingkirkan.

Masih menggunakan khidmat Marc untuk sekuel ini serta Andrew dan Emma sebagai teraju utama, The Amazing Spider-Man 2 turut dibintangi Jamie Foxx (Max Dillon/Electro), Dane DeHaan (Harry Osborn), Colm Feore (Donald Menken), Campbell Scott (Richard Parker) dan Embeth Davidtz (Mary Parker).

Melihat kepada lakonan yang ditampilkan oleh Andrew sebagai Spider-Man, ia wajar dipuji kerana lakonannya yang semakin bertambah baik berbanding filem terdahulu.

Ia nyata berjaya lari daripada bayangan watak Spider-Man yang pernah dibawakan oleh Tobey Maguire sebelum ini.

Secara keseluruhannya, filem ini tampil dengan aksi yang mendebarkan, terutamanya membabitkan pertarungan Spider-Man dengan kedua-dua musuhnya itu tetapi penamatnya mampu membuatkan penonton berasa sedih.
Previous Post Next Post