Kilauan Emas Kesemua Finalis Berpotensi


WAK GAN merupakan peserta paling veteran dalam Kilauan Emas musim keempat. Dia berusia 67 tahun.

TUA-TUA keladi, makin tua makin menjadi. Mungkin pepatah ini sangat sesuai untuk menggambarkan bakat yang ada di dalam diri kesemua 13 finalis program Kilauan Emas musim keempat yang dilihat sangat berpotensi untuk dikomersialkan.

Walaupun program realiti televisyen ini menyasarkan kepada golongan pertengahan dan warga emas, tidak keterlaluan jika dikatakan kesemua mereka memiliki suara emas setanding penyanyi profesional.

Mungkin disebabkan tidak banyak platform untuk mengetengahkan bakat mereka, menyebabkan golongan warga emas memendamkan bakat mereka daripada menjadi santapan umum.

Baru-baru ini, konsert Kilauan Emas membuka tirainya bertempat di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.




Berbanding dengan musim yang terdahulu, pujian harus diberikan kepada juri pemilihan Kilauan Emas yang terdiri daripada Siti Hajar, Datuk Sri Wirama Adnan Abu Hassan dan Ayai Ilusi yang ternyata menjalankan tugas dengan baik.

Barisan finalis ternyata tidak menghampakan peminat kerana setiap seorang daripadanya mempunyai bakat yang sangat besar dalam bidang nyanyian.

Kesemua mereka telah membuktikan umur bukan penghalang untuk seseorang itu mencapai cita-cita mereka bagi bergelar seorang penyanyi.

Keterujaan itu turut dikongsikan penyanyi legenda, Datuk Hattan selaku juri khas pada malam pembuka tirai tersebut yang berkata, setiap finalis mempunyai kelebihan masing-masing dan ia sememangnya di luar jangkaannya.

“Saya sangat terkejut kerana kesemua finalis sangat berpotensi dan mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyian. Saya tidak sangka walaupun berumur lewat 40-an, stamina dan tenaga yang dilontarkan setaraf penyanyi profesional.

“Menjadi persoalan kepada saya mengapa sebelum ini bakat mereka tidak pernah diketengahkan dan mereka mengambil masa yang lama untuk mencurahkan bakat mereka buat tontonan umum,” katanya yang ditemui sebaik konsert pertama Kilauan Emas berlangsung.

Bagaimanapun, Hattan menambah, masih terlalu awal untuk menilai kesemua finalis ini kerana mereka masih belum diberikan lagu tugasan yang dilihat akan mencabar diri masing-masing kelak.

“Pada minggu pertama, temanya bebas. Jadi, kesemua finalis diberi kebebasan untuk memilih lagu mereka mengikut keselesaan sendiri. “Kita tidak dapat melihat cabaran mereka sehinggalah kita memberi lagu tugasan mengikut tema setiap minggu kepada mereka,” ujar pemilik nama sebenar Mohd. Shukri Shahabudin itu.


GAMIT perhatian... Datuk Ramli M.S, Ziana Zain dan Datuk Hattan teruja dengan persembahan 13 peserta yang dianggap mempunyai potensi tersendiri.

Dalam pada itu, juri tetap, Datuk Ramli MS melihat setiap finalis mempunyai bakat yang tersendiri.

Memandangkan juri diberi kuasa untuk memberi markah sebanyak 70 peratus kepada finalis, penjurian mestilah dilakukan dengan adil dan saksama.

“Melihat kepada persembahan pertama, kebanyakan finalis mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyian, tidak kurang pula segelintir yang masih agak amatur dalam bidang nyanyian.

“Jadi, pendekatan yang akan dilakukan ialah penjurian dilakukan mengikut bakat yang ada dalam setiap diri seseorang finalis itu. Tidak adil jika hendak dibandingkan antara finalis lain kerana setiap daripada mereka mempunyai potensi masing-masing,” ujarnya.

Kilauan Emas musim keempat terdiri daripada 13 finalis yang berumur di antara 41 hingga 67 tahun.

Program tersebut juga membariskan empat juri yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air termasuk pengarah muzik terkenal Datuk Ramli M.S, penyanyi tersohor Ziana Zain dan seorang juri undangan yang akan bertukar ganti setiap minggu.

Sementara itu, individu lain yang turut terlibat ialah Adnan Abu Hassan yang bertindak sebagai guru nyanyian, Siti Hajar (guru vokal), Shah (Guru muzik) dan Ahmad Kassan (Guru Tarian).

Program ini masih mengekalkan format yang sama iaitu pemarkahan dinilai sebanyak 70 peratus daripada juri tetap manakala 30 peratus melalui undian penonton menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ia juga masih mengekalkan pengacara musim sebelum ini iaitu penyampai radio Sinar FM, Raja Azura.

Hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry berserta sebuah trofi menanti juara.

Sementara itu, pemenang tempat kedua bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan sebuah kereta Nissan X Gear serta sebuah trofi manakala tempat ketiga akan menerima wang tunai RM20,000 dan trofi.

Kilauan Emas musim keempat akan disiarkan secara langsung menerusi saluran 105 dan siaran serentak di saluran 135.
Previous Post Next Post