Hafiz Hamidun
TIGA bulan lalu, hampir 9,000 penonton membanjiri Penang International Sports Arena (Pisa), Pulau Pinang, sempena konsert, Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun.
Sambutan luar biasa yang diterima daripada masyarakat khususnya di Penang memberi semangat kepada penyanyi terkenal ini dalam usaha meneruskan misi dakwahnya melalui alunan lagu.
Malah, tidak dinafikan, lagu-lagu zikir yang dipertaruhkan Hafiz Hamidun, 30, sejak 2012 mencipta fenomena tersendiri.
Ini menggambarkan, penerimaan lagu-lagu zikir memberi petanda baik kepada perkembangan masyarakat akan lagu berkonsepkan religi.
Mana tidaknya, album Zikir Terapi Diri mencatat jualan melebihi 200,000 unit dan diedarkan di seluruh dunia melalui iTunes serta mencatat jualan tertinggi iTunes Malaysia di sepanjang 2012 dan 2013.
Manakala, album Zikir Terapi Diri 2 pula terjual lebih daripada 60 ribu unit dalam masa enam bulan.
Kejayaan kedua-dua album itu memberi semangat kepada penyanyi ini untuk terus menyediakan halwa telinga buat peminat serta pendengar.
Bakal tampil dengan album Zikir Terapi Diri 3, Hafiz turut mempertaruhkan kolaborasi bersama artis Muslim kelahiran United Kingdom, Saif Adam.
Turut terbang ke London bagi memenuhi tuntutan rakaman, Hafiz yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, tampil berkongsi mengenai album terbarunya itu menerusi aplikasi, WhatsApp.
"Alhamdulillah, tidak lama lagi saya akan memperkenalkan album Zikir Terapi Diri 3. Dalam album ini, saya memuatkan 10 lagu kesemuanya.
"Satu daripadanya ialah lagu duet bersama Saif Adam dan saya turut menjalani sesi rakaman di sini (London).
"Namun, saya tidak dapat bercerita lebih lanjut mengenai album ini kerana kebanyakan daripada tajuknya juga belum diputuskan lagi," katanya yang dijadualkan bakal pulang ke tanah air pada Jumaat (hari ini).
Makan Malam Amal & Konsert Mikraj Cinta
Walaupun sibuk dengan pembikinan album tersebut, namun Hafiz turut terlibat dalam beberapa program lain termasuk konsert.
Menurut Hafiz yang juga bekas ahli kumpulan nasyid, UNIC, ini, dia bakal terlibat dalam program, Makan Malam Amal, sempena sambutan Hari Ibu.
"Pada 10 Mei (Sabtu) ini, saya akan terlibat dalam majlis Makan Malam Amal di PWTC. Program itu merupakan anjuran Radio IKIM dan Islamic Aid Malaysia.
"Selain saya, beberapa selebriti lain juga turut terlibat termasuk Saif Adam dan PU Rahmat. Pada 29 Mei ini pula, saya bersama Pu Rahmat dan Sharifah Khasif akan menjayakan Konsert Mikraj Cinta, anjuran Mutiara JCorp.
"Konsert itu akan berlangsung di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru pada jam 8.30 malam. Diharapkan, sesiapa yang berkelapangan bolehlah datang memberi sokongan," kata artis rakaman Arteffects International ini.
Tiket-tiket yang disediakan berharga dari RM35, RM65, RM110 dan RM160. Pembelian tiket konsert berkenaan boleh dibuat di www.ticket2u.biz.
Sebelum ini, Hafiz pernah membuat persembahan di beberapa negara lain termasuk Singapura, Indonesia, Brunei, Turki, United Kingdom, India dan beberapa negara di timur tengah.
Kunci mulut soal cinta?
Sebelum ini, pelantun lagu, Jodoh Berdua, ini pernah dikatakan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama gadis dari Indonesia.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila wanita itu sebenarnya sudah berpunya.
Pun begitu, ada khabar angin yang mengaitkan Hafiz dengan penyanyi yang juga penceramah bebas, Heliza Helmi.
Enggan terburu-buru dan tersilap langkah, Hafiz mengambil keputusan untuk mengunci mulut daripada terus memberikan sebarang kenyataan.
Namun, sebelum ini dalam perbualan terdahulu, Hafiz memberitahu bahawa dia juga teringin untuk memiliki keluarga sendiri atas faktor umur.
"Umur saya sudah mencecah 30 tahun dan ramai dalam kalangan rakan-rakan saya sudah punyai keluarga dan anak.
"Namun, saya percaya pada jodoh dan ketentuan daripada ALLAH SWT," katanya sebelum ini.