TARIKH 4 Mei sememangnya menjadi tarikh penting bagi peminat Star Wars yang dipanggil Perayaan 4 Mei kerana kesemua filem Star Wars dikeluarkan pada bulan Mei.
Baru-baru ini bertempatan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, 501st Legion bersama peminat setia Star Wars tampil meraikan hari istimewa ini bersama.
Pegawai Pemerintah Markas 501st Legion Malaysia, Julian Kong berkata, 4 Mei diiktiraf sebagai Hari Star Wars di seluruh dunia dan ianya amat menyeronokkan apabila peminat berkumpul untuk meraikan acara tersebut.
"Ia menjadikan Star Wars begitu istimewa, dari segi kostum, koleksi barangan dan lain-lain lagi. Kami sungguh gembira dengan kehadiran peminat yang begitu ramai untuk bersama meraikan hari ini dan kami juga berharap untuk menjadikannya lebih besar dan lebih baik pada tahun hadapan," katanya.
Acara yang diadakan meliputi permainan Star Wars Academy dan Droid Hunt untuk kanak-kanak, pameran koleksi Star Wars, Pasar Lambak Star Wars serta tayangan istimewa ‘Heart of an Empire’, satu dokumentari tentang 501st Legion.
Selain itu, peminat dapat menikmati keajaiban Star Wars apabila ahli 501st Legion tampil dalam kostum lengkap Storm Troopers, pegawai Imperial dan juga Darth Vader.
Sejak filem pertama ‘Star Wars IV: A New Hope’ yang dikeluarkan pada tahun 1977, pertarungan epik antara kebaikan dan kejahatan yang berlatar belakang kapal angkasa, dan pedang laser telah menjadi fenomena global yang berjaya menarik minat berjuta orang di seluruh dunia dan mencetuskan pelbagai rekaan dan penceritaan dalam alamnya.
Seiring piagam 501st Legion, Julian berkata, semua keuntungan dari acara ini akan didermakan kepada badan kebajikan.
"Untuk 4 Mei, kami telah memilih Montfort Boys Town yang memberikan pendidikan, kebajikan, kemudahan kediaman dan latihan kemahiran industri kepada kanak-kanak lelaki kurang bernasib baik," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad berkata pihaknya amat berbangga kerana dapat melibatkan diri dalam Perayaan 4 Mei dan bekerjasama dengan 501st Legion.
“Ramai pengunjung yang menghadiri acara ini menjejakkan kaki di perpustakaan ini untuk kali pertama. Kami harap mereka akan sentiasa berkunjung ke sini pada masa depan," ujarnya.