Imam Muda Azhar usaha melahirkan agen perubahan



TAMATNYA program realiti Imam Muda terbitan Astro Oasis, benar-benar memberikan kesan yang cukup besar buat anak muda ini.

Masakan tidak, program realiti berkenaan membawa perubahan besar kepada perjalanan dakwah Muhammad Khairul Azhar Ghazali atau lebih mesra disapa sebagai Azhar ini.

Bermula dengan hanya sebagai penceramah kampung, perjalanan dakwah Azhar kini bukan saja telah menjejaki hampir ke seluruh negeri di dalam negara, malah mula menembusi segenap daerah di luar negara seperti Dubai, Australia, Turki, Arab Saudi dan lain-lain untuk mencari dan memberi ilmu.






"Program Imam Muda memberi perbezaan yang sangat ketara daripada sebelum ini.

"Saya mula mendapat undangan daripada luar yang bertubi-tubi.

"Ini adalah satu landasan yang sangat baik bagi diri saya untuk meneruskan usaha dakwah bukan saja kepada masyarakat dan golongan tertentu, malah ke seluruh negara dan semua lapisan masyarakat," katanya.

Biarpun baru berusia 25 tahun, Azhar ternyata mempunyai impian besar dalam meneruskan cita-citanya iaitu menyebarkan agama Islam kepada seramai yang mungkin.

Selain memberi ceramah di masjid, surau dan majlis jemputan yang dianjurkan, Azhar turut melengkapkan sasaran dakwah kepada belia dengan memberi motivasi di peringkat sekolah dan institusi pengajian.

"Umur saya adalah satu kelebihan dalam memahami keperluan dan kehendak golongan sasar agar ajaran Islam dapat disampaikan dengan lebih berkesan," kata pengacara Khabar Haji ini.

Dalam pada itu, Azhar turut berpendapat, seorang pendakwah juga perlu untuk popular.

"Rasulullah SAW juga adalah seorang yang popular. Popular itu bukanlah sesuatu yang hendak dikejarkan.

"Tetapi, sebagai pendakwah, gunakan populariti itu sebagai satu daya penarik dan jangan disalah guna. Jaga niat awal," katanya.


Pengasas bersama sekolah pondok

Pengalamannya sebagai bekas pelajar sekolah pondok, benar-benar memberi keistimewaan pada diri Muhammad Khairul Azhar Ghazali atau lebih mesra disapa sebagai Azhar ini.

Bekas pelajar Madrasah Misbah Al-Falah itu kini menjadi pengasas bersama pusat Tahfiz dan pengajian Islam, Teratak Ilmu Haji Abdul Majid di Kuala Ketil, Kedah sejak tiga tahun lalu.

"Pada awalnya, ia dimulakan dengan aktiviti Usrah di kalangan orang-orang tua di sekitarnya.

"Kemudian, kami mulakan dengan kuliah al-Quran yang mana kami menjemput anak-anak muda sekitar dengan kadar bayaran yang sangat rendah sehinggakan ada yang tidak membayar pun.

"Fokus utama kami waktu itu, hanyalah mengajar membaca al-Quran kepada kanak-kanak dan mengajar fardu ain pada mereka yang dewasa," katanya.

Pun begitu, apabila sudah masuk tahun ketiga, pihaknya mula berfikir untuk melahirkan agen perubahan.

Sehubungan itu, Azhar mula membuka ruang untuk membangunkan sekolah pondok sekali gus mengendalikan Kitab Turath sebagai teras pengajaran.

Sehingga kini, sudah ada 25 murid yang mengikuti pengajian.

"Kami mementingkan dari segi kualiti pelajar yang dilahirkan dan bukannya kuantiti.

"Setiap pelajar ini dilatih daripada sudut penguasaan dan pemahaman al-Quran, pengetahuan fardu ain dan juga nilai-nilai kepimpinan," katanya.

Tambahnya lagi, pengambilan pelajar di Teratak Ilmu Haji Abdul Majid adalah ketika usia mencecah 12 atau 13 tahun dan tamat pembelajaran empat hingga enam tahun kemudian.

"Yuran yang dikenakan hanyalah RM200 dan terdapat 10 tenaga pengajar," kata bekas Imam Muda ini.

Jelasnya, matlamat utama adalah untuk melahirkan agen perubahan yang mampu berdakwah kepada orang ramai.


Sibuk berniaga

Pada masa sama, Azhar turut sibuk menguruskan perniagaan yang ditubuhkan secara bersama dengan rakan-rakannya, Mahabbah Management & Trading (Mahabbah), kira-kira tiga tahun lalu.

Malah, dia kini dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Mahabbah yang berfokus kepada produk pemakanan sunnah.

Jelasnya, Mahabbah diwujudkan bagi menyeimbangkan perjalanan pengurusan dan pentadbiran pusat Tahfiz berkenaan.

Katanya lagi, Mahabbah mengeluarkan produk kombinasi terapi al-Quran dan Selawat Nabi.

"Buat masa ini, kita sudah ada 10 produk seperti Air Selawat, Kismis Minda, Cocoa Mahabbah, Kopi Guarana, Biskut Oat, Kekacang Genis dan Coklat Mahabbah.

"Alhamdulillah, maklum balas daripada pengguna sangat positif dan kami yakin dengan penggunaan ayat-ayat al-Quran sebagai rawatan apatah lagi apabila kami melakukannya sebagai terapi dan niat untuk merawat orang," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga kini sedang dalam perancangan untuk memasuki bidang baharu Mahabbah iaitu pakaian Muslimin dan Muslimah yang akan mula dipasarkan menjelang Ramadan.

"Reka bentuk pakaian berkenaan adalah kombinasi di antara sunnah dan trend.

"Berdasarkan pemerhatian daripada projek perintis yang dijalankan, kami dapati maklum balas yang diterima tidak mahu pakaian berkenaan terlalu moden.

"Justeru, kami cuba untuk memenuhi kehendak setiap pelanggan termasuklah kanak-kanak," katanya yang kini sedang menghabiskan pengajiannya dalam peringkat Sarjana di Universiti kebangsaan Malaysia (UKM).


Bantu sekolah di Gaza

Mungkin ramai tidak tahu, Azhar juga adalah sukarelawan dalam melakukan kerja-kerja kebajikan.

Bahkan, dia baru saja pulang dari Kemboja kerana menyertai misi kemanusiaan, Prihatin Kemboja anjuran Al-I’tisam Relief Program (ARP).

Terbaharu, atas inisiatif mahu memastikan nasib rakyat Palestin terbela, Azhar bekerjasama dengan ARP sedang berusaha mengumpul dana bagi membantu dua sekolah anak yatim di Gaza.

Kata Azhar, ARP melancarkan kempen rayuan dana Misi Stand Up For Gaza II sebagai inisiatif membantu Sekolah Anak Yatim Syuhada' As-Solah dan Sekolah Anak Yatim Saiyida Khadijah daripada ditutup kerana masalah kewangan.

"Kempen ini bertujuan untuk mengumpul dana minimum RM100,000 melalui pelbagai kempen dan aktiviti yang akan dilaksanakan bermula 1 Ramadan ini hingga minggu ketiga Syawal.

"Kebanyakan penduduk Gaza berpelajaran dan sekiranya dua sekolah anak yatim ini ditutup, ia adalah kehilangan yang besar kepada generasi Gaza yang berpendidikan pada masa hadapan," katanya.

Tambahnya, kerajaan Mesir mengenakan sekatan di pintu sempadan serta merobohkan terowong-terowong yang menjadi nadi kehidupan penduduk sekali gus menyekat misi-misi bantuan ke wilayah itu.

Sumbangan untuk ARP boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam 12038-01-011-4731, Maybank 5624-7814-1589 dan CIMB 1231-000-0632-103.

Dalam perkembangan lain, Azhar kini muncul sebagai pengacara melalui rancangan Alhamdulillah di stesen TV Al Hijrah selain bakal terlibat dalam bidang penulisan skrip.
Previous Post Next Post