ENTAH apa yang berlaku dalam rumah tangga Izreen Azminda Joyah tidak pasti, tetapi diceraikan di lokasi penggambaran menunjukkan pasangan ini memang mempunyai masalah besar. Disaksikan krew produksi, bagi Joyah sendiri, Muhammad Riza tidak seharusnya berkelakuan begitu. Bergaduh di hadapan orang, sampai semua orang tahu masalah yang menimpa, apa kelebihannya juga Joyah tidak nampak? Selain menjatuhkan maruah seorang ibu kepada anaknya, sebagai lelaki Joyah tidak pasti mengapa hal rumah tangga perlu diselesaikan di tempat mencari rezeki. Maaflah kalau ada yang terasa, Joyah memang akan sokong kaum sejenis, sebab Joyah pasti lebih faham apa yang dirasai seorang wanita.
Riza juga sebelum ini pernah berumah tangga, sepatutnya mempunyai lebih pengalaman dari Izreen sendiri dalam hal rumah tangga. Sebagai lelaki, Riza perlu tahu mengapa talak itu hak mutlak suami, sudah sedia maklumkan lelaki lebih tenang membuat keputusan dalam hal-hal sebegini. Tapi menceraikan isteri dalam keadaan begitu, Joyah tidak nampak nilai kematangan yang dibawa Riza sebagai seorang yang sudah dua kali bergelar suami.
Memang dalam hubungan rumah tangga ini kita tidak boleh salahkan satu pihak sahaja kalau ada masalah menerpa, tetapi sebagai lelaki kalau beginilah caranya dia menyelesaikan masalah rumah tangga mungkin Riza sendiri perlu muhasabah diri.
Joyah mahu cakap lebih-lebih juga tidak boleh, tetapi setahu Joyah bila sudah berumah tangga itu ada bahagian yang perlu si suami dan isteri telan dan sekali-sekala luahkan. Mungkin ada penyelesaian terbaik buat mereka, Joyah harap juga Izreen sendiri tabah melalui fasa ini. Bukan apa, insan yang paling kasihan dalam kisah ini tentunya anak mereka Muhammad Adrian Umar yang belum lagi berumur setahun pun.