ANTARA adegan menarik dalam X-Men: Days of Future Past
Judul: X-Men: Days of Future Past
Pelakon: Hugh Jackman, James McAvoy, Ian McKellen, Jennifer Lawrence, Halle Berry, Michael Fassbender, Patrick Stewart dan Bingbing Fan
Pengarah: Bryan Singer
Skrip: Simon Kinberg (lakonlayar), Jane Goldman dan Matthew Vaughn Genre: Aksi/Pengembaraan, Fantasi/Sains Fiksyen. Durasi: 131 minit
Mula Tayang: 22 Mei 2014
Kebanyakan pengkritik filem di Barat menyifatkan kemunculan filem X-Men: Days of Future Past berjaya mengembalikan semula zaman kegemilangan filem yang berkisar kepada manusia mutasi itu.
Mula ditayangkan di pawagam seluruh negara Khamis lalu, boleh dikatakan, ia adalah filem francais X-Men paling menarik, efektif dan lengkap apabila menggabungkan karakter lama dan baru yang pernah ditonjolkan sebelum ini.
Sedikit sebanyak, ia mampu mengimbau kembali nostalgia dan mengubati kerinduan terhadap karakter yang pernah menghiasi filem itu.
Semuanya kerana hasil sentuhan Bryan Singer, sutradara yang pernah menghasilkan filem X-Men dan X2 lebih sedekad lalu.
Filem ini membawa penonton menelusuri terowong masa apabila menemukan kembali watak asal X-Men sewaktu zaman muda dengan generasi baru. Bersama misi untuk menyelamatkan spesies mutasi daripada dihapuskan, mereka perlu kembali ke masa lalu untuk mengubah takdir.
Tidak hanya mempamerkan babak aksi bombastik, filem ini mempunyai jiwa kerana ia menyentuh naluri kemanusiaan penonton melalui beberapa babak. Meskipun mereka dilihat pelik kerana mempunyai sifat yang berbeza dengan manusia biasa, namun penulis filem ini mahu penonton tahun mereka tetap mempunyai hati dan perasaan.
Walaupun di peringkat pertengahan filem ini sedikit mendatar perjalanan ceritanya, namun menuju kepada penghujung cerita, penulis bijak menimbulkan unsur cemas dan membuat penonton tertanya-tanya apakah begitu kesudahan filem ini.
Menampilkan semua pelakon yang sebelum ini pernah dimatikan wataknya adalah satu keputusan tepat kerana ia juga satu tarikan untuk menarik peminat komik ini kembali ke panggung selepas kebanyakan daripada mereka kecewa dengan apa yang dipersembahkan oleh sekuel X-Men:The Last Stand tujuh tahun lalu.
Seperti filem terbitan Marvel sebelum ini, di penghujung cerita iaitu selepas montaj berakhir, ada kejutan yang menanti sekali gus membuatkan peminat filem ini tidak sabar untuk menantikan kesinambungannya.