Ahmad Idham positif


Ahmad Idham

NAMA Ahmad Idham tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena seni tanah air bukan sahaja sebagai pelakon, malah pengarah yang banyak memberi sumbangan dalam industri perfileman tempatan.

Kehebatannya dalam bidang pengarahan tidak boleh disangkal, apatah lagi pemilik nama Ahmad Idham Bin Ahmad Nadzzri ini merangkul anugerah antaranya Pengarah Drama Terbaik Anugerah Skrin dan Sutradara Harapan dalam Festival Filem Malaysia Ke-16.

Peminat yang meminati filem sentuhan pengarah ini pasti gembira kerana Idham bakal menampilkan sebuah lagi filem aksi komedi dengan kerjasama Excellent Pictures bertajuk Hantu Nan Sempit sebagai buah tangan terbaharunya.






Genre ini dilihat serasi dengan Idham, apatah lagi sebelum ini dia telah menempah kejayaan dengan filem-filem sebelumnya,antaranya Hantu Bonceng, Gangster Celop dan Apa Celop Toqq.

Hantu Nan Sempit mengisahkan seorang mekanik bernama Ady yang bekerja di sebuah bengkel yang tidak laku membaik pulih sebuah motosikal yang mengalami kemalangan dan motosikal tersebut seolah-olah mempunyai rohnya sendiri. Ia bermula apabila motosikal yang ditimpa kemalangan tersebut datang ke bengkel dan pemilik bengkel itu, Ribut , menegaskan Ady membaiki motosikal tersebut sebaik yang boleh. Ribut mengalami masalah kekurangan pelanggan di bengkelnya dan membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat bomoh atas nasihat rakannya, Suraya . Ady yang sering kecewa kerana cintanya ditolak oleh Nina, anak saudara kepada Ribut, selalu meluahkan rasa sedihnya bersama motosikal rosak itu. Sebaik sahaja motosikal itu dibaiki, Ady membawanya untuk uji dan motosikal itu tiba-tiba bertindak dengan sendirinya apabila diganggu oleh beberapa mat rempit yang cuba menganggu Ady.

Ikuti temu bual bersama Ahmad Idham berkenaan filem Hantu Nan Sempit yang bakal menemui penonton di pawagam pada 5 Jun 2014.

Apakah keistimewaan filem ini berbanding filem-filem anda yang sebelumnya?

Bagi saya, setiap filem ada kelebihan tersendiri. Saya masih tampilkan aktiviti permotoran sebagai subjek kerana saya sememangnya meminati perkara ini. Dari segi genre, saya buat komedi untuk bagi orang gelak di samping menekankan jenaka dan pengisian melalui jalan ceritanya.

Apakah kriteria pemilihan pelakon untuk filem Hantu Nan Sempit?

Pemilihan pelakon semestinya berdasarkan karakter dalam cerita ini sendiri. Pelakon yang boleh bawa watak komedi di samping menyampaikan mesej di sebalik kisah ini, itu yang paling penting.

Anda menampilkan Hazama sebagai salah seorang teraju utama filem ini. Adakah Hazama berjaya membawa watak komedi dan memenuhi kriteria karakter lakonannya?

Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan Hazama. Saya percaya dengan kemampuannya untuk melakonkan watak komedi dan berdasarkan maklum balas orang sebelum ini memang ramai orang cakap dia kelakar. Selebihnya, penonton kena tonton dan tentukan sendiri.

Dalam situasi sesetengah orang melabelkan industri perfileman tempatan kini sedang berhadapan dengan fenomena lambakan filem komedi dan seram, apa yang mendorong anda untuk terus mempertaruhkan genre ini?

Saya berpendapat label tersebut tidak relevan dengan situasi pada hari ini. Setiap genre ada peminat dan kumpulan penonton yang tersendiri, jadi tidak timbul isu lambakan itu kerana saya buat filem ni untuk penuhi citarasa penonton yang sukakan komedi. Dengan ‘track record’ yang ada berdasarkan filem-filem arahan saya yang sebelumnya, memang sudah ada peminat filem bercorak komedi seram dan permotoran. Oleh itu, saya yakin untuk terus tampilkan genre ini kerana pasti ada penonton yang suka dan ternanti-nanti untuk melihat filem seumpama ini di layar perak lagi.

Bercakap tentang filem komedi yang menggunakan subjek permotoran, sebelum ini penonton sudah sinonim dengan filem Adnan Sempit. Tidak lama lagi juga, filem dengan tajuk yang hampir sama dengan Hantu Nan Sempit bakal dikeluarkan oleh syarikat penerbitan tempatan lain. Apakah komen anda jika ada yang keliru atau mengaitkan filem Hantu Nan Sempit dengan Adnan Sempit?

Cerita ini diinspirasikan dari filem tersebut dan Hantu Bonceng, tetapi watak dan jalan ceritanya berbeza sama sekali. Saya cuma ambil inspirasi dari kekuatan kandungan dan jenakanya, penonton pasti boleh bezakan setelah menonton filem ini dan saya yakin Hantu Nan Sempit boleh berdiri sendiri di atas jalan cerita dan penyampaiannya.

Apakah strategi anda bagi mempromosikan filem ini di samping menarik lebih ramai penonton untuk menontonnya di pawagam?

Bagi saya, jalan cerita filem ini sendiri adalah tarikan utamanya di samping pelakon-pelakon cerita ini yang sudah terbukti boleh membawa watak komedi dengan baik. Ramai orang suka labelkan cerita yang bawa isu dan subjek permotoran ni berkait rapat dengan gejala sosial dan tidak sihat, jadi saya nak beri impak yang berbeza melalui filem saya. Penonton hari ini sudah bijak dan pandai menilai, justeru saya yakin mereka boleh nampak mesej dan pengajaran yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan seharian melalui Hantu Nan Sempit.

Selain melibatkan diri dalam promosi filem Hantu Nan Sempit, apakah perkembangan terbaru anda sebagai anak seni dalam merancakkan lagi arena perfileman tempatan?

Sekarang saya sedang fokus kepada Ahmad Idham Film Academy (Aifa) di Nusajaya, Johor yang beroperasi dengan pengambilan pertama bidang produksi filem dan video. Saya percaya dengan didikan yang sepatutnya, tenaga kerja mahir dalam bidang perfileman dapat dilahirkan di samping menyumbang kepada penghasilan karya berkualiti untuk negara dan industri seni tanah air.
Previous Post Next Post