Norish Karman Beraya Sebulan



KELUARGA bahagia Norish. Dari kiri, Muhd. Hardy Amieran, Haq Lutfie Alexander, Nur Hanyz Amanda dan Muhd. Haqiem Armany.

KETIKA ibu-ibu lain tidak menang tangan melayan keletah dan permintaan anak-anak di pagi Aidilfitri, aktres Norish Karman pula sebaliknya. Dia sudah terbiasa beraya sendirian tanpa tiga orang permata hatinya. Getus Norish, setiap kali menjelang 1 Syawal, dia hanya bersama anak bongsunya, Muhammad Haq Lutfie Alexander, 4, manakala, tiga lagi anaknya, Muhd. Haqiem Armany, 16, Muhd. Hardy Amieran, 12, dan Nur Hanyz Amanda, 11 akan beraya bersama bekas suami terlebih dahulu.

Sepintas lalu, situasi sedemikian mungkin boleh meruntun jiwa. Namun bagi wanita berusia 39 tahun itu, keadaannya tidaklah begitu menyedihkan meskipun sudah hampir lima tahun bergelar ibu tunggal dan sepanjang tempoh itu juga, dia terpaksa berpisah buat sementara waktu dengan anak-anak pada hari raya.

“Saya tidak sedih kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu. Sudah menjadi rutin setiap kali raya, tiga orang anak bersama bekas suami pertama akan beraya dengan bapa mereka terlebih dulu sehingga raya ketiga. Dalam tempoh itu, hanya tinggal saya bersama anak bongsu, Alexander, jadi kehidupan saya tidaklah sunyi.

“Selepas semua anak-anak ada bersama barulah kami akan berangkat ke kampung halaman saya di Singapura. Alhamdulillah, ibu bapa saya cukup memahami dan tidak pernah mendesak agar saya pulang lebih awal. Biasanya kami akan beraya di Singapura selama tiga hari sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur,” kata Norish atau lebih mesra di sapa dengan nama NK.


Bercakap tentang raya, Norish mengakui, dia sedikit agak kolot dan masih kuat berpegang kepada tradisi. Sambungnya, dia dan keluarga akan meraikan Aidilfitri selama sebulan dan tempoh itu akan digunakan sebaik mungkin untuk mengunjungi saudara-mara bagi mengeratkan silaturahim.

Atas pendirian itu juga, Norish menolak pendapat sesetengah orang yang menggunakan cuti raya untuk pergi bercuti, dalam mahupun luar negara.

“Saya akan beraya selama sebulan. Waktu itulah saya akan berjumpa dengan saudara-mara yang jarang ditemui. Memang saya agak kolot dan menolak konsep pergi bercuti ketika hari raya. Pada hari raya sahajalah kita akan bertemu dengan seluruh anggota keluarga. Saya tidak mengamalkan konsep bercuti ketika raya kerana tidak mahu memberi contoh tersebut kepada anak-anak.

“Nanti apabila tua, anak-anak akan buat perkara sama, saya pula yang kena tinggal seorang diri. Masa itu, hendak bersedih pun tidak guna kerana ketika muda, ibu bapa yang mengajar contoh tersebut kepada anak-anak. Saya tidak mahu perkara itu berlaku, saya akan tetap pulang beraya setiap tahun,” ujarnya Norish panjang lebar.

Tambahnya, selain mengekalkan tradisi kunjung mengunjung, dia juga mendidik anak-anak untuk menghormati orang yang lebih tua dan menghargai amalan bermaaf-maafan pada pagi raya bersama keluarga.

“Biasalah anak-anak, mereka seronok beraya kerana dapat bercuti dan mengumpul duit raya. Namun sebagai ibu, saya sentiasa tekankan perkara paling penting pada hari raya iaitu bermaaf-maafan bersama keluarga. Saya tidak mahu nilai-nilai murni itu hilang meskipun hidup dalam dunia serba moden dan sibuk.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan anak-anak yang mendengar kata dan tidak sukar untuk dididik,” ceritanya sambil memandang keletah anak-anak yang sedang bermain di ruang tamu rumahnya.

Beralih bicara tentang kerjaya, Norish atau nama sebenarnya Nor’Asikin Karman memberitahu, sepanjang Ramadan dan selepas sambutan raya, jadual hariannya kembali padat. Selain sibuk menguruskan anak-anak, Norish juga terikat dengan kerjaya sebagai penyanyi, cef dan penceramah motivasi.

Ujar Norish, walaupun tidak diberikan kehidupan berumah tangga yang kekal, dia tetap bersyukur kerana dianugerahkan pelbagai bakat yang boleh digunakan sebagai mata pencarian membesarkan anak-anak.

“Biasanya jadual saya bermula selepas Subuh dan hanya berakhir pada tengah malam. Selepas menghantar anak ke sekolah, saya akan memulakan kerja sebagai cef untuk perniagaan ketering iaitu Nottyrisch Ketering. Saya akan masak sendiri tempahan untuk 10 sehingga 1,000 orang. Saya juga ada menyediakan perkhidmatan cef dari rumah ke rumah.

“Maknanya kami akan datang memasak dan menghidangkan makanan di rumah pelanggan. Bagi saya, cara itu lebih eksklusif dan menjimatkan masa. Terdapat beberapa pakej yang disediakan bergantung kepada bajet pelanggan. Selain itu, saya juga aktif sebagai penceramah motivasi. Pengalaman sebagai ibu tunggal banyak digunakan sebagai inspirasi semasa berceramah. Saya juga aktif sebagai penyanyi cuma mungkin orang tidak tahu kerana tidak muncul di kaca televisyen atau akhbar,” katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post