TAHUN lalu, sebuah tragedi menyayat hati telah menimpa lima adik-beradik malang apabila kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat kemalangan ngeri.
Tragedi yang tercatat pada 25 Mei 2014 itu sekelip mata telah menghancurkan limbungan kasih sayang yang dimiliki lima kanak-kanak berkenaan sehingga mereka harus meneruskan kehidupan sebagai yatim piatu.
Kata bidalan, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Selepas dua bulan kisah yatim piatu itu tersebar meluas di laman sosial, selebriti bernama Rebecca Nur Al-Islam tampil menghulurkan keprihatinan. Dia mengambil kelima-lima kanak-kanak tersebut sebagai anak angkatnya.
Setahun berlalu, gelaran keluarga angkat benar-benar memberi sinar dan harapan baharu buat Muhammad Haikal, 17, Fatin Adlina, 15, Muhammad Aidil, 11, Nur Syamimi, 5, dan Nur Auni Safia, 4.
Menyingkap Ramadan yang baru sahaja melabuhkan tirainya dan Syawal yang masih diserikan bunga-bunga bahagia, Rebecca berkongsi sejambak kisah mengenai keluarga dan anak-nak angkatnya.
Kongsi kasih
Berbesar hati menyambut Ramadan dengan kehadiran kelima-lima anak angkatnya itu, Rebecca, 29, meraikan mereka dengan sebuah majlis berbuka puasa bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Ini merupakan kali pertama saya bawa anak-anak angkat ini berbuka di luar memandangkan tahun ini juga kali pertama mereka menyambut Ramadan sebagai anak-anak saya.
“Sebelum ini, saya kerap membawa mereka berlima keluar berjalan-jalan, makan di restoran makanan segera dan sebagainya. Kegembiraan yang terpancar di wajah mereka membuatkan saya turut gembira,” ujarnya membuka perbualan.
Menjadi rimbunan tempat berteduh dan dahan menumpang kasih, sesekali naluri keibuan Rebecca tersentuh. Katanya, sepanjang setahun bergelar keluarga angkat kepada kanak-kanak itu, mereka banyak menghabiskan masa bersama.
“Anak-anak yang belum mengerti apa-apa seperti mereka harus diberi layanan baik. Saya rasa bahagia dengan apa yang saya lakukan, walaupun dengan hanya membawa mereka keluar berjalan-jalan.
“Mungkin kerana terlalu rindu dan dambakan kasih sayang daripada arwah ibu dan bapa mereka, percaya atau tidak, si kecil (Nur Auni Safia) yang kini sudah berusia empat tahun sangat manja dan suka memeluk saya. Kadang-kadang, hubungan kami yang rapat itu membuatkan anak-anak saya berasa cemburu.
“Walaupun ada kekangan daripada segi waktu, tetapi seboleh-bolehnya saya akan cari masa untuk bersama mereka. Tahun ini, saya bawa mereka semua beraya di rumah,” tuturnya.
Kata Rebecca, dia berasa sangat bahagia andai rumahnya dipenuhi ramai anak. Keletah manja dan suasana riuh-rendah dengan suara kanak-kanak membuatkan hidupnya semakin meriah.
“Saya tidak kisah jika ramai anak. Anak sendiri pun sudah ada lima orang, campur pula dengan lima orang anak angkat, menjadikan semuanya sepuluh orang. Mana tidak gamat suasana kalau mereka semua berada di bawah satu bumbung.
“Saya sangat sukakan kanak-kanak. Suami sendiri pun pernah kata, dia mahu 11 orang anak. Kalau suatu hari nanti ada rezeki untuk menambah bilangan anak angkat, apa salahnya,” seloroh Rebecca penuh ceria.
Berkongsi kasih dengan insan yang kehilangan tempat mengadu, Rebecca menganggap keputusan mengambil kelima-lima yatim piatu itu menjadi sebahagian daripada keluarganya bukan dibuat atas dasar mencari publisiti murahan.
“Saya tidak akan marah jika ada skeptikal masyarakat yang memandang tindakan saya ini sebagai umpan mencari publisiti. Setiap manusia, setiap orang ada pandangan negatif dan positif.
“Jadi, kenapa perlu saya memikir tentang cakap-cakap orang? Pandangan negatif segelintir pihak, sedikit pun tidak menjejaskan periuk nasi atau hidup saya. Apa yang saya buat, ia antara saya dengan Tuhan. Saya penat dan tidak suka membuang masa memikirkan tanggapan orang,” ujarnya.
Memori Ramadan
Bercerita lagi tentang kelangsungan hidupnya, Ramadan lalu masih berbekas di hati Rebecca. Manakan tidak, tahun ini rutin Ramadannya menjadi padat apabila si suami hanya mahu makan hidangan juadah berbuka hasil air tangannya sendiri.
“Seingat saya, sepanjang Ramadan lalu saya langsung tidak berkesempatan turun ke bazar bagi mencari juadah berbuka. Semua makanan berbuka dimasak di rumah atas permintaan suami. Dia lebih gemar jika saya yang masak berbanding makan di luar.
“Sebab itu, kadang-kadang tidak menang tangan. Tetapi, saya tidak kisah sebab saya memang seorang yang suka memasak dan mencuba resepi baharu. Dalam banyak-banyak menu kegemaran suami, hanya laksa Sarawak sahaja saya belum pandai masak,” tuturnya disusuli tawa kecil.
Syawal
Leka bercerita soal Ramadan dan anak-anak, perbualan kami menjengah kepada sambutan Syawal Rebecca dan seisi keluarganya.
Setiap tahun, Rebecca dan suami akan bergilir-gilir pulang menyambut hari raya di kampung halaman masing-masing.
Tahun lepas mereka sekeluarga beraya di kampung Rebecca di Johor Bahru, Johor. Maka, tahun ini giliran mereka sekeluarga terbang ke Kuching, Sarawak, pulang ke kampung halaman Nor Azam selama seminggu.
“Biasalah, adat hidup suami isteri. Bergilir-gilir itu sudah menjadi tradisi (ketawa). Perasaan teruja itu tetap ada seperti tahun-tahun sebelumnya kerana inilah masa terbaik untuk merapatkan silaturahim dengan keluarga sebelah mentua.
“Cuma, jika beraya di Sarawak, suasana dan cara beraya agak berbeza berbanding di Johor. Pagi raya pertama, selalunya keluarga kami akan meraikan golongan istimewa seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), fakir miskin dan anak-anak yatim terlebih dulu.
“Kemudian, pada pagi raya kedua barulah kami memulakan aktiviti melayan saudara-mara dan tetamu yang bertandang ke rumah,” jelas Rebecca yang menyediakan empat pasang baju raya untuk setiap anggota keluarganya tahun ini.