Ella dan Jojie Kongsi teruja lebaran sebagai isteri


PASANGAN adik beradik Ella dan Jojie gembira menyambut lebaran bersama insan tersayang dan keluarga.

Di tengah-tengah hutan konkrit, teratak kecil yang masih mengekalkan seni bina klasik dikenali sebagai Rumah Penghulu Abu Seman itu pantas mengundang sebuah emosi tenang. Seperti masuk ke zaman silam, ia antara rumah tradisional Melayu lama yang masih kukuh biarpun telah dibina sekitar awal 1930-an.

Pertama kali menjejakkan kaki ke situ, dua beradik popular, Ella dan kakaknya, Jojie, merangkap pengurusnya terkesima seketika. Terpesona dengan ukiran kayu berkonsepkan kerawang pada bahagian dinding dan peralatan yang layak diberi status barangan antik, suasana panas terik di luar rumah seperti tidak terasa.

Usai lengkap menyarung busana raya, keindahan lebaran yang cuba dizahirkan bersama Ella, Jojie dan pasangan masing-masing, Azhar Ghazali dan Syahrizal Ismail mengalir tanpa dipaksa.

Suasana kediaman yang sedikit sepi pada awalnya bertukar menjadi riuh-rendah dengan gelak ketawa kedua beradik itu saat diminta mengimbau semula kenangan manis menyambut lebaran.



Tambah membahagiakan, tahun ini Ella tidak perlu lagi berasa serba salah saat bercerita tentang kemanisan menyambut raya bersama seorang lelaki bernama suami.

Jojie bukan sahaja kakak atau pengurus semata-mata, bahkan belahan jiwanya. Ya, tahun ini belahan jiwanya itu juga sudah punya seorang suami. Masing-masing sedang berbahagia biarpun rahsia Tuhan yang satu itu (jodoh), mengambil masa yang agak lama sebelum diturunkan buat mereka.

Luaskan empayar Lameya

Akui Ella, tumpuan Syawal tahun ini lebih diberikan untuk meluaskan produk kecantikannya, Lameya yang diusahakan bersama suami, Jojie dan abang iparnya, Syahrizal.

“Memandangkan kami menerima banyak tempahan, fokus itu lebih diberikan kepada memperluaskan bidang perniagaan. Alhamdulillah, sepanjang Ramadan sambutan pembeli terhadap Lameya sangat menggalakkan.

“Bagaimanapun, sambutan perayaan itu tetap dilakukan, cuma berbeza dengan tahun lepas, kali ini sedikit berbeza kerana suami terikat dengan jadual kerja,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah itu.

Ella terpaksa merelakan hati ‘melepaskan’ suami tercinta terbang ke awan biru biarpun terpaksa beraya tanpa orang tersayang di sisi.

Sedikit hiba, namun sudah menjadi adat berumah tangga, tolak ansur merupakan antara ramuan penting bagi memastikan keharmonian hubungan suami isteri.

“Dia (Azhar) hanya dapat bercuti pada dua hari sebelum Syawal. Disebabkan kekangan kerja, kami berdua akan meraikan Hari Lebaran di kediaman saya yang terletak di Klang, Selangor,” tambahnya.

Hampir memasuki tahun keempat berumah tangga, kemanisan Ella dan Azhar masih persis pengantin baharu. Melemparkan renungan manja ke arah suami, Ella nyata bahagia dianugerahkan suami yang sangat menyintai dan memahami kerjaya seninya.

Kisah Syawal tidak lengkap tanpa bingkisan juadah yang menjadi pilihan Ella. Selain menggemari tart nanas sebagai biskut wajib, Ella juga seperti orang kebanyakan yang pasti kecur air liur apabila melihat lemang, ketupat dan rendang.

“Kalau bab memasak, saya pandai buat kuah masak lodeh,” kata pelakon filem Pemburu Bayang itu yang sempat mempelajari ilmu masakan daripada ibunya, Yang Asmah Long, 85.

Rancak bercerita, ada ketika Ella menarik nafas panjang. Banyak kenangan menerpa ke ingatan.

“Sewaktu kecil mak (nama panggilan buat ibunya) pasti akan menyediakan baju buat kami lapan beradik. Kami akan memakai baju rona yang sama, namun corak yang berbeza.

“Mengenai pemilihan corak baju, saya antara yang paling cerewet. Namun, mak sentiasa menunaikan apa yang saya inginkan.

“Dalam kalangan adik beradik perempuan pula, kami pasti akan saling bertukar baju antara satu sama lain. Saya juga pernah bertukar sehingga enam persalinan baju raya pada hari raya pertama. Itu tabiat sejak kecil dan kadang-kala masih lagi berlaku pada masa sekarang biarpun sudah berumah tangga,” getus Ella.

Ziarah anak yatim

Jika isteri tercinta teruja bercerita tentang kenangan lebaran, si suami (Azhar) pula lebih teruja menceritakan pengalaman indah sepanjang Ramadan. Banyak menghabiskan waktu senggang menziarahi rumah anak yatim, juruterbang pesawat komersial itu sopan menyusun kata.

Bekerjasama dengan tiga rakan kongsi Lameya termasuk Ella, Jojie dan Syah, mereka memilih beberapa buah rumah anak yatim untuk berkongsi kisah suka duka menyambut Ramadan dan Syawal.

“Hati saya luluh setiap kali melihat wajah anak-anak yatim, mereka kehilangan tempat bergantung pada usia muda. Meluangkan masa dengan mereka melengkapkan Ramadan saya. Perasaan itu sukar digambarkan, namun ia sesuatu yang indah,” tutur lelaki berusia 32 tahun itu.

Lebaran Jojie penuh bererti

Bertambah jelita dalam busana tajaan Butik Saidatulnisa, Jojie ternyata tidak dimakan usia. Siapa sangka, wanita yang selama ini tidak pernah berenggang dengan Ella itu sudah berusia 50 tahun.

Dua tahun setelah Ella bergelar isteri, kini tiba masanya untuk Jojie diulit bahagia bersama seorang suami. Kehangatan bulan madu masih terpancar daripada kelibat mereka berdua. Tanggal 6 Jun 2015 yang menyaksi detik penyatuan mereka, rasanya seperti baru semalam.

Suara sanubari Jojie sengaja diusik, tentunya banyak perbezaan dirasai saat menikmati lebaran pertama bergelar isteri. Melihat kepada senyuman yang terukir di bibirnya sahaja, kebahagiaan Jojie atau nama sebenarnya Rozita Aminuddin itu sudah dapat diteka.

Memberi laluan kepada si suami membuka cerita, seperti juga Ella, Jojie juga beraya di Klang, iaitu rumah ibu mereka bersama adik-beradik yang lain.

“Kami sepakat menyambut hari raya di kediaman keluarga isteri yang terletak di Klang. Sama seperti Ella, tumpuan lebaran akan diberikan untuk melebarkan sayap Lameya ke pasaran antarabangsa.

“Namun sebagai suami, saya tetap mengutamakan isteri berbanding kerja. Raya ini juga lebih seronok kerana saya dapat menikmati juadah hasil air tangan isteri. Ini detik terindah dalam hidup di samping peluang bertemu dengan sanak saudara,” tutupnya yang mesra disapa Syah.

Previous Post Next Post