EGONYA dibuang jauh-jauh meski banyak pihak mula memperkatakan tentang perjalanan seninya yang semakin suram sejak kebelakangan ini. Bagi Marcell tidak ada apa yang perlu ditakutkan memandangkan dia tidak pernah berniat untuk terus kekal menakluk industri muzik di Indonesia.
Cuma sejak akhir-akhir ini dia terkesan apabila ada pihak yang menuduh pengaruhnya semakin berkurangan di sana. Tidak menghasilkan album baru tetapi menyanyikan semula lagi orang bagaikan satu kesalahan besar bagi segelintir pihak.
Dia sedar tidak mudah untuk memuaskan hati mereka. Dia tahu sejak membuat keputusan merakamkan semula lagu-lagu penyanyi lain untuk album terakhirnya bagaikan menjadi senjata untuk orang menuduh dirinya semakin hilang pengaruh.
"Saya senang menyanyikan lagu orang lain dengan versi sendiri. Kalau tengok penyanyi popular yang lain pun mereka akan merakamkan semula lagu lama untuk dimuatkan di dalam album sendiri.
"Tak semestinya lagu yang saya pilih semuanya hits. Ada lagu penyanyi yang tak hits, tapi saya nyanyikan semula kemudian jadi hits. Hinggakan ada yang menyangka lagu itu adalah lagu saya sendiri.
"Saya juga tak bersetuju dengan pandangan sesetengah orang mengatakan kalau menyanyi lagu orang itu bererti popularitinya sudah jatuh atau sudah tak ada material baru.
"Itu hanya kata-kata orang yang kurang senang dengan kita. Michael Bolton, Craig David dan Joss Stone sendiri pernah menghasilkan album dengan menyanyikan semula lagu penyanyi lain," jelasnya ketika ditemui di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Bagi Marcell dia tidak pernah kisah dengan kebanjiran penyanyi-penyanyi baru yang semakin bercambah ditambah dengan pengaruh berbagai-bagai genre muzik di Indonesia yang sering bertukar ganti.
Jelasnya sebagai orang yang memperjuangkan bidang seni, kehadiran orang baru tidak langsung memberikan kesan apatah lagi dia perkara tersebut tidak menjadi agenda utama yang perlu di letakkan di hadapan.
"Orang selalu sebut seperti cendawan tumbuh pada waktu pagi sebagai simbolik kehadiran penyanyi generasi baru. Saya juga ada pandangan setiap pertumbuhan itu pasti ada kelembapannya juga. Saya tak perlu takut dengan persaingan.
"Dalam kerjaya saya berterima kasih kepada insan sekeliling termasuk pihak syarikat rakaman, rakan media dan peminat. Tanpa sokongan yang kuat ini, saya mungkin takkan berada pada tahap sekarang. Saya tahu arah tujuan sebenar" jelasnya.
Tidak menolak tanggapan yang dia merupakan penyanyi yang mementingkan kesempurnaan, Marcell menganggap perkara berkenaan sebagai kisah yang sudah berakhir. Dia tidak lagi 'menetapkan piawaian' sejak beberapa tahun lalu.
Tegasnya dia mula belajar bertoleransi bila melihatkan orang lain yang terlalu mengikut kehendaknya sebelum ini. Dia juga memahami konsep tiada yang sempurna dan mula berkompromi dalam banyak hal termasuklah kerjaya dan keluarga.
Lima tahun melayari bahtera rumah tangga merupakan pengalaman terindah buat lelaki ini. Ditambah dengan kehadiran isteri yang cukup memahami, Marcell menganggap kehidupannya semakin lengkap dengan kehadiran isteri dan anak-anak.
Buat masa ini dia memperlahankan sedikit kerjaya seni demi memberikan tumpuan kepada isteri yang sedang mengandung. Jelasnya segala yang diminta oleh Rima Melati Adams akan ditunaikan apatah lagi masing-masing cukup teruja menantikan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka.
Sejak bernikah dengan wanita tersebut pada tahun 2009, pastinya kesediaan Rima untuk menetap di Jakarta dianggap pengorbanan terbesar untuk rumah tangga mereka.
Sebelum mereka bernikah, menerusi perkahwinan terdahulu masing-masing pernah dikurniakan anak lelaki. Anak Marcell bersama bekas isterinya, Dewi Lestari bernama Keenan Avalokita Kirana dan Rima pula mempunyai anak bernama Edga Ian Cook.
"Selepas dua tahun mencuba dan berusaha, doa kami akhirnya dimakbulkan. Kini pun Rima sudah jadi seperti suri rumah sepenuh masa untuk kandungannya itu.
"Sejujurnya saya tidak pernah menghalangnya terus aktif berlakon. Sejak awal saya bercinta, saya tahu statusnya sebagai pelakon. Tetapi keputusan itu daripadanya sendiri yang memilih untuk tidak aktif dalam dunia seni.
"Dalam hal kandungan pula saya tak kisah apa saja jantina anak kami nanti. Tapi kalau ikutkan kami sudah ada dua hero, mungkin kalau ada rezeki dapat anak perempuan okey juga.
"Sebenarnya saya teringin untuk punya anak perempuan. Tapi kami terima apa saja jantina anak kami dan yang penting bakal anak kami itu nanti sihat," katanya.
Bercerita mengenai perancangan jangka panjangnya, Marcell tidak menolak kemungkinan untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang bagi memenuhi cita-citanya menjadi penguam sedikit masa lagi.
Paling terkesan apabila melihatkan industri hiburan Indonesia yang masih memerlukan banyak pertolongan yang membuatkan penyanyi lagu Hanya Memuji ini bertekad untuk mengubah senario tersebut.
"Masalah industri ini besar tapi orang masih belum nampak. Lihat sahaja masalah cetak rompak misalnya masih belum ada tanda-tanda isu tersebut akan reda. Hampir 98 peratus hasil karya akan menjadi mangsa mereka.
"Tapi bagi pihak pemerintah mereka tidak melakukan apa-apa. Industri hiburan mungkin dianggap seperti anak tiri dan tak perlukan apa-apa tindakan susulan daripada mereka.
"Mungkin apabila saya menyambung pelajaran nanti khidmat tersebut berguna pada masa hadapan. Golongan penyanyi sahaja memerlukan banyak pertolongan dari segala sudut," tegas Marcell lagi.
Marcell baru saja muncul dengan album kompilasi Platinum Playlist.