
Neelofa jelita ini nekad menegur sikap segelintir artis yang terlalu terbuka meluahkan pendapat masing-masing menerusi laman sosial mereka.
BUKAN sahaja memperjudikan kecantikannya dalam persada seni tanah air, malah kebijaksanaan pengacara terkenal program MeleTOP, Neelofa, Mohd. Noor, 25, menjadi buah mulut seluruh peminat hiburan tanah air.
Mula terjun dalam dunia seni sejak memasuki Dewi Remaja 2010, Neelofa kini bukan sahaja menjadikan bidang seni sebagai sumber utama rezekinya, malah dia juga kini bergelar seorang usahawan dengan memiliki tiga buah syarikat sendiri iaitu Bellavita dan Naelofar Abaya, Bokkita Hijab dan Lofalens.
Selain berkecimpung dalam dunia seni dan perniagaan, pelakon yang pernah membintangi filem Lemak Kampung Santan turut mempunyai kolum penulisannya sendiri yang dikenali sebagai Nota Neelofa dalam sebuah akhbar tempatan.
Baru-baru ini melalui kolumnya itu, Neelofa telah menegur sikap segelintir artis yang terlalu terbuka meluahkan pendapat mereka melalui media sosial. Walaupun penulisannya itu bersifat umum, namun ia telah membangkitkan kemarahan sesetengah pihak.
Tampil untuk menjelaskan isu tersebut, Neelofa yang kelihatan tenang menjawab isu tersebut menyifatkan ia hanya cetusan rasanya terhadap industri hiburan tanah air.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama figura yang pernah membintangi filem Azura 2012 itu.
Kosmo!: Berikan sedikit penjelasan mengenai kolum khas Neelofa yang telah membangkitkan kemarahan segelintir artis yang lantang meluahkan pendapat mereka melalui laman sosial? Ada yang berpendapat anda masih mentah untuk memberi pandangan, sementelah sebagai artis, anda harus menyokong sesama artis.
NEELOFA: Apa yang saya sampaikan melalui ruangan nota saya ialah bersifat umum melalui penelitian saya sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan tanah air. Saya juga membuat penulisan tersebut secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa. Bagi saya, biarlah pembaca menilai daripada perspektif mereka sendiri. Saya tidak berniat langsung untuk menyindir dan menyakitkan hati sesiapa.
Apakah reaksi anda apabila ada sesetengah pihak terasa hati dengan penulisan anda?
Saya diberi tugas untuk menulis. Jadi, saya hanya meluahkan pendapat saya berhubung sesuatu isu. Biarlah ada yang membenci dan membuat penilaian mereka sendiri, itu adalah hak mereka. Saya enggan mengulas dengan lebih lanjut kerana ia mungkin akan menyebabkan isu ini berpanjangan.
Beralih kepada perniagaan anda, ada sesetengah pihak menyifatkan anda hanya mengikut trend artis sekarang yang kebanyakannya mempunyai perniagaan sendiri, apakah pandangan anda?
Saya bukan sengaja mengikut orang untuk membuka perniagaan, sebaliknya saya memang seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai asas dalam bidang perniagaan dan sentiasa berfikiran ke arah itu. Saya mula serius berniaga ketika berumur 20 tahun. Duit hasil daripada iklan komersial, saya laburkan untuk perniagaan kasut secara dalam talian.

NEELOFA menegaskan, hubungannya dengan Hans Isaac berada dalam status yang disifatkannya sebagai sangat baik.
Sebagai seorang selebriti, mengapa anda menceburi bidang seni sedangkan minat anda terhadap bidang perniagaan lebih mendalam?
Saya ada empat produk iaitu Bellavita dan Naelofar Abaya yang diusahakan bersama kakak dan ibu saya manakala Bokkita Hijab dan Lofalens saya usahakannya sendiri.
Sebenarnya tujuan saya masuk dalam industri seni kerana saya mahu cari platform untuk mengangkat nama saya melalui produk yang dikeluarkan.
Mengapakah anda lebih meminati bidang perniagaan berbanding bidang seni?
Berbanding bidang lakonan, kepuasan dan cabaran dalam usaha membina empayar perniagaan sangat mengujakan.
Adakah anda bersedia untuk berhadapan dengan sebarang risiko apabila terlibat dalam perniagaan?
Saya sudah fikir tentang risiko dan perkara buruk yang boleh terjadi, oleh itu saya sudah bersedia dengan semua kemungkinan.
Bercerita tentang kehidupan peribadi, adakah anda merancang untuk berkahwin?
Selepas terlibat dalam kerjaya lakonan, kemudian bisnes, sasaran seterusnya ialah berkahwin. Namun, jika saya berkahwin sekarang, ia tidak adil kepada pasangan kerana saya terlalu sibuk dengan kerjaya dan perniagaan.
Maksudnya, saya tidak akan berkahwin pada tahun ini.
Bagaimanakah hubungan anda dengan Hans Isaac, mungkin anda ada perancangan untuk berkahwin dengan dia (Hans Isaac) pada masa akan datang?
Buat masa sekarang, saya masih belum memikirkan soal jodoh kerana terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan dan perniagaan. Namun, apa yang boleh dikatakan setakat ini ialah hubungan kami sangat baik. Bagaimanapun, restu keluarga amat penting apabila berbincang pasal hal perkahwinan.