RIZ yakin kemunculannya dengan single terbaharu Singkapkan Doa Kami akan mencuri hati peminat.
KETIKA menyertai pertandingan nyanyian Akademi Fantasia (AF) musim yang keenam sekitar enam tahun lalu, tubuh penyanyi Riz Zaizizi kelihat agak berisi. Setelah berjaya merangkul gelaran naib juara dan melahirkan sebuah album solo, kelibatnya dalam industri hiburan semakin kurang dilihat.
Bagaimanapun, selepas membuat kemunculan semula ketika mempromosikan single Singkapkan Doa Kami bagi memperingati mangsa tragedi MH370 beberapa bulan lalu, sosok tubuh jejaka yang berasal dari Grik, Perak itu kelihatan semakin kurus.
Rambutnya yang dahulu dibiar panjang juga telah dipotong pendek sehingga menampakkan garis wajahnya yang agak cengkung. Justeru, timbul spekulasi mengatakan penyanyi yang pernah berduet bersama Alyah menerusi lagu Ku Pinjam Satu Bintang itu terlibat dengan pengambilan dadah.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi single Kalimah Sakti di Kafe Hard Rock, Kuala Lumpur baru-baru ini, tuan empunya nama, Mohd. Idris Mohd. Zaizizi, 28, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Ujar Riz, berat badannya turun mendadak selepas dia mengamalkan diet serta senaman secara berkala sejak empat bulan yang lalu.
Artis Meletop!: Riz kelihatan sangat kurus berbanding sebelum ini. Perubahan drastik ini menyebabkan ramai orang menganggap anda terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Adakah dakwaan itu benar?
RIZ: Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Saya menurunkan berat badan saya dengan mengamalkan pemakanan yang sihat serta senaman yang kerap. Saya langsung tidak terfikir untuk mengambil benda-benda terlarang itu.
Bagaimanakah reaksi anda ketika dikatakan terlibat dengan perkara itu?
Pada mulanya, saya sangat terkejut. Namun, mulut orang tidak boleh ditutup. Justeru, lebih baik fokuskan pada penjagaan kesihatan daripada mengambil tahu tentang perkara tersebut.
Boleh ceritakan sedikit tentang perjalanan anda sepanjang proses menurunkan berat badan?
Dulu, berat badan saya pernah mencecah 120 kilogram. Ketika menyertai AF, berat badan saya turun sehingga 85 kilogram. Agak lama dengan berat tersebut, saya akhirnya nekad untuk menurunkan lagi berat badan saya sehingga 70 kilogram.
Dengan pemakanan seimbang dan senaman yang kerap, saya berjaya mencapai berat tersebut hanya dalam masa empat hingga lima bulan sahaja.
Pada pendapat anda, adakah wajar bagi seseorang selebriti untuk menjaga penampilan diri?
Sebagai seorang yang dikenali, saya sememangnya perlu menitik beratkan perihal penampilan. Apatah lagi jika kita sering muncul di kaca televisyen dan media cetak. Apabila penampilan kita sudah sempurna, keyakinan untuk berada di hadapan khalayak juga turut bertambah.
Selepas album pertama anda Bermula Semula dipasarkan, penglibatan anda dalam bidang nyanyian dilihat semakin berkurangan. Ke manakah anda menghilang selama ini?
Saya tidak pernah hilang, cuma saya agak berputus asa untuk menerbitkan sebarang karya selepas kegagalan album pertama saya itu. Banyak yang telah saya laburkan, namun, hasilnya tidak kelihatan.
Boleh ceritakan perkembangan terbaharu anda dalam bidang muzik?
Saya baru sahaja bernaung di bawah syarikat rakaman Kelarai Sakti Sdn. Bhd. milik komposer dan penulis lirik terkenal LY dan Baiduri. Buat masa ini, saya sibuk mempromosikan single Sempurnakan Aku Dan Dia dan Singkapkan Doa Kami ciptaan LY dan Baiduri menerusi album kompilasi Kalimah Sakti.