Anuar Zain pukau orang Seremban



PEMINAT mengambil kesempatan selfie bersama Anuar Zain.

PENYANYI popular, Anuar Zain sememangnya mempunyai aura yang tersendiri. Persembahannya sentiasa dinanti oleh peminat. Terbaharu, pada pesta muzik Soundscape Matrix 2014, pelantun lagu Sedetik Lebih itu memukau lebih 5,000 pengunjung yang rata-ratanya merupakan peminat setia beliau.

Anuar merupakan antara enam penyanyi jemputan yang membuat persembahan pada konsert empat jam tersebut. Mereka yang hadir sanggup menunggu lebih dua jam semata-mata untuk melihat persembahan penyanyi kesayangan itu membuat persembahan.

Biarpun muncul sekitar pukul 10.25 malam, tidak ada peminat yang berganjak pulang, demi menyaksikan penyanyi pujaan itu beraksi.

Dengan penampilan yang kemas sut elegan berwarna krim, akhirnya Anuar muncul di atas pentas. Kemunculannya yang memilih mendendangkan lagu berentak pantas, Kau Bunga Cintaku sebagai pembuka persembahan ternyata membuatkan pentas di Bandar Sri Sendayan, Seremban gamat dengan jeritan peminat.




Sepanjang persembahan yang penuh tenaga selama 25 minit itu, Anuar turut menyampaikan lagu hit miliknya iaitu Ajari Aku, Sesucinya Cintamu, dan Ketulusan Hati. Menutup tirai persembahan dengan lagu ‘berhantu’ Sedetik Lebih, nyata Anuar tidak memberi sebuah persembahan sambil lewa biarpun dia melakukan persembahan di tempat terbuka.

Seperti mana beliau membuat persembahan dalam kebanyakan majlis tertutup dan lebih intim bersama peminat, begitulah kualiti persembahan yang diberikan Anuar di dalam persembahan singkatnya itu.

Sikapnya yang mesra tidak menghampakan pengunjung yang hadir pada malam tersebut. Lelaki itu tidak menunggu lama menghampiri peminatnya apabila dilihat turun dari pentas dan berduet bersama peminat bagi lagu berjudul Ajari Aku. Anuar ketika ditemui berkata, beliau berasa teruja membuat persembahan tersebut.

“Peminat sangat sporting, sistem bunyi juga bagus. Ini membuatkan saya berasa gembira dengan persembahan kali ini,” katanya.

Selain Anuar, lima artis lain yang membuat persembahan ialah Mei Sim, Jess Lee, Nicholas Teo, Waris dan Jaclyn Victor. Penyanyi popular Datuk Hattan turut diundang sebagai jemputan khas.

Pesta Muzik Soundscape 2014 dianjurkan oleh pemaju hartanah terkemuka Negeri Sembilan, Matrix Concepts Holdings Bhd. Menariknya mengenai konsert tersebut, ia memang benar-benar telah menarik pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan keturunan untuk berhibur sambil memberi sokongan kepada syarikat tersebut.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai syarikat tersebut, Datuk Lee Tian Hock memberitahu, konsert yang merupakan penganjuran kali pertama oleh MCHB itu diadakan bagi tujuan menghargai semua pihak yang banyak memberi sokongan kepada syarikat berkenaan selain mempromosikan Bandar Sri Sendayan sebagai sebuah kawasan membangun yang merangkumi pembangunan perumahan, komersial dan perindustrian.

“Selain itu, ia juga merupakan salah satu langkah promosi Bandar Sri Sendayan sebagai sebuah kawasan membangun di daerah ini yang merangkumi pembangunan perumahan, komersial dan perindustrian,” katanya.



Previous Post Next Post