Amelina gegarkan Konsert Dalam Dikir


AMELINA (kiri) dan Ani Mayuni bergabung mempersembahkan lagu dangdut berjudul Penasaran.

Pernahkah anda membayangkan atau terfikir bagaimana agaknya suasana pentas jika dikir barat dan muzik moden digabungkan dalam sebuah persembahan. Hasilnya akan terjawab menjelang malam tahun baharu nanti menerusi sebuah rancangan istimewa berjudul Konsert Dalam Dikir.

Menariknya, se­panjang rakaman dilakukan baru-ba­ru ini, Audi­to­rium Persada Ang­kasapuri padat di­­banjiri penonton. Bahkan ada yang datang dari Kelantan semata-mata untuk menyaksikan rakaman program berkenaan.




Tepat pukul 9 malam, rakaman bermula. Tirai persembahan dibuka oleh seorang artis yang sudah lama menyepi daripada industri seni selama hampir 15 tahun. Aura Amelina si ratu dangdut Malaysia itu masih mampu membuatkan seluruh auditorium gamat seketika. Amelina muncul berduet dengan Ani Mayuni menyampaikan lagu berjudul Penasaran. Tidak hanya berdua, persembahan mereka digabungkan de­ngan kumpulan Dikir Barat Arjuna Sukma.

Seperti sudah dapat mengagak permintaan penonton yang tidak puas hanya dengan sebuah lagu, Amelina sekali lagi menguasai pentas secara solo dengan lagu berhantunya yang berjudul Rindu. Tanpa disuruh, penonton yang sudah lama merindui suaranya turut sama menyanyi. Persembahan itu sekali gus menjadi kemunculan pertama Amelina menerusi program hiburan te­levisyen RTM setelah sekian lama menyepi.

Ternyata Amelina masih mempunyai sentuhan magis untuk menghiburkan penonton yang hadir. Tepuk sorak yang gemuruh menjadi bukti betapa Amelina sangat diraikan untuk kembali mengisi kemeriahan muzik tanah air.

Persembahan diteruskan dengan menampilkan penyanyi-penyanyi yang mencipta populariti dan mempunyai peminat yang ramai di Kelantan seperti Rosalinda, Man Khan, Halim Yazid, Megat Nordin, Razali Kulintagan dan Iwere.

Mereka turut menyampaikan lagu popular masing-masing antaranya Anak Tupai, Oghe Kito, Dok Mano, Hati Rasa Berkenan dan banyak lagi. Program itu turut dimeriahkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Sabri Yunus, Isey Fazlisham dan Chelsea Chil.

Penonton turut dihiburkan oleh barisan artis popular tanahair seperti Lan Kristal dan Ronnie Hyper Act yang berduet menyampaikan lagu Pasti Sempurna. Pentas kemudian diambil oleh Jimmy Palikat dengan lagu popularnya Anak Kampung. Artis-artis lain yang turut terlibat termasuklah Bob AF, Ellisan Tan dan Adzrin Adzhar.

Sebagai penerbit, ternyata percaturan bijak dan idea kreatif Ain Sabrina On yang bertindak mengolah serta menggabungkan elemen muzik tradisio­nal dikir barat dan elemen muzik moden ke dalam rancangan berkenaan dilihat menjadi dan wajar diberi pujian.

Konsert Dalam Dikir akan bersiaran selama dua jam pada 31 Disember nanti di saluran TV2 pukul 9 malam.



Previous Post Next Post