Nad & Juhara Tutup buku lama, buka buku baharu



MENYUSURI lembaran tahun 2014, nama Farah Nadia Zainal Abidin atau Nad Zainal tidak lekang daripada sebutan. Selain kisah percintaan yang tewas berkali-kali, cerita kualiti lakonannya juga tidak terkecuali. Nad dikira bertuah kerana ada antara beberapa drama dan yang dimainkan di stesen televisyen serta layar perak mendapat perhatian luar biasa.

Kata Nad, 24, tahun 2014 banyak mengajarnya erti hati-hati. Dalam soal bicara, keterbukaan dan cerita tentang privasi, pelakon yang popular menerusi drama rantaian Memberku Hawa itu mengakui sikap mesranya kadang kala menjerat dirinya untuk mudah dieksploitasi dan dimanipulasi oleh segelintir individu.




“Seperkara yang saya belajar sepanjang tahun 2014 ialah tidak perlu untuk terlampau terbuka mengenai kisah peribadi dan lebih berhati-hati apabila bercakap. Bukan bermakna selepas ini saya akan mengunci mulut mengenai perihal kehidupan peribadi saya tetapi saya lebih selesa untuk tidak terlalu terbuka apabila bercerita tentang kisah peribadi berbanding kerjaya.

“Kesilapan itu telah saya belajar dan sikap saya telah memakan diri sendiri hingga menyebabkan orang senang tersalah anggap mengenai banyak perkara. Saya memasuki industri hiburan kerana mahu bekerja dan sejujurnya perkara remeh seperti kisah peribadi telah mengaburi mata orang terhadap saya.

“Oleh itu, saya berjanji pada diri sendiri untuk tidak lagi membawa kisah peribadi dan bekerja lebih keras untuk mencapai impian yang selama ini saya idamkan. Walaupun jalan ini yang saya pilih, saya tidak mahu nilai diri saya menjadi ancaman atau memberikan kesan buruk kepada individu yang berada di sekeliling saya atau bekerja dengan saya selepas ini,” katanya.


JUHARA AYOB dan Nad Zainal (kanan) masing-masing mempunyai resolusi yang besar pada tahun 2015.

Cerita cinta

Nad berkata demikian bagi mengulas peristiwa perit dan merepek yang dilaluinya sepanjang tahun 2014. Terkini berkenaan gosip cintanya dengan pelakon Remy Ishak yang dianggapnya tidak logik selain kemelut cinta tiga segi yang ditanggung pelakon itu bersama pengacara Hefny Sahad dan pelakon Azwan Kombos.

Ditanya mengenai ketetapan memilih cinta dan ruang untuk mengisi hatinya, jawab pelakon genit itu dia masih belum terbuka untuk mengenali sesiapa dalam tempoh terdekat apatah lagi bercinta. Tambahnya, fokusnya kini lebih kepada kerjaya dan tidak terdesak untuk memburu cinta. Selain itu, Nad turut menjelaskan tanda tanya hubungannya bersama pelakon Syarul Ridzuan yang dikatakan sedang mula membibitkan hubungan cinta.

“Buat masa sekarang saya lebih selesa solo dan tiada sesiapa pun untuk saya kenali. Tiada cinta bermakna tiada masalah, jadi tumpuan saya sekarang ialah bekerja. Bagi saya biarlah cinta atau lelaki datang dengan sendirinya tanpa perlu dipaksa-paksa.

“Macam-macam cerita saya dengar sebelum ini termasuk gelaran playgirl. Apa yang boleh saya jelaskan, saya boleh hidup tanpa lelaki dan sekarang pun saya selesa dengan kehidupan saya.

“Mengenai cerita saya dengan dia (Syarul Ridzwan), kami berkawan sejak berlakon bersama dalam beberapa buah drama dan telefilem sebelum ini. Dia lebih kepada kawan rapat yang senang untuk bercerita dan bersembang, tidak lebih daripada itu,” jelasnya yang pernah digandingkan bersama Syarul dalam telefilem Kimchi Raya dan Ops! Terlebih Pula dan kini drama rantaian 26 episod terbitan RTM berjudul Street Vandetta.

Nyonya 2015

Anak kelahiran Kajang, Selangor itu membulatkan tekadnya. Menempuhi cabaran tahun 2015, Nad bertekad untuk memperbanyakkan aktiviti seni dalam lapangan kerjayanya. Selepas terbabit dalam pementasan Maduku Kalut tahun lalu, Nad bakal dicabar dengan sesi monolog dalam pementasan teater Diari Wanita… Episod Kak Ani & Nyonya 11 hingga 16 Februari tahun depan.

Mendukung peranan utama sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Nad mengakui gementar untuk menjayakan karakter yang hidup dan berdepan risiko kritikan secara langsung oleh subjek tersebut atau individu yang pernah mengenali tokoh wanita berkenaan.

“Selama ini saya mengenalinya hanya menerusi tontonan di kaca televisyen dan secara keperibadiannya saya tidak tahu. Selain itu, hal yang membuatkan saya lagi cuak apabila saya perlu melakonkan tokoh yang masih hidup dan risikonya mungkin tidak sama seperti individu asal.

“Apapun, saya dibantu oleh pengarah, Rosminah Tahir dan mungkin akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Datuk Seri Rohani sendiri untuk belajar perwatakan, cara percakapan, bahasa tubuh dan keperibadian beliau,” ujarnya teruja.

Menariknya mengenai teater terbitan CTRA Productions itu kata Nad, dia bakal berkongsi pentas bersama guru yang pernah mendidiknya dalam ilmu seni persembahan ketika menuntut dalam bidang Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) beberapa tahun lalu iaitu Juhara Ayob.

Pensyarah jadi kawan

Kekok atau tidak berkongsi pentas bersama individu yang pernah mendapat tunjuk ajar suatu ketika dahulu, kata Juhara transisi pensyarah kepada pelakon yang akan beradu tenaga dengan anak didik tidak membuatkan dia canggung. Malah, situasi itu dilihatnya lebih kepada rakan dalam industri sama.

“Nad seorang bintang sedang bersinar dan sebagai seorang pensyarah yang pernah mengajarnya sebelum ini, saya berbangga dengan pencapaiannya sekarang. Malah, saya juga salah seorang peminatnya dan sering mengikuti perkembangannya dalam dunia lakonan.

“Apabila digandingkan dalam satu pentas persembahan, tidak pernah timbul perasaan segan atau kekok untuk berlakon bersama individu yang pernah menjadi pelajar saya beberapa tahun lalu. Di luar bidang tugas saya sebagai pensyarah, saya menganggap dia sebagai pelakon dan rakan saya dalam industri.

“Jadi, perhubungan itu akan memudahkan kami untuk berbincang mengenai kesesuaian watak serta karakter. Antara kami, tidak akan ada jurang atau perbandingan fikiran untuk menegur ke arah yang lebih baik,” jelas Juhara.

Menerusi pementasan Diari Wanita... Episod Kak Ani & Nyonya, Juhara diberikan peranan sebagai Keponakan Beautiful bersama dua pelakon lain iaitu Misha Omar (Keponakan Cantik) dan Amy Mastura (Keponakan Anggun). Pernah mendukung peranan sama kira-kira 10 tahun lalu, bezanya kali ini kata Juhara adalah daripada segi penampilan.

“Kalau dahulu ketika melakonkan watak keponakan, saya belum berhijab dan kini salah satu cabarannya adalah menyesuaikan watak dengan personaliti saya. Kemudian, ketika terbabit sekali lagi dengan pementasan naskhah Nyonya enam tahun lalu, saya sedang hamil dan watak saya ketika itu disesuaikan dengan fizikal saya sebagai keponakan hamil.

“Sekali lagi ditawarkan untuk berlakon dalam naskhah hebat ini mana mungkin saya akan tolak. Rindu saya untuk berlakon ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Pendek kata teater ini medium terbaik untuk saya melepaskan gian setelah selama lebih empat tahun hanya menjadi pensyarah dalam bidang lakonan,” katanya yang masih mengajar subjek lakonan di Aswara sejak 2010.

Hilang bersebab

Penjelasan itu juga menjawab teka-teki kehilangan Juhara daripada industri hiburan tempatan sepanjang tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Tambahnya, fokus perlu diberikan kepada tugas hakikinya selaku pensyarah di institusi pendidikan itu selain tumpuan kepada keluarga yang semakin bertambah ahlinya.

“Sukar untuk saya memberikan komitmen berlakon kerana setiap hari tugas saya di fakulti bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Jika ada kelapangan pun hanya hujung minggu atau waktu malam, jadi saya harus mengehadkan berlakon di luar bidang tugas.

“Saya tidak boleh tinggalkan bidang ini dan bidang yang membenarkan saya aktif pun cuma berlakon teater. Sebenarnya profesion saya sebagai pensyarah dalam bidang teater memerlukan saya sentiasa aktif dalam lapangan seni untuk meraih kepercayaan dan keyakinan pelajar saya sendiri. Bonus bagi seseorang pensyarah yang masih aktif berlakon sambil mengajar,” jelasnya.

Teater Diari Wanita... Episod Kak Ani & Nyonya dibahagikan kepada dua segmen iaitu Kak Ani, yang merupakan anak kepada tukang cuci baju (ibu) dan tukang masak (ayah) hidup kesusahan ketika pada awal zaman kemerdekaan negara yang dipaparkan dalam bentuk monolog. Segmen Nyonya pula bercerita tentang seorang wanita kaya yang dipanggil Nyonya yang tidak senang dengan pedagang barang antik bernama Tuan kerana lelaki itu banyak muslihat. Pada masa sama, rumah Nyonya sering didatangi tiga keponakan (anak saudara) kepada suaminya untuk menuntut harta.



Previous Post Next Post