Permintaan Hati Nanasheme



Tidak pernah terdetik di hati pemilik nama Nur Nabilah Binti Hashimi ini untuk bergelar penyanyi. Namun, selepas berlaku satu peristiwa tragik dalam diari hidupnya, gadis kelahiran Kuching, Sarawak ini mula tergerak hati untuk membuka langkah dalam industri seni tanah air.

Perjalanan seninya bermula apabila gadis comel ini membuka saluran YouTube menggunakan nama Nanasheme pada 16 Februari 2011. Dari situ, Nana mula menerima banyak undangan persembahan termasuklah ‘Konsert 3 Negara’ di Dataran Merdeka pada Ogos 2013.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik, bakat nyanyian Nanasheme turut dikesan oleh syarikat rakaman Life Records sekaligus memberi ruang kepadanya untuk merakamkan single pertama dengan syarikat tersebut. Atas perbincangan bersama, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Nanasheme, ‘Permintaan Hati’ menjadi taruhan pertama gadis ini untuk bergelar anak seni.

“Sebelum ini, saya suka tengok YouTube dengan arwah ibu. Arwah tahu minat saya dalam bidang nyanyian dan dia sangat menyokong minat saya terhadap bidang ini. Dia pernah tanya kenapa saya tak cuba untuk memasukkan video saya menggunakan saluran tersebut.






Saya sendiri tak pernah terfikir pun nak buat ‘cover song’ di YouTube. Namun, selepas arwah meninggal dunia pada tahun 2010, saya mula tergerak hati untuk mencuba nasib di mana pada masa sama saya juga mahu merealisasikan niat arwah,” tutur Nanasheme membuka bicara.

“Pada mulanya ditawarkan oleh syarikat Life Records, saya sekeluarga memang tak percaya. Kami datang dari bandar yang kecil dan apabila mendapat peluang dan rezeki sebegini, Alhamdulillah syukur sangat. Berada di tahap ini pun sudah cukup untuk membuatkan saya gembira dan bersyukur,” kata penuntut tahun kedua jurusan Diploma Pembangunan di UiTM Samarahan, Sarawak ini.

Bangkit Dari Kesedihan

Memang sukar untuk menerima takdir orang yang disayangi pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Apatah lagi, pemergian arwah ibunya berlaku dalam keadaan yang singkat dan mengejutkan. Ketika itu, usia Nanasheme baru sahaja 15 tahun. Namun, anak pertama dari tiga adik-beradik ini menguatkan hatinya untuk menerima Qada dan Qadar ini serta redha dengan ketentuan Ilahi.

“Pemergian ibu berlaku dalam keadaan mengejut. Sehingga kini, saya pun kurang pasti punca arwah meninggal dunia, namun menurut doktor ibu mengalami kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman dalam darah. Ibu sakit mengejut dua bulan sebelum saya bakal menduduki peperiksaan PMR.

Apabila jadi begini, saya jadi tak tentu arah. Namun, bila fikirkan adik-adik, saya sebagai anak sulung kena tunjukkan diri saya tabah dan beri semangat kepada mereka,” ujar Nanasheme yang mula menulis lagu selepas arwah ibunya meninggal.



“Lagu pertama yang saya buat adalah ‘Permintaan Hati’. Ia berkisar tentang permintaan hati serta pengalaman cinta saya sendiri yang tidak kesampaian. Saya juga mempunyai satu lagu yang dituju khas untuk arwah ibu, namun ia mungkin akan menjadi simpanan saya sahaja. Sehingga kini, saya sudah mempunyai 10 buah lagu yang saya cipta sendiri dalam koleksi.

Saya mendapat idea untuk menulis lagu ketika berada di tempat yang luas seperti padang dan tepi pantai. Disebabkan itu, saya sentiasa perlu ada buku kecil dalam beg kerana tiap-tiap hari saya akan tulis apa yang saya rasa dalam buku itu,” bicara Nanasheme sambil mengakui berasa bertuah kerana minatnya terhadap muzik mendapat sokongan penuh daripada keluarga.

Perjalanan Gadis Youtube

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai artis yang dilahirkan dari laman Youtube. Namun, itu semua bukan menjadi batu penghalang untuk Nanasheme berada dalam industri arus perdana ini. Menganggap ia satu persaingan yang sihat, Nanasheme memberitahu lambakan artis Youtube menjadi pemangkin semangat buatnya untuk berusaha lebih gigih lagi dalam industri muzik tempatan.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, Najwa Latif, I Am Neeta, Ainan Tasneem dan Tasha Manshahar bermula tahun yang sama dengan saya. Namun, rezeki saya datang lambat sikit. Mereka merupakan kawan-kawan saya dan saya tak anggap mereka satu saingan. Saya anggap mereka sebagai rujukan untuk saya lebih berjaya. Kami saling menyokong antara satu sama lain dan itu yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk berada dalam industri,” tutur Nanasheme kepada ARTISMELETOP
.

Perjalanan seni Nanasheme sebagai penyanyi arus perdana bermula dengan proses rakaman single pertamanya, ‘Permintaan Hati’ pada bulan Oktober 2013. Selesai rakaman vokal, Nanasheme menjalani penggambaran muzik video lagu tersebut yang dibuat di sekitar Shah Alam. Video tersebut diarahkan oleh pengarah dari Loulpop Pictures, Khairul Hazwan atau lebih dikenali sebagai KH.



“Alhamdulillah, sejak dilancarkan pada bulan Januari, sambutan terhadap lagu ‘Permintaan Hati’ amat memberangsangkan. Saya tak sangka lagu ‘Permintaan Hati’ akan diterima ramai. Video muzik lagu ini sendiri sahaja telah mencecah 43,000 tontonan di Youtube,” ujar Nanasheme yang turut mempunyai peminat dari Indonesia.

“Saya tak sangka akan ada peminat dari luar Malaysia di mana hampir setengah daripada pengikut saya di laman sosial adalah dari Indonesia. Namun, ini bukan bermaksud saya sudah popular kerana saya hanya dikenali setakat di Youtube saja. Saya harap saya dapat membawa muzik saya ke peringkat antarabangsa dan saya juga menanam impian mahu berduet dengan Yuna,” kata gadis berusia 19 tahun ini yang bakal menyambut ulangtahun kelahirannya pada tanggal 20 Mei.

Bagi mereka yang ingin mengikuti muzik serta perkembangan lanjut mengenai Nanasheme, anda boleh mengikuti Nanasheme di Facebook Fanpage : nanasheme, Twitter (@NanaaSheme), Youtube Channel (Nana Sheme) dan Instagram (NANAASHEME).
Previous Post Next Post