Wings tunggu penjelasan KRU Music



PARAS kepuasan kumpulan Wings tidak dapat digambarkan apabila penantian selama 12 tahun untuk menghasilkan album baharu tercapai.

Kali terakhir Wings berpadu tenaga apabila menghasilkan album Naga Kramat pada tahun 2002.

Kini, dengan Menakluk Kosmos, album yang mengandungi 10 buah lagu bakal menakluk peminat Wings seluruh Malaysia dan Singapura. Album tersebut mula dipasarkan semalam.

Ironinya, kepuasan dan keindahan yang dikecapi ahli-ahli kumpulan yang ditubuhkan pada 1986 itu tidak lama apabila menerima khabar buruk bahawa empat dalam album tersebut daripada 10 lagu yang terkandung dimuat naik secara percuma di internet.






Untaian lagu Peti Pandora Mu, Ingatkan Dia, Bisa yang Tertunda, malah Hei! Lihat Sini (lagu simpanan Wings) dimuat secara haram dan dibuat dalam bentuk album kompilasi.

Sedih, hampa dan marah. Semuanya bergaul sebati dalam diri anggota Wings yang terdiri daripada Awie, Joe, Eddie dan Black kerana perkara itu berlaku sebelum album Menakluk Kosmos berada di pasaran.

"Sedikit demi sedikit, dengan perit jerih kami mencari lagu-lagu baharu. Masih mengekalkan signature Wings itu sendiri di dalam setiap lagu, namun semua itu menjadi 'sampah' apabila pihak tidak bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya memuat naik lagu tersebut dan menjualnya secara cetak rompak dalam bentuk album kompilasi Wings.

"Memang kecewa yang teramat sangat," ungkap vokalis Wings, Awie yang masih menggigil marah menerima perkhabaran tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran album Menakluk Kosmos diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kekecewaan yang diluahkan kepada pihak media pada sebelah petang sewaktu majlis pelancaran album tersebut diadakan, rupa-rupanya tidak berakhir di situ.


SELEPAS 12 tahun tidak mempunyai album, Menakluk Kosmos menjadi karya yang dinanti oleh seluruh peminat grup legenda ini.

Laporan polis

Sehari selepas luahan kecewa itu, Wings mengambil langkah drastik apabila membuat laporan polis berhubung kegiatan cetak rompak tersebut.

Tindakan itu dibuat selepas pihak Wings tidak mendapat sebarang maklum balas WhatsApp yang dihantar kepada KRU Music mengenai insiden tersebut.

"Saya mahu penjelasan daripada pihak yang terbabit dengan penerbitan juga promosi album ini iaitu KRU Music serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagaimana kejadian cetak rompak ini boleh berlaku," luah Awie yang telah membuat laporan polis bersama ahli-ahli Wings yang lain di Balai Polis Taman Melawati sekitar pukul 8 malam, Selasa lalu.

Tidak bersetuju

Sementara itu, menerima berita tersebut sebelum majlis pelancaran album pada hari itu, emosi Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman terjejas teruk.

Tidak betah selagi penjelasan dan tindakan lanjut tidak dibuat pihak KRU Music, Awie berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Menandatangani perjanjian kontrak dengan KRU Music Sdn. Bhd. pada 2012, dedah Awie, dia pada mulanya memang tidak bersetuju apabila pihak KRU Music memuat naik tiga lagu baharu mereka menerusi laman YouTube dan iTunes.

"Saya sebenarnya tidak pernah bersetuju lagu Wings dimuat naik secara begitu. Kalau ia dimuat naik separuh lagu sahaja tidak mengapa. Ini, secara total," ungkapnya.

Mengilham strategi, menyerap kembali aura cara nyanyian untuk lagu-lagu Wings dan mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan album tersebut, semuanya dilakukan Awie demi memastikan album tersebut menjadi terbaik antara album-album Wings sebelum ini.

"Untuk buat album Wings setelah 12 tahun bukan mudah. Saya kena dapatkan kembali cara nyanyian untuk lagu-lagu Wings dan saya juga perlu benar-benar menjiwai dan memastikan teknik vokal disampaikan dengan baik.

"Sehingga rakaman vokal juga dilakukan di bilik tidur hotel di Pulau Langkawi selama dua minggu pada Disember lalu bagi mendapatkan suasana baharu, ketenangan tanpa sebarang tekanan," ujarnya.


WINGS melihat isu cetak rompak sebagai suatu isu paling serius yang akan membuat industri hiburan 'mati' jika ia tidak dibendung.

Album terbaik

Menyambung kekecewaan, pemain gitar utama kumpulan Wings, Abdul Zamin Abdul Kadir atau Joe pula mengakui , mereka mendapat berita tersebut daripada sayap-sayap Wings (peminat) di Kuantan, Pahang.

Apa yang membuatkan penerbit dan komposer itu bertambah kecewa apabila lagu Hei! Lihat Sini yang akan digunakan sebagai lagu runut bunyi sebuah filem terbitan KRU turut dimuat naik secara percuma.

"Saya kecewa dan terkejut kerana album tersebut merupakan album terbaik yang pernah saya lakukan. Peminat-peminat Wings juga sudah lama menunggu album ini dan atas sebab itu juga saya memastikan album ini dilakukan dengan sempurna.

"Namun, empat lagu kami berjaya dimuat naik secara percuma, malah album itu juga boleh didengar menerusi aplikasi Spotify dan Deezer bagi pengguna telefon pintar," jelasnya.

Pelik dengan keadaan yang berlaku, namun baik Awie mahupun Joe mereka tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang melakukan perkara tersebut.

Malah, ungkap Joe, kejadian yang berlaku mematangkan Wings untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Ini bukan pertama kali isu cetak rompak berlaku kepada Wings tetapi ini adalah kali pertama ia berlaku sebelum kami sempat melancarkan album berkenaan," ujarnya kesal.
Previous Post Next Post