Erin Malek, Farriz bertunang Jun ini



BARU berusia 20 tahun, Erin Malek mengaku dirinya sudah cukup matang dan bersedia untuk bergelar seorang isteri.

SEBELUM ini pelakon yang menjuarai program Fear Factor Malaysia musim kedua (FFM2), Erin Malek tidak pernah berselindung mempunyai kekasih dan sering memuat naik gambar buah hatinya itu di Instagram.

Bagaimanapun, sifat terbuka Erin itu dikritik pengikut-pengikut Instagramnya lebih-lebih lagi apabila mengetahui pelakon berusia 20 tahun itu bercinta dengan lelaki yang dikenali sebagai Farriz Fauzy, 30, menerusi Instagram.

Tidak mengambil kisah akan pandangan orang ramai, Erin yang ditemui pada majlis pratonton Awak Nak Kahwin Dengan Saya? mengakui bakal melepasi satu lagi fasa perhubungannya dengan ahli perniagaan itu iaitu bertunang.

Pasangan itu merancang untuk mengikat tali pertunangan pada bulan Jun ini.

Ikuti lanjut temu bual ARTISMELETOP! bersama Erin mengenai cinta hati dan perancangannya untuk melangkah ke alam rumah tangga.






ARTISMELETOP!: Boleh Erin kongsikan detik perkenalan dengan Farriz Fauzy?

ERIN: Saya mengenali Farriz sejak empat bulan lalu menerusi Instagram. Selepas itu kami bertukar nombor telefon dan dia mengajak saya keluar. Sejak itu hubungan kami terjalin. Kami juga telah merancang untuk bertunang pada bulan Jun ini, namun belum mempunyai tarikh khusus untuk majlis tersebut.

Tidakkah anda berasakan tempoh empat bulan berkenalan itu adalah singkat sebelum mengambil keputusan untuk bertunang?

Tidak, kami kerap berjumpa. Hampir setiap hari kami menikmati makan tengah hari bersama. Kalau perjalanan hubungan kami sudah baik, tidak salah sekiranya saya meneruskan hubungan kami ke satu tahap lagi. Walaupun tempoh perkenalan kami singkat, ia tidak menjadi masalah kerana kami berdua memang sudah memasang niat untuk berkahwin.

Bilakah perancangan berkahwin itu akan terlaksana?

Mungkin tahun ini atau mungkin tahun depan. Masih merancang.

Kenapakah anda cukup terbuka memberitahu mengenai hubungan anda dengan kekasih?

Saya kongsikan hubungan kami ini dengan orang ramai kerana kami kerap berjumpa dan keluar bersama. Saya tidak mahu sembunyikan dan membuatkan orang ramai memikir perkara yang bukan-bukan. Saya harap agar orang ramai mendoakan majlis kami berjalan lancar dan tidak ada apa-apa halangan.


ERIN mempunyai perbezaan usia 10 tahun dengan kekasihnya, Farriz.

Apakah yang membuatkan anda yakin Farriz merupakan lelaki terbaik untuk menjadi calon suami anda?

Dia sangat menyokong karier seni saya. Itu paling penting sebab saya memang mengharapkan pasangan saya menyokong karier lakonan saya. Malah, dia ada beritahu jika kami berkahwin kelak dia tetap membenarkan saya meneruskan karier lakonan.

Perbezaan umur sebanyak 10 tahun, adakah ia menjadi masalah?

Tidak. Walaupun jarak umur kami jauh, saya cukup selesa dengannya. Walaupun umur saya baru 20 tahun, saya sudah cukup matang. Kontroversi dan perjalanan hidup saya sebagai pelakon telah mematangkan pemikiran saya.

Ada yang mendakwa Farriz seorang jutawan. Benarkah?

Saya kenal dia bukan sebab duit. Pada awal perkenalan kami, saya tidak tahu sama ada dia anak jutawan, Tan Sri atau sebagainya kerana dia dan keluarganya cukup merendah diri. Apa yang boleh saya katakan, Farriz mempunyai perniagaan sendiri. Saya kecewa apabila orang berkata begitu (berkenalan kerana kaya). Saya sendiri bekerja kuat dan mempunyai pendapatan cukup untuk diri sendiri.

Boleh kongsikan mengenai watak anda dalam filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya?

Saya bawa watak Puteri, seorang setiausaha yang kelam-kabut dan lurus bendul tetapi rajin.

Bagaimanakah pengalaman bekerja di bawah pengarah Eyra Rahman?

Ini merupakan kali kedua saya bekerja dengan Eyra Rahman. Kali pertama menerusi drama Rawan. Walaupun saya pernah membawakan watak seperti itu tetapi watak Puteri berbeza apabila saya membawa karakter tersebut ke dalam layar yang lebih besar.

Kepuasan yang diperoleh daripada watak Puteri?

Soal kepuasan lakonan, saya akui tidak pernah berasa puas. Apabila saya menonton balik lakonan saya, kita akan nampak kekurangan dan dari situ kita akan lebih berusaha untuk memperbaiki lagi mutu lakonan kita. Filem terbitan Metrowealth (MIG) ini akan mula ditayangkan pada 22 Mei ini.
Previous Post Next Post