TIGA SWAGGER bersama Cat Farish (dua dari kanan).
GAGAL sekali tidak bererti gagal selamanya. Didorong dengan semangat dan sokongan, penyanyi dan juga komposer Cat Farish menukarkan nama syarikatnya kepada Godzilla Boombox.
Cat yang merupakan pencipta lagu eksklusif syarikat Datuk M. Nasir iaitu Luncai Emas sejak 10 tahun lalu itu juga bersedia menggerakkan label syarikat miliknya sendiri dengan sokongan dan kerjasama syarikat milik penyanyi bergelar sifu tersebut.
Kerjasama hebat itu memperkenalkan dua artis berkumpulan baharu iaitu Tiga Swagger dan juga Hanarose.
“Sebelum ini saya guna nama sendiri untuk label syarikat. Namun, ia tidak mendapat untung. Banyak projek yang tidak menjadi seperti penubuhan kumpulan Mix, Pop dan Dinda.
“Mudah-mudahan melalui nama Godzilla Boombox, syarikat saya mendapat tuah,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu Ops! Aku Dah Ter... dan juga Girlfriend di Hotel Royale Bintang, Damansara baru-baru ini.
Memilih nama Godzilla kerana ingin menggambarkan harapannya yang besar terhadap syarikat miliknya itu, Cat juga bergabung dengan penyanyi rap dan juga pengacara, Zizan Razak melalui single baharunya, Ops! Aku Dah Ter...
Ops! Aku Dah Ter... yang kini giat diputarkan di corong-corong radio merupakan gabungan antara Tiga Swagger, Cat dan Zizan serta penyanyi Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Echa.
Girlfriend
“Kenapa judul lagunya, Ops! Aku Dah Ter... sebab gabungan kami ini semuanya secara tidak dirancang. Malah, lagu itu juga dipilih Datuk M. Nasir sendiri sejak lebih setahun yang lalu.
“Saya beri beliau lima lagu tetapi Datuk pilih lagu ini dan minta saya buat susunan semula lagu tersebut,” ulasnya yang memilih Zizan kerana hubungan rapatnya dengan kekasih kepada pelakon Emma Maembong itu.
Sudah merakamkan lagu Ops! Aku Dah Ter... lebih setahun yang lalu, akui Zizan pula, lagu tersebut diperam lama kerana kesibukan kerjanya dan juga Cat sendiri.
Zizan juga mengakui berasa terhutang budi kepada Cat kerana lelaki itu yang bertanggungjawab membawanya masuk ke dalam muzik rap.
“Sebenarnya Cat yang bertanggungjawab membawa saya masuk ke dalam muzik rap. Saya pernah mengadu kepadanya yang saya meminati bidang nyanyian rap dan akhirnya saya dapat menyanyi lagu Anggun bersama Altimet dan Zain Ruffedge.
“Selepas lagu Anggun, Cat menawarkan pula lagu Ops! Aku Dah Ter...,” ulasnya yang masih belum yakin untuk menghasilkan album sendiri, sebaliknya menyimpan azam untuk terus menyanyi rap kerana minatnya yang mendalam pada muzik.
Lega dengan komitmen Zizan, Cat mengakui sedikit gentar mengajak Zizan berkolaborasi untuk lagu tersebut kerana tahu kesibukan bintang popular itu.
Sementara itu, menurut Cat, single Girlfriend yang dinyanyikan oleh duo Hanarose merupakan pertaruhan pertama kumpulan anak didiknya.
“Lagu Girlfriend ini mudah diingati, catchy dan cheeky bersesuaian dengan perwatakan duo, Hanarose yang terdiri daripada Eka dan Isya,” ujarnya mengenai Eka yang merupakan bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kesembilan manakala Isya pula merupakan bintang kelahiran program realiti RTM, i-klon.