KREDIBILITI Nasha Aziz sebagai model dan aktres yang disegani menjadi faktor utama beliau dipilih sebagai juri tetap Fesyenista Manja Baby Kiko dan Kiko 3.
ADAKAH anda ingin tahu apa fesyen yang sesuai untuk si manja anda ketika menghadiri majlis-majlis tertentu? Mahukan si manja anda tampil lebih bergaya ketika berjalan-jalan di luar?
Sekiranya benar, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Fesyenista Manja Baby Kiko dan Kiko 3 yang bersiaran di saluran 104 pada setiap hari Ahad, pukul 7.30 malam bermula pada 18 Mei 2014.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, Program realiti tersebut merupakan antara testimoni Astro Ria selaku Saluran Hiburan Melayu Utama yang menayangkan program-program hiburan bervariasi.
"Melalui pengamatan kami, selain daripada program-program hiburan yang sering menampilkan penglibatan para artis dan selebriti, penonton juga amat berminat untuk menonton program-program yang melibatkan penyertaan orang awam dan berbentuk realiti seperti ini.
"Oleh itu, penerbitan program ini dilihat cukup tepat dan sesuai dengan corak permintaan yang sukakan program sebegini kerana konsep unik yang menggabungkan penglibatan oleh selebriti-selebriti popular serta orang awam selain dapat memberi peluang kepada para peserta dan selebriti untuk menonjolkan kreativiti masing-masing," ujarnya.
Dikendalikan sepenuhnya oleh personaliti terkenal tanah air Sharifah Shahira sebagai hos program, Fesyenista Manja Baby Kiko dan Kiko 3 kini kembali serba baharu untuk musim ketiga dengan pengisian lebih mantap dan menghiburkan yang bakal menampilkan pelbagai cabaran baharu dan fesyen-fesyen menarik himpunan koleksi terkini oleh jenama Kiko dan Baby Kiko.
Menarik lagi, program realiti yang berkonsepkan kekeluargaan ini juga turut menampilkan gandingan mantap aktres dan model terkemuka yang tidak asing lagi iaitu Nasha Aziz serta pereka fesyen tersohor tanah air Jovian Mandagie selaku juri tetap.
Bukan itu sahaja, musim ini juga turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa selebriti-selebriti popular tanah air seperti Yasmin Hani, Dazrin Kamaruddin, Scha Al Yahya, Fizo Omar, Sazzy Falak, Nik Micheal Imran, Nazsha, Trisyia, Rykarl, Wafiy, Elnisa dan Mia Sara.
Raqim turut menambah: "Faktor pemilihan selebriti jemputan bagi mewarnai program ini juga amat penting agar bersesuaian dengan musim yang sedang berlangsung. Pendekatan ini adalah sebagai daya penarik untuk penonton agar terus mengikuti program ini.
"Pemilihan Sharifah Shahira untuk melunaskan tugas sebagai hos musim ini dilihat amat
bersesuaian berdasarkan kepada karekternya yang bersahaja dan menarik menepati konsep dan penonton sasaran program ini. Kami percaya beliau mampu mengemudikan program ini dengan sentuhan dan gayanya yang tersendiri sekali gus memikat hati penonton."
Bakal bersiaran selama enam minggu ini, sebanyak 12 kumpulan terpilih bakal bersaing yang mana setiap kumpulan diwakili oleh tiga orang peserta yang terdiri daripada seorang dewasa (sama ada ibu atau bapa) bersama seorang si manja Kiko (berusia di antara 6 bulan hingga 3 tahun) dan seorang si manja Baby Kiko (berusia di antara 4 hingga 12 tahun).
Pada kemuncak rancangan ini, hanya akan ada dua pemenang utama yang akan dipilih menerusi dua sistem penjurian iaitu melalui Pilihan Juri dan juga Pilihan Umum.
Pemenang pilihan juri akan diadili oleh barisan juri tetap yang telah dilantik khas dan akan membawa pulang RM15, 000. Manakala bagi pemenang pilihan umum pula bakal menikmati habuan sebanyak RM10, 000 ia akan ditentukan oleh pengundi-pengundi di Facebook Kiko dan Baby Kiko.