Ajak Shiro Tak hormati bahasa kebangsaan


AJAK SHIRO

CAKAP bahasa Melayu sahaja! Itu kritikan segelintir penonton yang ‘berbulu’ menyaksikan gelagat anggota kumpulan Shiro, Ajak yang dikatakan beria-ia meniru loghat Indonesia ketika mengacara Carta Muzik Indonesia yang bersiaran di saluran 141 Astro.

Menganggap tindakannya itu seolah-olah tidak menghormati bahasa kebangsaan, ramai berharap agar Ajak lebih berhati-hati ketika mengendalikan program berkenaan meskipun menyasarkan rakyat Indonesia sebagai penonton utamanya.

Tidak menyifatkan tindakannya itu sebagai ‘menjahanamkan’ bahasa Melayu, Ajak tahu bahawa sebagai pengacara dia tidak boleh keterlaluan ketika berada di depan kamera semata-mata untuk menarik perhatian penonton.

“Saya akui memang ada bercakap loghat Indonesia semasa mengacara program berkenaan tetapi harus difahami bahawa itu adalah sebuah program yang memang kelompok penontonnya untuk orang Indonesia selain rakyat Malaysia sendiri.






“Tetapi tidak bermaksud dari awal sehingga akhir rancangan saya bercakap dalam loghat Indonesia. Saya masih menggunakan bahasa kebangsaan.

“Cuma sesekali saya selitkan dengan bahasa Indonesia. Semua itu sekadar suka-suka dan sebagai tarikan saja," katanya.

Menerima pandangan dan kritikan secara terbuka, Ajak juga positif dan sedia memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

“Kalau komen yang membina, saya ambil untuk jadikan sandaran. Saya akan buat yang terbaik. Tetapi kalau masih ada yang kata saya beria-ia nak jadi orang Indonesia, itu melampaulah.

“Lagipun setakat ini pihak penerbit dan stsesen televisyen tidak memberi apa-apa respons negatif, jadi saya rasa mereka berpuas hati dengan cara saya mengendalikan program itu," katanya lagi.

Tak tinggal Shiro

Melihat kepada kecenderungan barunya dalam bidang pengacaraan Ajak bagaimanapun tidak mahu orang ramai berfikir bahawa itu adalah isyarat bagi menyatakan yang dia dan Shahrol tidak lagi bersatu sebagai duo Shiro.

Bertegas menjelaskan bahawa dia dan Shahrol masih bersama, kata Ajak:

“Kami tak pernah berpecah dan hubungan kami masih baik. Cuma saya tak nafi, kadang-kadang orang tengok saya jarang bersama dia untuk majlis-majlis tertentu. Kadangkala, itu bukan kehendak saya.

“Kena faham kadang-kadang ada penganjur majlis yang cuma mahu Shahrol sahaja beraksi, kadangkala ada yang cuma mahu saya seorang.

“Itu tidak menjadi masalah buat kami kerana awal-awal lagi kami sudah bersedia dengan perkara begini. Masing-masing punya rezeki, kita tak boleh sekat malah kami saling menyokong kalau ada antara kami yang dapat peluang lebih."

Menjadikan AC Mizal sebagai mentornya dalam bidang pengacaraan, Ajak mengakui bahawa jiwanya masih kepada bidang lawak jenaka.

Sedar bahawa dia perlu menyeimbangi dua bidang kerjaya itu dengan baik kata Ajak, dia banyak meminta nasihat dan tunjuk ajar daripada AC yang cukup dihormatinya.

“Banyak perkara yang saya pelajari daripada AC. Mungkin ada orang fikir menjadi pengacara ini mudah tetapi sebenarnya bidang ini tak semudah itu.

“Saya ingat pesanan dia, pengacara itu tugasnya adalah mengendalikan program dan memastikan perjalanan majlis berlangsung dengan baik dan lancar seperti yang dirancang penganjur.

“Juga jangan sesekali nak beraksi keterlaluan kerana penonton bukan nak tengok pengacara tetapi penonton hadir kerana sesebuah majlis," ujarnya.
Previous Post Next Post