Pelakon Aman Nassim sebelum ini digosipkan dengan pe–nyanyi yang mencipta nama di China, Shila Amzah. Mereka dikatakan berkawan baik, malah hubungan mereka direstui ibu Shila yang mahu Aman merapati anaknya. Namun dakwaan itu dinafikan ibu Shila, Fauziah Sarman dan Shila sendiri.
Terbaru, timbul pula dakwaan Aman merapati bekas tunang pelakon kacak Shah Jaslze, Puteri Redzwani. Mereka dikatakan mula keluar bersama susulan bukti beberapa foto dimuat naik di laman Instagram milik mereka.
Cerita itu turut mendapat perhatian ruangan Cik Pang mendakwa Aman meluahkan perasaan terhadap Puteri.
Saat bertemu pelakon berdarah campuran Cina, Pakistan dan Melayu itu di Balai Berita, minggu lalu, SELEBRITI cuba mendapatkan penjelasan Aman.
“Mengenai Shila, selepas isu itu timbul, saya sudah lama tidak berhubung dengan mereka (Fauziah dan Shila). Saya anggap perkara itu sudah lepas dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
“Namun memang mengejutkan apabila timbul pula isu saya merapati Puteri. Walhal kami hanya berkawan dan tidak lebih daripada itu. Kami tidak pernah keluar berdua seperti didakwa, sebaliknya beramai-ramai.
“Contohnya, baru-baru ini kawan kami dimasukkan ke hospital dan di sana kami bergambar lalu muat naik ke laman Instagram,” katanya.
Pelakon asal Johor Bahru, Johor itu ketawa saat dilabel ‘kaki perempuan’ susulan digosipkan dengan dua selebriti popular. Katanya, sebagai seorang yang mudah mesra, Aman akui mempunyai ramai kawan perempuan dan sering keluar lepak bersama mereka.
Pun begitu, tidak bermakna dia kaki perempuan dan suka bertukar pasangan. Anak saudara penyanyi popular 1980-an, Salwa Abdul Rahman ini berkata, dia berkawan de–ngan semua orang tidak kira lelaki atau perempuan.
“Kalau keluar dengan lelaki saja, nanti orang kata saya ‘gay’ pula. Namun, saya akui kurang tampil di media kerana tidak tahu bagaimana untuk mendekati media. Banyak perkara saya perlu belajar supaya lebih mesra media,” katanya.
Aman memulakan langkah dalam bidang seni pada 2012 selepas tamat pengajian di Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara).
Biarpun kategori baru dan masih belum dikenali kalangan media arus perdana, Aman akui bangga dengan tempoh perjalanannya dalam dunia hiburan tanah air.
Selain mendapat kepercayaan pengarah untuk berlakon dalam beberapa drama bersiri, antaranya Sebenarnya Aku Isteri Dia, Kerana Sarah, Derhaka Seorang Madu dan Fira Ayuni, Aman juga mula berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan.
“Saya kini mengacara untuk program realiti Super Voice oleh Celcom Xpax yang bersiaran secara dalam talian (online). Saya juga baru ditawarkan komposer popular, LY dan Baiduri untuk menghasilkan single.
“Segala-galanya berlaku secara tidak dirancang tetapi saya suka mencabar diri dengan melakukan perkara di luar jangkaan.
“Memang niat awal saya terjun ke dalam bidang hiburan untuk berlakon tapi sejak ada tawaran lain, mengapa tidak saya cuba,” katanya optimis.
Aman percaya pada kekuatan yang ada pada dirinya dan perjalanan hidup bergelar artis dua saudaranya, Salwa dan Zarina Zainoordin yang lebih dulu mencipta nama memberi pengajaran kepadanya.
Selain bakal tampil dengan sing–le berkonsepkan pop balada, Aman kini menjalani penggambaran drama bersiri Jauh Dari Cinta untuk saluran Astro.