Mewarisi bakat seni dari ibunya Fatimah Abu Bakar, nama Sharifah Amani mula dikenali menerusi filem Sepet. Malah, filem pertama lakonannya membawa kejayaan kepada-nya apabila dinobatkan Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18) pada 2005.
Menyusul filem Gubra, Amani yang mesra dengan panggilan Nani membawa watak Orked, sama dengan Sepet. Kali ini memberi kejayaan lebih besar apabila menang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19).
Nani turut mencipta rekod sebagai pemenang termuda pada usia 20 tahun mengatasi Erma Fatima yang menang ketika usia 22 tahun.
Bagaimanapun, kejayaan ini juga membawa kontroversi dalam hidupnya apabila dirinya dikecam hebat masyarakat kerana memberi ucapan dalam bahasa Inggeris. Kata-kata “I sound stupid if I speak in Malay” disalah tafsir hingga turut terpalit pada keluarganya.
Dilahirkan pada 10 Jun 1986 di Petaling Jaya, Selangor, Nani sekali lagi mencetuskan kontroversi pada 2007 apabila sanggup membotakkan kepalanya untuk babak dua minit dalam filem Mualaf.
Tindakan itu tidak sia-sia apabila Nani yang banyak berlakon filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2010 (ASK2010).
Nani turut dicalonkan Aktres Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-54 pada 2010. Walaupun tewas kepada aktres veteran Filipina, Anita Linda, dia pelakon wanita termuda dicalonkan untuk kategori itu sebaris dengan bekas pemenang, Tiara Jacquelina dan Maya Karin.
Pada 2009, Nani mengorak langkah menceburkan diri dengan kerja-kerja di belakang tabir. Dia diberi kepercayaan menjadi Penolong Pengarah 3 untuk filem Talentime dan Penolong Pengarah Lagak Ngeri untuk Hikayat Merong Mahawangsa.
Nani turut digosipkan bercinta dengan pasangannya dalam Sepet, Ng Choo Seong namun kedua-dua mereka menafikannya. Pada 2007, Nani dikaitkan pula dengan Que Haidar apabila dilihat menghadiri majlis seni bersama-sama.
Namun pada 2009, Nani memperkenalkan aktor Britain, Gavin Stenhouse sebagai kekasih hati. Jejaka itu menemaninya ke majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009.
Mereka berkenalan ketika terbabit dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa, tetapi hubungan mereka putus di tengah jalan.
Beliau juga pernah digosipkan dengan kontroversi merokok lihat video dibawah