Blended: Adam Sandler, aktor komedi serba boleh!



SIAPA yang tidak kenal dengan aktor komedi bertaraf lima bintang, Adam Sandler?

Nama bintang ini melonjak naik menerusi beberapa filem pecah panggungnya seperti Coneheads (1993), The Wedding Singer (1998), Punch-Drunk Love (2002), 50 First Dates (2004), The Longest Yard (2005), Click (2006), Bedtime Stories (2008), You Don't Mess With The Zohan (2008), Grown Ups (2010) dan Zookeeper (2011).

Tidak cukup dengan itu, aktor berusia 47 tahun ini juga muncul menerusi beberapa filem seperti The Animal (2001), Dickie Roberts: Former Child Star (2003), Anger Management (2003), The House Bunny (2008), Hotel Transylvania (2012) dan Grown Ups 2 (2013).






Menyingkap pembabitan Sandler dalam dunia seni Hollywood, suami kepada Jacqueline Samantha Titone ini mula menunjukkan minat terhadap bidang seni setelah muncul di kaca TV melalui rancangan The Cosby Show dan Remote Control pada 1987.

Begitu pun, ajakan daripada aktor Dennis Miller untuk bergabung dalam rancangan Saturday Night Live pada 1990 menyebabkan peluang Sandler dalam bidang seni terbuka luas.



Setelah tampil dalam pelbagai filem, Sandler kemudiannya aktif di belakang tabir apabila mengambil keputusan untuk mendirikan syarikat produksinya, Happy Madison Production pada 1999 yang menerbitkan filem-filem seperti Deuce Bigalow: Male Gigolo (1999), The Hot Chick (2002), The Benchwarmes (2006), Reign Over Me (2007) dan Funny People (2009).

Sepanjang kariernya berlangsung, aktor yang berkelulusan dari NYU’s Tisch School Of The Arts ini juga menghadapi pro dan kontra atas setiap hasil lakonannya.

Sandler pernah menerima Blockbuster Entertainment Award for Favorite Actor– Comedy, Kids’ Choice Award for Favorite Movie Actor, MTV Movie Award for Best Comedic Performance, dan People’s Choice Award for Favorite Motion Picture Star in a Comedy.

Namun di sisi lain, dia juga dinilai sebagai 'gagal' dalam berlakon lantaran pernah beberapa kali menerima anugerah bagi Golden Raspberry Awards (Razzie Awards) menerusi kategori Aktor Terburuk dalam filem Just Go with It (2011), Jack & Jill (2011) dan That’s My Boy (2012).

Jangan tidak tahu, selain berlakon, Sandler juga pandai menyanyi dan pernah merakam beberapa album seperti They’re All Gonna Laugh at You! (1993), What The Hell Happened To Me? (1996), What’s Your Name? (1997), Stan and Judy’s Kid (1999) dan Shhh...Don’t Tell (2004).


Terukir di bintang

Nama Sandler sememangnya cukup besar dalam dunia perfileman antarabangsa.

Selama berkecimpung lebih 20 tahun dalam industri seni Hollywood, Sandler bukan saja dikenali sebagai pelakon dan pelawak, tetapi terkenal sebagai penerbit, penulis skrip, pemuzik dan penulis lagu.

Dek kejayaannya itu, pemilik nama sebenar Adam Richard Sandler ini bertuah kerana menerima penghargaan apabila mendapat bintang yang terukir namanya di Hollywood Walk Of Fame, di Hollywood, California pada 2011.

Ternyata, Sandler sangat terharu dengan penghargaan besar yang diterimanya itu.

Malah, dia tidak percaya yang dia boleh berjaya seperti sekarang ini.

"Sebagai pelakon komedi, saya sangat bekerja keras untuk muncul di kaca TV dan layar lebar.

"Ramai yang datang ke Hollywood dengan impian sama dan saya berjaya mencapai impian tersebut," katanya pada Contact Music.

Selain Sandler, antara selebriti yang namanya terukir di Hollywood Walk Of Fame adalah Michael Jackson, Janet Jackson, Samuel L. Jackson, Elton John, Nicole Kidman, Bruce Lee, Keanu Reeves, Larry King dan Paula Abdul.


Lagi filem bersama Drew Barrymore

Masihkah anda ingat dengan filem-filem romantis seperti The Wedding Singer (1998) dan 50 First Dates (2004) yang menampilkan gandingan Sandler dengan aktres cantik, Drew Barrymore?

Bahkan, keserasian dua artis ini melalui filem 50 First Dates menyebabkan mereka layak menerima penghargaan dalam Best On-Screen Team di MTV Movie Awards.

Kini, dua pelakon itu bakal digandingkan sekali lagi menerusi filem terbaharu Warner Bros Pictures, Blended arahan Frank Coraci dan naskhahnya ditulis oleh Ivan Menchell dan Clare Sera.

Keserasian dua artis popular ini terus diperkatakan apabila Sandler dan Barrymore berduet dan menyanyikan lagu 10 Years Later sebagai salah satu rangka
mempromosikan untuk filem terbaru merekaitu sekali gus menceritakan mengenai pertemuan mereka berdua dalam filem berkenaan.

Duet Sandler dan Barrymore ini dipentaskan dalam acara The Tonight Show sambil diiringi petikan gitar Jimmy Fallon.

Selain Sandler dan Barrymore, Blended turut dilakonkan oleh Bella Thorne, Joel McHale, Wendi McLendon-Covey, Kevin Nealon, Jessica Lowe, dan Terry Crews
Blended menceritakan kisah dua insan, iaitu ibu tunggal dan duda yang bersetuju untuk tidak mahu bertemu lagi selepas menjalani satu sesi temu janji.

Pun begitu, ketika dalam satu percutian dengan keluarga masing-masing, secara kebetulan mereka berdua terpaksa berkongsi bilik . Bayangkan bagaimana kecoh dan macam-macam hal serta kerenah berlaku.

Bagaimanakah ia terjadi? Nantikannya di pawagam di seluruh negara mulai 12 Jun ini.


BLENDED

PENGARAH: Frank Coraci
PELAKON: Adam Sandler, Drew Barrymore, Bella Thorne, Joel McHale, Wendi McLendon-Covey, Kevin Nealon, Jessica Lowe, dan Terry Crews
GENRE: Komedi
DURASI: 117 minit
KLASIFIKASI: P13
TARIKH TAYANGAN: 12 Jun
Previous Post Next Post