Nik Michael bersama adiknya, Nik Faoruk Ezra (kiri) berganding bahu di restoran Picknik.
NAMANYA semakin melonjak selepas mengendalikan program masakan yang berjudul Hello Bro...Tolong Masak rentetan penyertaan sulungnya dalam program realiti TV, MasterChef Malaysia terbitan Astro.
Serentak itu dia mula meniti dunia glamor sebagai chef selebriti, apatah lagi dengan berbekalkan wajah pan Asia yang memudahkan lagi dirinya diterima.
Dia sendiri tidak pernah menyangka akan dikenali melalui masakan, justeru cukup teruja apabila diajak berbicara mengenai bidang yang semakin sebati dalam hidupnya itu.
Mengakui tidak pernah mengikuti mana-mana kelas masakan apatah lagi mendapat pendidikan formal dalam bidang tersebut, dengan rasa rendah diri, anak kelahiran Australia ini memberitahu, kekurangan itu sedikit pun tidak pernah melunturkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya dalam dunia kulinari.
Itulah, Chef Nik Michael Imran Nik Ezar, yang tidak pernah mempedulikan apa kata orang di sekelilingnya malah tetap meneruskan usaha untuk mencapai impiannya menjadi chef terkenal suatu hari nanti.
Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitan dalam bidang masakan, jelas anak sulung daripada enam beradik ini, segala-galanya bermula ketika dia berumur sembilan tahun.
Selain setiap hari disajikan dengan pelbagai hidangan hasil daripada air tangan bapanya, dia yang hanya mahu disapa sebagai Nik, turut didedahkan dengan pelbagai teknik masakan.
Setelah berbual panjang kesimpulan yang boleh dikatakan ialah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, kerana bapa Nik, Datuk Nik Ezar Nik Bolia juga merupakan seorang chef yang hebat.
Saya mula aktif di dapur sejak kecil lagi kerana ayah saya merupakan seorang chef yang bertugas di Australia ketika itu.
Seingat saya sejak berusia sembilan tahun saya sudah menghabiskan banyak masa di dapur dan minat tersebut semakin meningkat semasa usia remaja.
Sungguhpun saya tidak menerima pendidikan formal dalam bidang masakan, saya tetap yakin dengan kebolehan memasak yang saya peroleh dan pelajari daripada ayah.
"Melalui pengalaman yang ada, saya juga yakin ia dapat membantu saya mendalami dunia masakan," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Berbicara pula mengenai pembabitan secara serius dalam bidang masakan, tutur Nik, segalanya bermula selepas penyertaannya dalam MasterChef Malaysia musim pertama.
Bermula dari situ karier sebagai chef selebriti dikembangkan dengan mengendalikan program masakan seperti Hello Bro...Tolong Masak dan Dapur Panas.
Ternyata Nik tidak hanya bersandarkan wajah yang tampan kerana anak muda ini sememangnya mempunyai aura yang dapat menarik orang ramai untuk menonton program masakan yang dikendalikannya.
Seiring dengan perkembangan positif karier bidang terjunnya itu, hari ini Nik turut memiliki sebuah restoran yang diberi nama Picknik, di Publika Solaris, Kuala Lumpur.
Selepas MasterChef Malaysia, mereka melihat saya punya pengikut dan peminat tersendiri. Jadi, pada waktu itu pihak Astro menawarkan saya menjadi chef santai dalam program masakan, Hello Bro Tolong Masak, yang mendapat maklum balas menggalakkan dan inilah saya hari ini," katanya lagi.
Menambah cerita mengenai minatnya ini, kata Nik, memasak membuatkan dirinya berasa tenang selain dia sendiri memang gemar mencipta resipi baharu yang eksklusif.
Gemar mencipta resipi yang lain daripada kelaziman masyarakat, Nik pastinya akan lebih berpuas hati dan gembira apabila pinggan berisi masakan yang disediakannya habis licin.
Apa yang menarik mengenai anak muda ini, walaupun mahir dalam masakan Itali dan Perancis, dia lebih gemar menikmati sepinggan nasi putih bersama sambal belacan, telur dadar dan sup kosong.
Memperkatakan mengenai dirinya pula, Nik memberitahu sehingga saat ini dia sebenarnya masih lagi bergelar pelajar tetapi telah menangguhkan sementara pengajiannya di Universiti Multimedia sejak dua tahun kerana kekangan masa, apatah lagi setelah pembukaan restorannya.
Masih menyimpan hasrat untuk menamatkan pengajian, Nik berkata selepas segala-galanya stabil dia akan menyambung semula sehingga mendapat ijazah dalam jurusan kewangan.
Agak terkejut dengan perbezaan jurusan yang diambilnya, Nik berkata, ia adalah perancangan masa depan yang juga dipengaruhi oleh bapanya.
Secara jujur penglibatan saya dalam dunia masakan adalah sebaik sahaja saya menyertai MasterChef Malaysia dan ini semua adalah kerana pendedahan serta publisiti cukup meluas yang diberikan.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, saya juga meminati bidang kewangan dan membesar dengan pengalaman bapa saya yang juga seorang bekas CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) sebuah bank. Secara tidak langsung saya terdedah dalam dua bidang ini serentak.
Sekiranya masa depan saya tidak panjang dalam dunia masakan, saya masih lagi punya pengetahuan dalam dunia kewangan," tambahnya sambil tersenyum.
Malah akui Nik, dia masih menyimpan hasrat untuk terlibat dalam dunia perbankan, begitupun buat masa ini tumpuan serta fokus lebih diberikan untuk restoran dan dunia kulinari.
Dikritik chef terkenal
Ditanya mengenai kritikan seorang chef selebriti terkenal yang dikatakan ditujukan padanya dengan mempertikai kelayakannya mengendali program masakan di televisyen, Nik menjelaskan, sedikit pun tidak rasa tercabar dengan kritikan tersebut, malah cukup menghormati chef berkenaan sebagai seorang senior yang jauh berpengalaman.
Secara jujur saya tidak mengenali beliau dan dia juga tidak mengenali saya.Dia mempunyai hak untuk bercakap apa sahaja, malah apa yang diperkatakannya saya terima dan jadikan pengajaran.
Saya tidak berdendam dengannya, malah kisah pun kerana banyak lagi benda yang lebih mustahak yang perlu saya fikirkan," katanya lanjut.
Sudah ada teman istimewa
Semakin dikenali dengan gaya tersendiri, Nik yang juga pernah menjadi hos program Tea Twist di saluran Asian Food Channel (AFC), tidak terkecuali daripada ditanya soalan peribadi.
Tidak menyembunyikan apa-apa, Nik secara jujur mengakui sudah mempunyai teman istimewa.
Biarpun pun sudah agak lama saling mengenali, setakat ini dia belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Ini kerana masing-masing sibuk dengan tanggungjawab serta tugas sehingga tidak sempat untuk memikirkan perancangan masa hadapan.
Kami berdua masih belajar dan untuk itu saya fikir lebih baik kami selesaikan dahulu apa yang perlu diselesaikan.
Apa yang pasti, saya menginginkan sebuah majlis perkahwinan yang cukup sederhana tetapi meriah dan dihadiri hanya ahli keluarga memandangkan ia merupakan saat yang cukup bermakna buat kami," katanya menutup bicara.