Fara Fauzana Ikhlas berhijab


FARA selesa dengan imej terbaharu yang lebih sopan.

TIADA ribut tiada angin kencang yang melanda,tiba-tiba sahaja penyampai radio dan pengacara Fara Fauzana, 34, dikaitkan sedang hangat menganyam cinta dengan seorang pemain bola sepak.

Tampil membuat pencerahan bagi memperbetulkan keadaan, Fara bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya tentang jejaka itu sebagai kekasih hatinya.

“Sejujurnya saya tidak tahu-menahu akan perkara ini. Bagaimana isu ini boleh timbul pun saya tidak tahu. Saya memang mempunyai ramai teman rapat, namun yang istimewa tidak ada buat masa sekarang.

“Saya anggap ini sebagai satu gurauan nakal dari semua pihak yang ingin lihat saya cepat naik pelamin," katanya sambil berseloroh ketika ditemui di majlis pelantikan duta baru Yakult di Seri Pentas, Damansara baru-baru ini.






Ikhlas bertudung

Sementara itu bercakap lanjut mengenai keputusannya untuk bertudung sepenuhnya baru-baru ini, Fara dilihat tenang menjawab dengan mengatakan sudah tiba masanya untuk berubah ke arah kebaikan.

Ada juga yang turut mengaitkan kononnya dia berhijab disebabkan oleh pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar, 35, yang hangat digosipkan bersamanya.

“Saya berubah disebabkan hati ikhlas untuk melakukannya. Ia bukan didorong atau desakan orang lain. Alhamdullilah, semakin ramai yang menerima penampilan saya yang baharu ini.

“Sejak dahulu lagi saya sudah tergerak hati untuk berhijab, dan syukur kini impian saya telah terlaksana juga," katanya.

Fara turut merasakan sejak penghijrahan itu, rezekinya semakin melimpah-ruah dengan pelbagai tawaran yang diterima.

“Sejak saya bertudung litup, sumber pendapatan saya semakin dilimpahi dan saya berasakan ini antara hikmah selepas perubahan positif ini," katanya.






Pemilik nama sebenar Farah Fauzana Mohd Fadzil ini pada awalnya memilih hanya berselendang, belum menutup aurat sepenuhnya. Di saat itu, 'hati keringnya' dan katanya dia langsung tidak kisah dengan kata-kata orang.

“Apa yang saya lakukan ini datang dari diri saya sendiri dan saya ingin berubah ke arah yang lebih baik secara perlahan-lahan dan tidaklah terlampau drastik," katanya.

Turut berkongsi pengalaman terujanya ketika mengayakan pelbagai jenis tudung yang begitu popular yang terdapat di pasaran, hari ini ia semakin rasi dengan dirinya.

“Saya masih belajar cara penggayaan tudung dan setakat ini saya tidak kekok. Dulu memang ambil masa yang agak lama untuk bersiap sebab tidak tahu cara lilit selendang, sekarang sudah semakin pandai dan mudah," ujarnya sambil berseloroh.
Previous Post Next Post