Irma Hasmie tidak keberatan untuk berlakon lagi, jika watak yang ditawar bersesuaian dengan statusnya sebagai isteri dan ibu.
Lama tidak mendengar cerita pelakon dan pengacara, Irma Hasmie apatah lagi selepas dia berhijab dan melahirkan anak pertamanya dahulu, Redza Syah Irfhan.
Baru-baru ini sempena dengan sesi tayangan rancangan bersempena Ramadan di saluran televisyen AlHijrah, kelibat Irma diperhatikan dan nampaknya, perut dia semakin besar.
Bertemu Irma usai majlis, dia memberitahu yang kandungannya kini sudah memasuki minggu ke-35 dan dijangka bakal melahirkan bayi pada 18 Julai ini.
Alhamdulillah, untuk kandungan kedua kali ini, pergerakan saya dalam bidang seni tidak terbatas akibat mengandung. Cuma pergerakan saya sahaja yang menjadi perlahan.
Sebab kandungan kali ini tidak banyak meragam, itu yang agak memudahkan untuk saya bekerja cuma tidak pantas sahajalah," jelasnya.
Tambah Irma, dia bersyukur kerana memang hajatnya untuk kelahiran kali ini adalah anak perempuan.
Saya memang bersyukur sangat sebab bila dah tahu jantinanya perempuan. Saya memang doa untuk dapat anak perempuan dan Alhamdulillah, hajat itu dimakbulkan.
Tapi lambat juga nak pastikan jantina anak kedua ini. Perempuan kan susah sikit nak pastikan jantina. Itu yang bila dah masuk bulan ke enam baru doktor dapat pastikan," jelasnya yang kini mengacarakan rancangan temu bual Assalamualaikum di saluran AlHijrah.
Tambah Irma, kandungan kali ini tidak banyak meragam dan alahan juga kurang berbanding ketika dia kali pertama mengandungkan anak sulungnya yang kini berusia setahun lebih.
Beza kandungan kedua ini adalah daripada segi alahan sahaja. Kandungan yang pertama lagi teruk alahan terutamanya ketika bulan-bulan awal mengandung.
Tapi yang kali ini alahan kurang sangat. Itu pun kandungan kedua ini dah masuk tiga bulan baru tahu yang saya mengandung. Kali kedua ini, badan jadi penat, itu sahaja.
Lepas kandungan sebelum ini saya mesti cepat rasa lapar sebab mengandung anak lelaki. Sekarang ni anak perempuan, makanan saya masih terkawal, meragam pun kurang," ujarnya.
Ditanya tentang persiapan, jelas Irma, untuk anak kedua ini, ia dilakukan lebih sederhana cuma daripada segi pakaian sahaja yang lebih dibeli.
Persiapan hanya daripada segi baju sajalah. Lagipun barang-barang bayi yang sebelum ini semuanya masih boleh dipakai lagi. Jadi kita pakai saja mana yang ada," katanya.
Tambah Irma, dia lebih teruja dengan kelahiran kali ini kerana dia memang mahukan seorang anak perempuan.
Dulu, masa saya mengandung anak lelaki, suami saya, Redza Syah Azmeer yang lebih teruja, tetapi kandungan kali ini, saya pula yang lebih teruja.
Anak saya yang sulung pun dah tahu yang dia bakal dapat adik baharu. Suami saya sering pesan dengannya dan Alhamdulillah, dia tidak merajuk dan sebagainya," jelas Irma.
Komitmen
Melihat perkembangan Irma sekarang, dia nampaknya lebih fokus kepada bidang pengacaraan berbanding dengan kerjaya lakonan yang diceburinya terlebih dahulu.
Jelas Irma, faktor mengandung dan komitmen pada anak yang masih kecil membuatkan dia agak sukar untuk menerima tawaran lakonan.
Anak saya yang sulung masih lagi kecil dan menyusu badan. Jadi, agak sukar untuk saya bawa dia ke set lakonan. Lagipun lakonan memerlukan komitmen sehari suntuk.
Dalam keadaan sekarang, dengan komitmen pada keluarga dan anak-anak, saya rasa bidang pengacaraan sahaja yang boleh saya lakukan," katanya yang kali terakhir berlakon sebelum dia berkahwin kira-kira dua tahun lalu.
Tambah Irma, dia ada menerima tawaran lakonan daripada pengarah dan produksi, tetapi semua ditolak secara baik setelah dijelaskan kedudukannya.
Mungkin jika anak saya sudah besar sedikit dan boleh tinggal dengan nenek, saya akan fikirkan sama ada mahu kembali berlakon atau tidak," jelasnya.
Ditanya kerinduannya pada dunia lakonan, jelas Irma, dia rindu tetapi dalam masa yang sama rasa gugup setelah sekian lama tidak masuk ke set lakonan.
Tentang bidang pengacaraan pula, Irma menafikan yang dia terikat dengan saluran AlHijrah sebaliknya dia masih boleh mengacara untuk mana-mana stesen televisyen.
Sebenarnya saya boleh buat pengacaraan dengan stesen siaran yang lain cuma tidak boleh buat segmen bual bicara seperti yang dilakukan sekarang.
Kalau segmen lain seperti mengacarakan program fesyen atau sebagainya, saya boleh lagi asalkan tidak berlaga konsep dengan program yang saya lakukan sekarang," jelasnya.