Heliza Helmi: Jom Imarahkan Masjid


Heliza Helmi

Melihat kesengsaraan rakyat Palestin dan Syria yang bagaikan tiada kesudahan membuatkan ramai rakyat negara luar terpanggil untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan bagi meringankan keperitan yang sedang mereka lalui.

Pelbagai misi kemanusiaan yang dijalankan dari negara kita khasnya bagi membantu saudara Islam kita di sana yang ditindas di negara sendiri. Penglibatan artis sebagai salah satu penekanan bagi menjayakan misi tersebut untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.

Bagi melahirkan rasa keinsafan dalam diri dan bersyukur dengan nikmat yang diperolehi,satu badan bukan kerajaan (NGO), Transformasi Anak Muda akan mengadakan satu program yang dinamakan Perjuangan Subuh bertujuan untuk mengajak setiap golongan mengimarahkan setiap masjid di sekitar Kuala Lumpur seawal pagi.

Presidennya, Helmi Yusof mengusahakan program ini dengan kerjasama penganjur utamanya iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu bagi membimbing masyarakat untuk lebih mengutamakan masjid dalam segala hal.

“Ini merupakan program pertama yang kita anjurkan dan insya-Allah ada lebih kurang 47 masjid lagi kita akan jelajah di sekitar Kuala Lumpur selepas ini.






“Tujuan utamanya ialah, kita nak kongsi kepada golongan sasaran kita, khasnya orang muda bagi kepentingan solat jemaah di masjid.

“Kita lihat ini merupakan satu platform terbaik untuk anak muda mendapatkan sesuatu yang berharga bagi diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka," katanya ketika bercerita lanjut tentang usaha yang ingin disampaikan dalam program tersebut.

Tambah Helmi, program ini akan sarat dengan pelbagai ceramah berbentuk ilmiah yang sangat berguna.

Ia akan berlangsung pada 20 dan 21 ini di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur akan menampilkan beberapa personaliti, antaranya duta Aman Palestin Heliza Helmi, yang akan berkongsi dengan semua jemaah yang hadir tentang pengalamannya ketika mengikuti misi kemanusiaan di Syria dan Palestin.

“Jika kita lihat, nak bangun subuh itu pun satu perjuangan selepas diulit mimpi. Jadi saya rasa program ini akan melatih kita agar tidak lalai dalam mengerjakan solat yang wajib itu.

“Saya juga akan berkongsi cerita ketika berada di negara bergolak seperti Syria dan Palestin. Saya ingin menimbulkan kesedaran kepada masyarakat kita untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki," katanya.

Selain itu juga, juara Pencetus Ummah musim pertama PU Hafiz akan memimpin qiamullai bermula seawal pukul 4 pagi. Penekanan mengenai keistimewaan solat sunat duha yang merupakan rahsia magnet rezeki akan dibicarakan lanjut oleh ustaz Syed Norhisyam yang juga akan turut mengetuai solat sunat duha.

Kata Hafiz, dia sendiri akan menjadi sebahagian daripada moderator pada hari tersebut dan akan berkongsi pengalamannya sewaktu dalam dunia penyiaran yang berpeluang membuat liputan di Palestin dan Syria.

“Artis dijadikan ikon kepada ramai remaja di luar sana. Jadi dengan penglibatan ramai personaliti televisyen, secara tidak langsung ia dapat memberi contoh terbaik buat golongan remaja," ujarnya.

Kemasukan adalah percuma dan terbuka kepada semua peringkat umur. Waktu pendaftaran adalah pada pukul 7 petang hingga pukul 9 malam.
Previous Post Next Post