Izreen makan hati?



KISAH pergolakan rumah tangga Izreen Azminda, 30, dengan suaminya, Riza Baharudin terus menjadi perhatian ramai, apatah lagi Riza dipercayai melafazkan penceraian ketika Izreen sedang menjalani penggambaran drama Kerana Terpaksa Aku Relakan, baru-baru ini.

Biarpun jurukamera bebas itu menafikan perkara tersebut (lafaz cerai), namun proses penceraian mereka kini telah pun dirujuk ke mahkamah.

Jika menerusi sebuah portal, Riza menafikan pergolakan rumahtangga mereka, sebaliknya berbeza dengan Izreen yang kini bersedia memegang status 'single', memandang hubungan mereka tidak dapat diselamatkan lagi.

Izreen yang ditemui di Kota Damansara, semalam, menegaskan dia akan tetap meneruskan kehidupan seperti biasa biarpun masalah yang dialami belum temui jalan penyelesaian.






Namun begitu, susuk badan Izreen yang semakin kurus, menguatkan lagi dakwaan bahawa pelakon 7 Suami ini sedang 'makan hati' dengan situasi yang melandanya.

"Jujur saya akui, perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan saya. Tetapi saya lebih suka bersikap positif dan enggan mengambil pusing 'cakap-cakap belakang'," katanya yang sudah tidak tinggal sebumbung dengan suaminya sejak sebulan lalu.

Anak sumber kekuatan

Bak pepatah 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul' sesuai diungkapkan dengan keadaan yang dilalui Izreen ketika ini.

Tegasnya, memegang status sebagai ibu tunggal tidak sesekali terlintas dalam fikirannya sementelah kehadiran cahaya mata, Adrian Umar yang kini berusia 11 bulan.

"Tiada siapa yang mahukan kehidupan sebegini apatah lagi anak masih kecil dan tidak memahami apa yang berlaku.

"Selepas bercerai, saya tidak menghalang Riza untuk bertemu dengan anaknya dan tiada sebarang tuntutan hak penjagaan Adrian.

"Saya mahu kami sama-sama besarkan Adrian agar anak kami tidak berasa tersisih biarpun kami berpisah," tegasnya.

Tanpa kehadiran suami di sisi, Izreen kini lebih menumpukan perhatian kepada cahaya matanya dan mahu meluangkan masa lebih lama selepas tamat penggambaran drama tersebut.

"Anak saya adalah segala-galanya. Adrian sumber kekuatan saya dan mungkin tanpa dia saya tidak dapat mengawal perasaan.

"Anak juga banyak mematangkan saya supaya meneruskan kehidupan dengan lebih tenang," katanya.

Dalam masa sama, Izreen juga berkata, dia akan mengambil cuti panjang untuk menenangkan diri sepanjang Ramadan.

"Saya hanya akan menerima tawaran untuk telefilem sahaja, drama mungkin terpaksa ditolak kerana tidak mahu berpisah lama dengan anak," ujarnya yang membawa watak sebagai Indah Harlina menerusi drama Kerana Terpaksa Aku Relakan di slot Akasia, setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 petang.
Previous Post Next Post