Sudirmania antara cinta dan pengorbanan



BIARPUN konsert gergasi Penghibur Nombor Satu Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad di Chow Kit Road sudah 28 tahun berlalu, namun masih ramai yang mengingatinya.

Konsert percuma yang diadakan secara besar-besaran itu benar-benar mencipta fenomena sehingga mencatat sejarah dalam lipatan peristiwa di negara ini.

Kisah konsert 'terbaik sepanjang zaman' itu diangkat ke pentas Lambang Sari, Istana Budaya pada 27 Mei hingga 1 Jun lalu bagi tatapan generasi kini.

Teater muzikal ‘Sudirmania’ menjadikan Konsert Gergasi Chow Kit Road, yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dulu, sebagai latar tempat.

Berlatarkan 1986, teater ini mengisahkan beberapa kumpulan remaja dari kampung, bandar dan pinggir bandar yang terlalu meminati Sudirman dan ingin ke konsert itu.






Teater Muzikal 'Sudirmania' yang berlangsung selama dua jam di Lambang Sari, Istana Budaya benar-benar membuatkan penonton ketawa dan menangis dalam satu masa.

Tanpa pelakon terkenal atau komersial, pementasan ini nyata beri kesan mendalam bukan sahaja penonton bahkan penulis sendiri.

Selepas pementasan 'Ramleefestasi' pada 2012 mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, Revolution Stage (RS) kembali dengan naskhah kedua, tribute khas buat Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, berjudul Sudirmania.

Muzikal ini dikendalikan oleh Ayop Azril sebagai Pengarah Muzik dan menampilkan lebih daripada 20 orang pelakon dari Projek BB; satu kumpulan teater yang dianggotai oleh belia yang cintakan seni persembahan pentas.

Diarahkan pengarah berbakat, Khairunazwan Rodzy teater ini dibarisi pelakon indipendent (indie) seperti Intan Nor Saina, Surnia Fizul, Kirin Muhammad, Mustaqim Mohamad dan ramai lagi.

Teater yang diilhamkan daripada filem Hoore! Hoore!’ itu, 'Sudirmania' sebenarnya memberi penekanan terhadap kehidupan di sebalik sarang maksiat, dadah dan keadaan kotor di Chow Kit.

Berlatar belakangkan Konsert Gergasi Chow Kit Road, 'Sudirmania' mengisahkan tentang beberapa kumpulan remaja iaitu Ramlan, Siti, Tapa dan dua lagi sahabat mereka daripada kampung kecil yang terlalu meminati Sudirman.

Pada masa sama, Ramlan menerima jemputan perkahwinan daripada kekasihnya, Zeti yang tinggal di bandar sehari selepas konsert gergasi tersebut berlangsung.

Manakala watak Yusuf pula, ayah kepada Ramlan, tekad mahu ke bandar berjumpa dengan bekas isterinya dan bertemu di konsert itu.

Lain pula ceritanya dengan tiga orang mat ganja yang menetap di kawasan Chow Kit merasakan konsert itu akan mengganggu ketenteraman kawasan mereka yang selama ini sunyi.

Mereka sepakat untuk menyeluk saku di konsert itu nanti.

Dari segi persembahan lakonan, nyanyian dan tarian pelakon wajar dipuji walaupun ada kalanya suara mereka terjejas dek masalah teknikal.

Begitu juga lagu-lagu nostalgia Sudirman seperti Aku Penganggur, Milik Siapa Hati Ini, Nilai Cinta Mu dan banyak lagi seolah-olah penyanyi berbakat besar itu masih lagi hidup sehingga ke hari ini.

Biarpun ruang pentas agak kecil namun mereka bijak menggunakan kesemua ruang dengan baik tanpa sebarang masalah.

Malah dengan ruang yang minima, mereka menggunakan props kekal iaitu tangga tetapi digambarkan sebagai pentas Sudirman, tempat lepak mat gian, rumah kampung dan juga banglo mewah.

Secara keseluruhan, 'Sudirmania' wajar dipentaskan di skala lebih besar kerana setiap pelakon menjiwai watak dengan baik malah jalan cerita yang sangat menarik.

Bakat terpendam Intan

Sementara itu, lakonan pengacara Astro Arena, Intan Nor Saina, 32, dalam menjayakan watak Zeti begitu berkesan dan wajar dipuji.

Biarpun ia merupakan pengalaman keduanya berlakon teater, namun dia mampu memukau penonton dengan nyanyian yang merdu, mengejutkan ramai pihak.

Malah kemunculan Intan itu berjaya menampilkan sisi lainnya sebagai seorang pelakon dan penyanyi dengan jayanya.

Menurut Intan, dia sebenarnya pernah menghasilkan lagu sendiri seperti Cinta Dalam Rahsia dan Aku Tetap Di sini untuk soundtrack filem Hoopers.

"Selepas persembahan pertama, saya rasa belum puas kerana masih di tahap yang terbaik.

"Lagipun saya agak gementar mulanya kerana ini merupakan pertama kali saya berlakon di Istana Budaya," katanya.

"Bagi drama atau filem, saya sudah lama berlakon namun nama kurang dikenali di media masa.

"Mungkin saya menonjolkan diri kerana lebih suka bersikap low profile.

"Ia lebih bagus sebab saya rasa lebih bebas tanpa sebarang gosip dan kontroversi," katanya turut mengacara rancangan Travelog 3 Hari 2 Malam dan Zon Aktif.

Surnia wajar diketengahkan

Sementara itu, pelakon utamanya, Surnia Fizul Awang Jamain, 26, boleh dikatakan sebagai bakal menggantikan bintang-bintang besar dunia teater.

Tidak dinafikan lakonan, nyanyian malah tariannya begitu lancar di atas pentas seolah-olah dia berada di tahun 80an itu.

Malah bakat Surnia wajar diketengahkan ke dunia komersial, apatah lagi melihatkan kematangan dan persembahan cemerlang daripadanya.

Menurut Surnia, selepas pertama kali mementaskan teater ini di Lambang Sari, kerisauan melanda kerana khuatir akan sambutannya.

"Alhamdulillah. Saya bersyukur dengan penerimaan yang diterima daripada penonton sendiri.

"Generasi muda wajar menonton teater ini, ia bukan sahaja mengenai Sudirman semata-mata tetapi nilai yang diterapkan sepanjang persembahan berlangsung," kata anak kelahiran Sri Aman, Sarawak ini.

Bagi bekas pelajar Aswara ini, teater Sudirmania merupakan kali kedua dipentaskan namun sebelum ini di bangunan Mara, Kuala Lumpur.

Katanya, sambutan agak positif dan jumlah penonton yang hadir semakin bertambah dari hari ke hari.

Kirin menyerlah

Sekiranya mereka yang mengikuti teater karya Revolution Stage, pasti mengenali jejaka kelahiran anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

Pernah berlakon menerusi teater 'Jam Dinding Yang Berdetak' awal tahun ini, Kirin Muhammad sangat menyerlah dari segi lakonan sebagai bapa yang pemabuk.

Kali ini, dia tampil dengan watak bapa kepada Ramlan namun memiliki hati yang tulus kerana cintanya yang mendalam terhadap bekas isterinya, Laila.

Apa yang mengejutkan penulis, Kirin menyampaikan lagu Salam Terakhir dengan bagus dan menjiwai bait-bait lagu tersebut sehingga menusuk jiwa.

Ditanya mengenai wataknya itu, Kirin berkata, wajahnya yang agak matang daripada usia sebenarnya menyebabkan dia sering memegang watak lebih tua.

"Biarpun saya selesa dengan watak sebegini namun, saya risau sekiranya ia menjadi satu stereotaip bagi saya.

"Jika ia berlaku, perkara ini akan menyukarkan perkembangan kerjaya seni saya," katanya yang turut berlakon sebagai watak pembantu menerusi filem CEO disamping Remy Ishak, Beto Kusyairi, Cristina Suzanne, Deanna Yusof dan ramai lagi.

Tambahnya, suara yang merdu menjadi satu lagi pakej bagi untuk terus mara ke industri hiburan tempatan.

Anak muda tak kenal Sudirman

Sementara itu, pengarah merangkap penulis skrip, Khairunazwan Rodzy, berkata Sudirmania sebagai pentas untuk mengembalikan nostalgia lagu Sudirman dalam bentuk yang berbeza.

Menurut Khairunazwan, pementasan ini wajar diadakan kerana sikap golongan muda yang lebih kepada muzik Barat atau K Pop sehingga menenggelamkan nama penghibur serba boleh itu.

"Jika dilihat sekarang ini semakin ramai anak muda kita tidak mengenali lagu-lagu Sudirman yang begitu dekat dengan masyarakat kita.

"Malah ada yang langsung tidak mengetahui sejarah mengenai Allahyarham yang begitu terkenal di Asia suatu ketika dahulu," jelasnya.

Sebagai rakyat Malaysia, tegasnya ia menjadi satu tanggungjawab untuknya mengembalikan zaman kegemilangan Sudirman.

Katanya, ramai juga yang lupa mengenai kewujudan konsert yang telah menempa nama dalam Malaysia Book of Records ini.

"Sudirmania menggambarkan kegilaan penonton kepada penghibur kesayangan mereka itu.

"Amatlah rugi bagi rakyat kita lupa akan arwah yang banyak menyumbang jasa kepada negara terutamanya dalam bidang seni," katanya.
Previous Post Next Post