RAMAI yang mengatakan sekiranya mahu berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi, ia perlu bergerak seiring dengan pengorbanan yang dilakukan. Itu jugalah yang dialami oleh bintang berbakat besar dari Singapura, Shah Iskandar.
Menurut pelakon drama bersiri, Jika Itu Takdirku ini, demi mencipta nama di Malaysia, banyak perkara yang perlu dikorbankan. Malah, pelakon drama popular, Teduhan Kasih ini sempat menasihatkan artis Singapura yang ingin membina kerjaya di Malaysia agar berfikir dengan sebaik mungkin.
"Pengorbanan paling besar terpaksa saya lakukan adalah apabila perlu meninggalkan keluarga di Singapura terutamanya ibu dan adik-beradik lain. "Kadang-kadang, ibu merungut kerana saya tidak sempat untuk meluangkan lebih banyak masa dengannya. "Saya juga perlu meninggalkan kerjaya di sana lantaran tidak punya masa untuk berulang-alik," katanya. Tambahnya lagi, Malaysia turut menawarkan banyak peluang berlakon kerana terdapat pelbagai produksi dan stesen TV.
"Peluang berlakon itu memang banyak, tetapi bagaimana untuk kita mengekalkannya?
"Sebab di sini, terlalu ramai pelakon jadi kita perlu memikirkan strategi agar layak untuk bersaing dengan artis lain mungkin hingga ke tahap 20 tahun lagi. "Pendek kata, kita perlu kekal dengan identiti sendiri," jelasnya.
Shah juga memberitahu dia enggan dibayangi dengan kehadiran aktor popular, Aaron Aziz. Baginya, Aaron adalah satu nama besar yang ada jenama dan identitinya tersendiri.
"Kenapa hendak menggantikan Aaron jika kita boleh menjadi diri sendiri?. "Kejayaannya membina nama di negara ini secara tidak langsung menyebabkan saya mahu bekerja dengan lebih keras. "Jadi, untuk menjadi lebih baik, saya akan rombak semula lakonan dan mengkaji bagaimana hendak mempertingkatkan lagi mutu lakonan sekali gus memperbaiki setiap kelemahan saya," katanya.
Rindu bidang pengacaraan? Dalam pada itu, Shah yang mula mencipta nama sebagai pengacara di Singapura, tekad untuk memberi fokus pada lakonan sejak dia berhijrah ke Kuala Lumpur.
"Di Singapura, saya lebih kepada bidang pengacaraan sehingga pernah dinobatkan pengacara baharu terbaik. "Tetapi, hijrah saya ke sini membuatkan saya nekad untuk menjadi seorang pelakon. "Insya-ALLAH, saya akan terus berlakon hingga ke tahap Datuk Rahim Razali, mungkin dalam tempoh 50 tahun akan, saya boleh menjadi seperti dia.
"Ataupun, seorang insan yang memperjuangkan seni, janji ia dapat meningkatkan industri seni hiburan Melayu," katanya. Jelasnya lagi, jika boleh dia ingin terus mengekalkan identitinya sebagai pengacara di Malaysia, namun visa kerjanya yang hanya terhad untuk berlakon menjadi penghalang kepada keinginannya itu.
"Saya baharu lima tahun tinggal di sini. Saya menggunakan visa pelakon yang perlu diperbaharui setiap tahun. "Tetapi, jika diberi kesempatan, saya ingin kembali semula dalam dunia pengacaraan. "Selama di Kuala Lumpur, saya masih belum terlibat dengan bidang pengacaraan," katanya yang boleh mengacara dalam dwi bahasa.
Baharu saja menerima gelaran Pelakon TV Lelaki Popular, Shah menganggap kemenangan tersebut sebagai satu kejayaan besar buat peminatpeminatnya. Malah, kata pelakon Nora Elena ini, dia akan lebih mendekatkan dirinya dengan peminat terutama kelab peminatnya, Shah Iskandar Riffic, yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.
"Daripada segi populariti, saya akan lebih mendekatkan diri dengan peminat. "Bagi saya, populariti itu sebenarnya tidak perlu dicari kerana ia akan datang dengan sendirinya," katanya yang merancang untuk menambahkan lagi bilangan ahli kelab peminatnya itu.
Dalam perkembangan lain, Shah bakal terlibat dalam penggambaran drama bersiri Plan B di slot Aksi untuk TV3, selain terbabit dengan teater Projek Kahwin di Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun ini.