Majlis pelancaran album Lah Ahmad berjudul Jalan Untuk Kembali di Restoran Sampan, Bayan Mutiara, Pulau Pinang, baru-baru ini.
SELEPAS lama menyepi dan tidak lagi bergandingan dengan kumpulan VE, kini Lah Ahmad atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad mengakui telah menemui cinta sebenar dalam kehidupannya.
Tanpa berselindung, Lah yang ditemui Hits baru-baru ini dalam majlis pra pelancaran album solo sulungnya di sebuah restoran di Persiaran Bayan Mutiara, Bayan Baru, Pulau Pinang memberitahu hidupnya kini lebih tenang dan gembira.
Jelasnya, dia kini merasa amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk kembali menyulam cinta terhadap yang Maha Esa.
Katanya, tidak tergambar perasaannya ketika ini apabila dapat menghasilkan nukilan yang lebih sempurna dalam usaha mendekatkan diri dengan Allah dan Rasulullah S.A.W.
Sebelum ini mungkin saya terlalu leka dengan urusan-urusan duniawi dan terlepas pandang tentang kewajipan sebagai seorang hamba di muka bumi ini.
Banyak lagu yang dihasil dan dinyanyikan dahulu lebih memuji-memuji manusia dan mengagungkan cinta sesama insan.
Namun Alhamdulillah, dengan kesempatan yang diberikan ini, saya dapat kembali untuk mengejar cinta dan mendekatkan diri dengan Allah," katanya.
Tambah Lah, tidak tergambar perasaannya ketika ini apabila diberi kesempatan untuk kembali mengungkapkan cinta dan kasih kepada Allah yang terlalu menyayangi sekalian hamba-hambanya.
Ujarnya, kepuasan dan kegembiraan dalam menghasilkan karya dan menyampaikan lagu-lagu bersifat Islamik memberinya lebih makna sekali gus memberikan dirinya ketenangan dalam kehidupan.
Bukanlah saya hendak menonjolkan diri sebagai seorang insan yang baik. Saya sedar, saya ini adalah 'budak nakal' dan masih banyak yang perlu dipelajari.
Namun apa yang dilalui ketika ini memberikan pengertian yang lebih mendalam dalam hidup saya yang selama ini banyak terleka," katanya.
Boleh download di itunes: https://itunes.apple.com/us/album/jalan-untuk-kembali/id887994684
Boleh dengar lagu di deezer: http://www.deezer.com/album/7915008
Masih mencari ilmu, berdakwah melalui nyanyian
Sedar masih banyak yang perlu didalami bagi menambah ilmu di dada, Lah memberitahu, kekurangannya muncul di hadapan peminat sekarang ini adalah disebabkan banyak menghadiri kelas-kelas dan kuliah-kuliah agama.
Bagaimanapun tegasnya, bidang nyanyian masih tetap diteruskan dan dia masih menerima undangan persembahan cuma tidak segalak dahulu.
Banyak lagi yang perlu saya belajar bagi mencukupkan bekalan hidup di dunia ini.
Namun sekiranya ada tawaran persembahan yang datang, insya-Allah saya akan cuba meluangkan masa tetapi konsep lagu-lagu yang akan dinyanyikan tidaklah seperti di zaman VE dahulu.
Sebagai penyanyi kepakaran saya adalah pada suara dan saya cuba sedaya upaya untuk bersama para peminat khususnya golongan belia untuk terus melangkah mendekatkan diri dengan yang Maha Esa," ujarnya.
Bagaimanapun tegas Lah, sebagai anak seni, dia mungkin tidak akan berpaling dan meninggalkan dunia hiburan tetapi pendekatannya ketika ini adalah lebih kepada berdakwah.
Jika dahulu saya mengajak orang menyanyi dan bersiul-siul dengan lagu-lagu yang memuji manusia tetapi kini semua itu mungkin tidak lagi.
Saya sekarang lebih senang untuk bersama dengan para peminat menyanyikan lagu-lagu yang mendekatkan diri dengan Allah. Inilah cinta sebenar yang saya rasakan kini.
Saya hanya tahu menyanyi dan insya-Allah dengan bakat yang dikurniakan kepada saya ini akan digunakan dengan sebaiknya untuk mengajak masyarakat khususnya peminat saya agar dapat bersama kembali menyulam cinta hakiki terhadap yang maha Esa," jelasnya.
Namun, biarpun kini banyak menghasilkan lagu-lagu bersifat kerohanian di samping terselit sedikit sebanyak pengalaman yang ditempuhi dalam perjalanan hijrahnya, tegas Lah, dia lebih selesa untuk berkongsi rasa hatinya itu melalui lagu-lagu yang dihasilkan.
Saya amat terbuka dan menghargai sekiranya diundang untuk menyanyi kerana kepakaran saya ada di situ tetapi kalau boleh janganlah menjemput saya untuk memberikan ceramah.
Masih belum sampai tahap saya untuk berceramah atau bercakap di hadapan orang berkaitan dengan usaha-usaha dakwah ini kerana banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari dalam kehidupan ini," katanya.