KEMENANGAN Faizul Sany, 29, pada pertandingan program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013) memberi sedikit kejutan kepada pengikut setia rancangan tersebut kerana dua peserta kegemaran ramai iaitu Azhael dan Indah diramalkan bakal menjuarainya.
Bagaimanapun, telah tertulis bahawa rezeki berpihak kepada anak kelahiran Tawau, Sabah itu dan lagu nyanyiannya, Sepasang Sayap ciptaan Amir Jahari mula mendapat perhatian untuk dimainkan di corong-corong radio tempatan.
Untuk seketika, nama Faizul mula meniti di bibir pemerhati industri muzik tanah air dek kejutan yang diperolehnya selaku juara dan wajah kacaknya mula terpampang di dada-dada akhbar mahupun majalah.
Pun begitu, tidak sampai setahun, kelibat jejaka yang aktif dalam sukan ragbi itu semakin samar dan namanya juga sayup kedengaran, sekali gus dikategorikan sebagai salah seorang produk keluaran Astro yang gagal.
Berkesempatan bertemu dengannya ketika majlis sidang akhbar AF2014 baru-baru ini, Faizul bagaimanapun cuba menepis dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa ketidakaktifan dirinya kebelakangan ini bukanlah disebabkan tidak laku, tetapi memberikan sepenuh perhatian terhadap pembikinan album pertamanya.
Sejak tamat AF2013, memang banyak tawaran untuk menjayakan persembahan pentas mahupun program televisyen dipenuhi sehinggakan tidak ada masa untuk berehat atau meluangkan masa bersama keluarga mahupun kawan-kawan.
Namun, apabila memasuki fasa untuk melahirkan album pertama saya, pergerakan seni saya terutama untuk persembahan pentas diperlahankan sedikit demi sedikit agar boleh fokus dengan sesi rakaman lagu dan apa jua kerja berkaitan dengan pembikinan.
Ia termasuklah proses menghasilkan single kedua berjudul Perempuan yang liriknya adalah hasil nukilan saya sendiri, manakala lagu diilhamkan oleh Audi Mok," katanya.
Menurut Faizul, pihak pengurusan menetapkan agar proses penghasilan album yang bakal memuatkan lapan buah lagu itu dapat disiapkan menjelang Ramadan akan datang.
Maka disebabkan itu, dia kini langsung tidak menerima mana-mana tawaran dan secara tidak langsung sepi seketika di persada muzik tempatan. Faizul menambah, selain Audi Mok, komposer lain yang turut terlibat dalam pembikinan albumnya ialah Omar K, Faizal Tahir, Amir Jahari dan beberapa nama lagi.
Pada masa yang sama, Faizul juga selesai merakamkan sebuah lagu bertajuk Cinta Sayang Kamu yang bakal dijadikan sebagai lagu latar sebuah drama terbitan Astro Ceria, duet bersama artis YouTube, Dayang Trisha.
Bukan itu sahaja, jejaka putih gebu itu cukup bertuah apabila dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah untuk menyanyikan lagu rasmi pasukan tersebut yang diberi judul Kasi Gol, bergandingan dengan bekas anggota kumpulan One Nation Emcees iaitu Kozae serta Jimmy Palikat.