Populariti bukan fokus utama Mark Adam


Bersama beberapa rakan seperjuangan pada majlis pelancaran album This Is Mixology Music Volume 1.

Lagu Pencuri dan Si Katak yang mendapat tempat di hati peminat serta corong radio ternyata tidak pernah membuat diri si pendendang karya berkenaan berasa dirinya popular.

Perkara itu diakui sendiri oleh Mark Adam ketika ditemui pada majlis pelancaran album This Is Mixology Music Volume 1 di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Menurut Mark, selagi tidak berada setara dengan idolanya dalam dunia seni, selagi itulah beliau tidak menganggap dirinya berjaya dalam bidang yang diceburinya itu.






“Impian saya adalah ingin menjadi seperti ikon saya dalam bidang muzik iaitu Datuk Sheila Majid dan Zainal Abidin. Mereka sangat hebat,” kata penyanyi yang berasal dari Filipina ini.

Lagipun tegas penyanyi berusia 34 tahun ini, apabila menceburi bidang terbabit, populariti bukanlah sesuatu yang menjadi matlamat utamanya.

“Apa yang saya inginkan, muzik saya diterima dan dapat sama-sama membantu meningkatkan lagi industri seni tempatan,” katanya yang memiliki status warga negara tetap dan dan kad pengenalan sah sejak lebih setahun lalu, selepas lebih 12 tahun menetap di negara ini.






Hasilkan album solo

Tambah Mark, menyedari langkahnya masih jauh untuk berada pada kedudukan itu, beliau kini berusaha untuk memantapkan lagi hasil kerjanya dengan mencipta lebih banyak lagu berkualiti.

Buat masa ini, Mark sedang dalam proses pembikinan album solonya.

“Besar kemungkinan album ini bakal menemui peminat sekitar tahun depan. Bagaimanapun lagu yang bakal dimuatkan belum dapat diputuskan lagi. Apapun kena tunggu pihak Mixology menyelesaikan dulu pembikinan beberapa album lain,” jelasnya.

Ditanya apakah beliau teringin untuk mengembangkan kerjaya nyanyiannya di negara tanah tumpah darahnya, Mark berkata keinginan ke arah itu memang tersimpan di lubuk hatinya.

“Kalau boleh saya ingin merakamkan lagu Inggeris kerana ia lebih sesuai untuk pendengar di sana, selain dalam bahasa ibunda sendiri iaitu Tagalog,” katanya yang baru selesai menjalani program Juara Joran bersama beberapa selebriti lain.

Pada majlis pelancaran album Mixology itu, Mark bersama dua penyanyi lain, Eyza Bahra dan Waris, turut menghiburkan tetamu dengan lagu Hari Raya berentak reggae, berjudul Salam Lebaran.
Previous Post Next Post