Selena Gomez (kanan) dan Justin Bieber.
Walaupun beberapa kali beliau bersikap curang dengan wanita lain, Justin Bieber nampaknya berjaya memenangi semula hati Selena Gomez.
Pasangan penyanyi itu bukan saja dilaporkan kembali intim, bahkan masing-masing difahamkan sangat menyayangi antara satu sama lain.
Sumber memberitahu HollywoodLife.com, baru-baru ini, Bieber, yang teruk ‘dibelasah’ peminat akibat penyiaran dua video yang menyaksikan dirinya menuturkan kata-kata berunsur perkauman, meminta belas ihsan Gomez saat dirinya berdepan saat menekankan itu.
Khabarnya, Bieber benar-benar memerlukan wanita muda berkenaan di sisinya pada saat yang genting sebegitu.
Bieber juga dilaporkan bijak bermain dengan kata-kata manis, hinggakan Gomez sanggup melupakan masalah silam mereka.
Menurut sumber, Bieber memberitahu Gomez dirinya benar-benar merindui bekas kekasihnya itu, selain menyatakan gadis berkenaan satu-satunya insan yang amat memahami dirinya.
Bahkan, Bieber juga dilaporkan berjaya meyakinkan Gomez untuk terbang ke Kanada bagi meraikan sambutan ulang tahun hari lahir bapanya, Jeremy Bieber, pada 7 dan 8 Jun lalu.
“Kata Bieber, sambutan hari lahir bapanya takkan sempurna tanpa kehadiran Selena kerana gadis itu ialah sebahagian daripada keluarga mereka. Bieber juga memberitahu Selena, beliaulah satu-satunya rakan sejiwanya dan dirinya bagai kehilangan tanpa gadis terbabit di sisi.
“Itulah kata-kata yang Selena ingin dengar selama ini, walaupun mungkin beliau pernah mendengarnya sebelum ini. Mereka saling gilakan antara satu sama lain,” kata sumber terbabit.