SETIAP individu pasti mempunyai cara yang tersendiri untuk meraikan ketibaan Syawal. Ada yang masih mengikut rutin tradisi pulang ke kampung untuk melawat kaum keluarga, dan ada juga yang lebih selesa meraikan hari kemenangan seluruh umat Islam itu di ibu kota.
Namun, ada segelintir umat Islam yang berkira-kira untuk menyambut datangnya Aidilfitri di perantauan. Lebih unik, sambutan perayaan tersebut dibuat secara bercuti dan berehat di sebuah pulau yang asing daripada penduduk setempat.
Pelakon genit, Elfira Loy memilih cara itu. Menjadikan pulau sebagai destinasi pilihan setiap kali tibanya Hari Raya, tuan empunya nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri gemar menghabiskan cuti rayanya bersama keluarganya di luar negara.
Katanya, tidak banyak persiapan hari raya yang dilakukan setakat ini. Sebaliknya, persiapan bercuti yang lebih diutamakan.
Lombok
“Persiapan raya saya berbeza dengan persiapan orang lain. Mungkin ada yang sedang sibuk membeli kuih raya dan menempah busana untuk digayakan pada pagi Syawal.
“Tetapi, persiapan saya hanyalah sekadar menempah tiket kapal terbang dan hotel di destinasi pilihan,” ujarnya ringkas ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Astro di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Memilih Lombok, Indonesia sebagai destinasi percutian hari rayanya tahun ini, pelakon yang mula meningkat naik dengan drama bersiri Senja Permai ini gemar menjadikan pulau sebagai lokasi kerana suasana yang tenang dan jauh daripada kesibukan kota.
“Apabila bercuti di pulau, hati saya akan jadi lebih tenang. Sementelah dengan kehadiran keluarga, percutian kami akan lebih bermakna dan menyeronokkan.
“Maklumlah, apabila di Kuala Lumpur masing-masing sibuk dengan kerjaya. Inilah masa terbaik bagi kami untuk merapatkan hubungan sesama keluarga,” ujar Elfira yang memilih Kepulauan Maldives sebagai destinasi Aidilfitri dua tahun lalu.
ELFIRA LOY akan menghabiskan masa meraikan lebaran bersama keluarganya dengan percutian yang dirancang ke Lombok, Indonesia pada raya kedua ini.
Ketika ditanya mengenai aktiviti yang akan dilakukan ketika berada di sana, aktres yang berusia 20 tahun ini berkongsi, mereka sekeluarga amat gemar bermain sukan air selain menjelajah tempat-tempat menarik di Lombok.
“Di sana, perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain memakan masa yang agak lama. Justeru, saya dan keluarga akan memanfaatkan masa yang ada ketika itu untuk menghargai keindahan flora dan fauna,” kata Elfira yang memilih sendiri lokasi berkenaan beberapa bulan lalu.
Melanjutkan perbualan mengenai ziarah hari rayanya tahun ini, Elfira berkata, dia akan pulang melawat sanak saudaranya selepas dia pulang bercuti di Lombok.
“Biasanya, sanak saudara lebih gemar menghabiskan minggu awal bulan Syawal dengan berpuasa enam. Jika pulang ke kampung seperti tidak ada keterujaan untuk meraikan hari raya.
“Jadi, selepas habis bercuti dan mereka sudah habis berpuasa, maka saya akan mula menziarahi dan berhari raya bersama-sama,” ujarnya lagi.
Rezeki skarf
Sejak kebelakangan ini, Elfira dan adik-beradiknya begitu aktif menjalankan perniagaan secara online di Instagram. Antara barangan yang menjadi tumpuan adalah skarf yang direka sendiri oleh anak kedua daripada empat beradik itu.
Menggunakan jenama Twinkle by Elfira, anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu tidak menyangka percubaan pertamanya untuk berniaga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Sewaktu melancong ke Thailand bersama rakan yang menetap di sana baru-baru ini, saya tertarik dengan lambakan pelukis-pelukis yang ada di sana.
“Selain itu, saya juga begitu tertarik dengan gaya serta trend fesyen mereka apabila skarf dijadikan aksesori utama dalam menampilkan imej ketika berpakaian.
“Justeru, terdetik dalam hati mahu membuka perniagaan berasaskan skarf di sini,” ujarnya yang mahu melihat fenomena trend berskarf turut dirasai oleh rakyat Malaysia.
Tutur Elfira, skarf yang dijualnya begitu istimewa kerana corak yang dihasilkan adalah merupakan ideanya sendiri.
“Secara amnya, saya terlibat dalam pemilihan fabrik serta corak yang akan dicetak. Saya sendiri yang melukis serta meminta bantuan kawan untuk memilih warna yang bersesuaian,” katanya lagi.
Walaupun skarf tersebut dijual dengan harga yang agak mahal, dia ternyata terkejut apabila bekalan pertama yang dijual habis dalam masa yang singkat.
“Sejujurnya saya berasa begitu terkejut dek sambutan yang diberikan. Lebih-lebih lagi apabila peminat yang membelinya terdiri daripada golongan wanita berusia. Saya betul-betul terkejut!” luahnya sambil tertawa.
MEMPUNYAI ratusan ribu pengikut di Instagram, Elfira mengambil peluang tersebut dengan melakukan bisnes online yang dikenali sebagai Twinkle by Elfira.
Ketika bercakap mengenai bisnes yang diusahakan oleh rakan selebriti yang lain, Elfira mengakui, barangan yang ditawarkan adalah bersifat eksklusif dan tidak pernah diketengahkan oleh artis lain.
“Memang benar, ramai rakan selebriti yang turut menceburi bidang perniagaan terutamanya yang melibatkan bidang fesyen. Tetapi, bisnes saya lebih memfokuskan tentang skarf dan corak eksklusif yang saya reka sendiri,” ujarnya lagi.
Mengacara
Kelibatnya sebagai pelakon di kaca televisyen tidaklah serancak dahulu. Malah, penglibatannya dalam penerbitan filem juga dilihat tidak semeriah penerbitan drama mahupun telefilem.
Ketika ditebak adakah dia bersifat selektif kerana sering diberikan watak kanak-kanak, bekas peserta rancangan Fear Factor Selebriti ini dengan tegas menepis dakwaan tersebut.
“Kalau diimbas kembali, banyak drama bersiri dan telefilem yang menampilkan saya memegang watak sebagai wanita biasa. Antaranya ialah Dalam Hati Ada Taman.
“Jadi, dakwaan seperti itu tidak benar sama sekali,” ujarnya.
Tambah Elfira, buat masa ini, dia lebih senang untuk mencuba bidang pengacaraan.
“Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa saya bermula sebagai seorang pengacara. Secara perlahan-lahan saya mencuba bidang lakonan kerana ketika itu kurangnya kehadiran pelakon kanak-kanak.
“Jadi untuk projek terbaharu, saya bakal mengacarakan rancangan Mad Markets serta Dunia DD,” katanya yang mungkin akan kembali serius mengacara dalam masa yang terdekat ini.