Kilafairy masih dapat duit raya


MENGADAKAN BBQ pada malam raya sudah menjadi rutin tahunan Kilafairy dan sanak saudara.

SEPANJANG Ramadan, bagai menjadi satu amalan, cara berbuka puasa disambut dengan menikmati hidangan berbuka di hotel yang menyediakan hidangan bufet dengan tawaran harga berpatutan.. Bagaimanapun, ada juga yang memilih untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumah yang disifatkan sebagai lebih selesa.

Namun, buat pelakon genit Kilafairy, 22, berbuka di rumah bukanlah menjadi satu kemestian buatnya dan keluarga. Malah, ibu dan bapa pelakon filem Karak ini sudah memahami tuntutan karier anak gadisnya itu.

Selain itu, Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan berkata, walaupun sibuk dengan kerjaya masing-masing, dia sering berhubung dengan ibu dan ayahnya menerusi aplikasi permesejan Whatsapp.

Dalam temu bual selanjutnya, Kilafairy turut berkongsi mengenai persiapan sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini. Ikuti temu bual selanjutnya.

Kosmo!: Boleh kongsikan pengalaman berpuasa Kila sebagai seorang pelakon?

KILAFAIRY: Sejujurnya, memang penat. Lebih-lebih lagi jika saya terpaksa berlakon dalam cuaca yang sangat panas. Tetapi, saya sudah terbiasa dengan keadaan ini dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan kerja pada bulan Ramadan.

Bagaimanakah anda menyambut Ramadan bersama keluarga?

Setiap ahli keluarga saya mempunyai kerja masing-masing. Justeru, ibu dan bapa saya tidak kisah jika kami tidak berbuka bersama-sama. Mereka sangat faham dengan keadaan masa yang tidak menentu seorang pelakon.

Jadi, adakah anda tidak pernah langsung berbuka bersama?

Oh, tidak juga. Walaupun sibuk, ibu akan pastikan kami berbuka bersama-sama sebelum tamatnya bulan Ramadan.

Jika tidak bertemu dalam satu hari, bagaimanakah anda berhubung antara satu dengan lain?

Saya dan ibu akan menghantar gambar sesama sendiri. Selalunya kami akan bertukar gambar makanan ketika berbuka.

Di manakah destinasi Hari Raya anda tahun ini?

Pada tahun ini, saya akan pulang ke kampung emak dan bapa saya iaitu di Kota Tinggi, Johor dan Jertih serta Besut di Terengganu.

Apakah yang sering dilakukan apabila pulang ke kampung?

Sudah semestinya melawat sanak saudara di sana. Selain itu, saya sering menghabiskan masa bersama sepupu yang sudah lama tidak bersua. Pada masa inilah kami dapat bersembang dan bercerita tentang perkembangan terkini masing-masing. Selain itu, kami turut mengadakan BBQ pada malam raya.

Apakah memori Hari Raya yang paling tidak dapat anda lupakan sepanjang bergelar selebriti?

Tidak banyak memori yang kuat di ingatan tetapi, saya akui ibu dan bapa saya masih memberikan duit raya kepada saya (sambil tertawa).

Apakah hidangan kegemaran anda pada Hari Raya?

Laksa Johor dimasak oleh ibu saya. Setakat hari ini, saya masih dalam proses untuk mempelajari cara-cara memasak hidangan tersebut. Pada pandangan saya, hanya ibu saya sahaja yang mampu untuk membuatnya dengan sempurna.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya bakal menyambung penggambaran drama bersiri Dan Hati Pun Berkata selepas tamat cuti Hari Raya. Drama adaptasi daripada novel yang bertajuk sama ini dibintangi oleh Shah Iskandar, Uqasha Senrose dan Syatilla Melvin.

Ada yang mengatakan anda telah dilamar oleh sebuah syarikat rakaman gergasi untuk dijadikan artis rakaman mereka. Adakah khabar itu benar?

Buat masa ini saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan. Kami masih dalam proses perbincangan dan jika ada rezeki, karier nyanyian saya mungkin akan bermula secara rasmi tidak lama lagi.




Previous Post Next Post