Gary Oldman masih hebat!



ADA pepatah mengatakan 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'. Mungkin itu yang boleh digambarkan buat aktor Britain, Gary Leonard Oldman atau nama pentasnya, Gary Oldman.

Masakan tidak, Hollywood Reporter mengiktiraf pelakon kelahiran New Cross, London, England ini sebagai aktor yang mengumpul bayaran paling mahal dalam sejarah sekali gus mengalahkan nama besar lain seperti Tom Cruise, Bruce Willis, Harrison Ford dan Tom Hanks.

Pengiktirafan yang dinikmati oleh aktor Britain itu adalah kerana penglibatannya dalam pelbagai filem popular seperti siri Harry Porter, Batman Begins (2005), The Dark Knight (2008), A Christmas Carol (2009), Rain Fall (2009), The Book of Eli (2010), Red Riding Hood (2011), Kung Fu Panda 2 (2011), The Dark Knight Rises (2012), Paranoia (2013) dan RoboCop (2014).

Apakah keistimewaan aktor berusia 56 tahun itu sehingga diiktiraf sedemikian rupa? Begitupun, Oldman lebih selesa menyimpan kebanggaan itu dalam hatinya saja.

"Sebenarnya tidak ramai yang percaya saya adalah aktor yang menerima bayaran paling besar dalam sejarah perfileman.

"Saya juga tidak fikir ada sesiapa yang mampu mengatasi rekod ini kerana mereka belum melalui apa yang saya lalui," katanya.

Namun begitu, sepanjang 30 tahun bergelar anak seni, Oldman memberitahu kejayaan terbesarnya apabila menjadi bapa tunggal membesarkan dua anaknya.

"Saya pernah kahwin atau berkahwin semula selama lima tahun tetapi menjadi bapa tunggal selama 10 tahun.

"Membesarkan dua anak sendirian adalah cabaran dan kejayaan terbesar pernah saya alami dalam hidup," katanya.

Kata bekas suami Uma Thurman ini, setiap kali dia melihat anaknya Gulliver, 16, dan Charlie, 14, dia berasa puas serta menganggap mereka adalah kejayaan terhebat.

"Ia memberikan kelegaan apabila saya rasa berjaya melakukan sesuatu yang benar dan berharap mereka akan bahagia," katanya.






Duta produk HTC?

Pada Jun tahun lalu, syarikat pemimpin global dalam inovasi mudah alih HTC melantik aktor Robert Downey Jr sebagai duta produk dengan nilai kontrak AS$12 juta.

Begitu pun, dalam iklan terbaharu HTC, ia menampilkan Oldman sebagai duta baharu mereka sekali gus mempromosikan telefon pintar terbaharunya, HTC One (M8).
Difahamkan, nilai kontrak untuk Oldman sama jumlahnya seperti yang ditawarkan kepada bintang Avengers itu.

Menerusi iklan tersebut, dalam versi pertama, aktor tersebut hanya mengatakan 'Bla, bla, bla, bla' dan dilanjutkan dengan ayat...

Dia kemudiannya meneruskan ayat terakhir yang berbunyi: "Jadi pergilah, tanyakan saja pada internet.

Kemudian, setelah Oldman berbicara, sekitar 20 saat terakhir, iklan itu menampilkan kamera yang perlahan-lahan bergerak kepadanya sambil menggunakan M8.

Berlawan dengan mawas

Dalam perkembangan lain, Oldman bakal muncul dalam filem terbarunya, Dawn of the Planet of the Apes mulai 10 Julai ini.

Selain Oldman, filem ini turut membariskan Keri Russell, Judy Greer, Andy Serkis, Kodi Smit-McPhee, Enrique Murciano, Toby Kebbell dan Kirk Acevedo.

Filem arahan Matt Reeves, mengisahkan negara yang semakin berkembang dengan kemunculan genetik mawas diketuai Caesar.

Mawas ini diancam sekumpulan manusia yang terselamat daripada virus yang dahsyat sedekad yang lalu.
Previous Post Next Post