Datuk Siti Nurhaliza
HANYA beberapa hari sahaja lagi umat Islam di seluruh dunia akan meraikan hari mulia, Syawal setelah sebulan berpuasa.
Bagi figura tersohor kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini masih belum terlambat beliau berkongsi mengenai kisah Ramadannya tahun ini.
Meskipun telah mengambil keputusan bercuti atau merehatkan diri setiap kali Ramadan, namun insan yang diberi nama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini tidak pernah melupakan peminatnya.
Sebaliknya, dia tidak jemu-jemu melayan mereka di media sosial terutamanya perkara berkaitan album dan produk SimplySiti.
Yang pasti, kesudian beliau meluangkan masa bersama peminat sangat menggembirakan mereka.
Mengakui Ramadan bulan yang sentiasa dinantikan, penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Jerat Percintaan ini berkata, beliau gembira kerana tahun ini lebih banyak masa dihabiskan bersama keluarga tercinta.
Katanya, kesempatan yang ada digunakan sebaik mungkin untuk bersama selain menyediakan hidangan berbuka puasa untuk keluarga.
"Alhamdulillah, hasrat saya untuk berehat di bulan Ramadan tertunai dan saya berterima kasih kerana semua memahami keinginan saya walaupun banyak undangan yang tidak dapat saya penuhi dan terpaksa ditolak.
"Lagipun, sudah terlalu banyak masa yang saya tumpukan kepada seni sepanjang tahun ini, jadi inilah masa saya untuk berehat seketika," katanya ia sebagai satu hadiah kepada diri sendiri dan keluarga.
Akui isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K ini, antara juadah kegemaran anak-anaknya di bulan Ramadan adalah Ketam Masak Telur Masin.
"Untuk bersahur pula, cukuplah makanan ringkas seperti telur goreng, tetapi mestilah ada sesuatu yang pedas," katanya bersyukur ibu mertua rajin menyediakan juadah berbuka.
Beraya di Melbourne
Tidak lengkap rasanya tidak berkongsi mengenai persiapan Syawal penyanyi berusia 35 tahun ini.
Meskipun terpaksa ke Melbourne, Australia pada hari raya pertama untuk menghantar anak tirinya, Adib Khalid yang melanjutkan pelajaran di negara Kanggaru itu, namun beliau masih akan pulang ke tanah air secepat mungkin.
Jelasnya, dia sangat berharap tahun ini dapat meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur, Kuala Lipis dan Kedah.
"Sudah pasti kemeriahan hari raya di luar negara dan di Malaysia tidak sama, tetapi saya tidak kisah kerana masih banyak waktu untuk bertemu sanak-saudara," katanya.
Bercerita mengenai baju rayanya pula, akui Siti, dia tidak pernah risau kerana Siti Nurhaliza Collection Raya bersama Ariani akan menjadi pilihan.
"Alhamdulillah, saya sendiri selesa menggunakan koleksi pakaian ini yang mendapat sentuhan Rizman Ruzaini," katanya masih dalam perbincangan dengan suami mengenai sambutan Syawal mereka.
Selain itu, Siti juga akan bercuti seminggu dan hanya memulakan tugasan seni seperti biasa selepas tempoh tersebut.
Terkilan nama disalah guna
Mengakui sambutan tudung dan selendang Siti oleh Ariani menggalakkan, beliau melahirkan rasa syukur dan gembira kerana ia terus mendapat tempat di hati pembeli.
"Alhamdulillah, walaupun pelbagai koleksi tudung dan selendang ada di pasaran namun ia tidak memberi kesan kepada tudung dan selendang Siti sehinggakan ada koleksi tersebut yang telah diulang cetak.
"Sempena Ramadan dan Syawal pula, pihak Ariani tidak ketinggalan mengadakan promosi dan peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh peminat saya untuk mendapatkan pada harga lebih rendah," katanya.
Di sebalik keterujaan dengan itu, Siti turut meluahkan perasaan terkilan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan namanya.
"Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini menggunakan nama saya untuk untuk menjual tudung dan selendang mereka adalah tidak wajar.
"Sebagai peniaga mereka tidak harus menipu pelanggan dan ia sesuatu yang perlu dielakkan," katanya pihak Ariani turut kesal dengan perkara ini.
Lagu untuk Datuk K
Baru sahaja muncul dengan lagu terbaru, Jaga Dia Untukku, menurut Siti, lagu tersebut menceritakan mengenai perasaannya ketika menghadapi saat getir sewaktu suaminya, terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.
“Lagu ini adalah pengalaman yang saya gambarkan ketika suami terlibat dengan kemalangan. Pelbagai perasaan sedih dan hiba diluahkan dalam lagu ini.
"Sehinggakan saya membuat keputusan berhenti bernyanyi selama empat bulan untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada suami.
"Waktu itulah, saya minta Aubrey Suwito (komposer) dan kakak ipar saya, Rozi yang mengetahui kejadian sebenar mencipta sebuah lagu mengenainya," katanya kecewa dengan pelbagai spekulasi yang timbul terhadap suaminya ketika itu.
Tambahnya, pengalaman tersebut bagaimanapun banyak mengajarnya erti kesabaran sebagai isteri dan pastinya memberi hikmah kepada kehidupannya kini.
Ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya, Fragmen, di Le Meridien Hotel, KL Sentral, baru-baru ini, Siti memberitahu, album tersebut memuatkan lapan buah lagu yang sarat dengan nilai kasih sayang, semangat dan rasa cinta dalam perspektif yang lebih luas termasuklah Jaga Dia Untukku.
"Saya harap nila-nilai positif yang diterapkan dalam album ini dapat dihayati pendengar," katanya album ini menceritakan mengenai kehidupannya berada 19 tahun dalam industri seni.
Album ini turut memuatkan lagu seperti Aku, Mula dan Akhir, Kau Sangat Bererti, Sanubari, Terbaik Bagimu, Warna Dunia dan Membunuh Benci.
Menariknya, album itu turut menerima Anugerah Platinum apabila jualan album mencecah 5,000 unit dalam masa seminggu dikeluarkan.