KEDATANGAN Syawal pastinya menggembirakan seluruh umat Islam di dunia, tidak terkecuali aktor popular kelahiran Singapura ini.
Menurut bapa kepada tiga anak ini, Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dahlia Arissa, tiada apa yang lebih istimewa apabila meraikan hari mulia itu bersama isteri dan anak tercinta.
Yang pasti, Aidilfitri yang diraikan cukup berbeza jika dibandingkan ketika zaman bujangnya dahulu.
"Sebelum kahwin memang saya tak pernah kisah nak pakai baju apa, warna apa dan sebagainya.
"Malah, saya sendiri lebih selesa mengenakan baju Melayu dan jean sahaja," kata empunya nama Aaron Mustapha Aziz ini.
Lebih dikenali sebagai Aaron Aziz, baginya, sama seperti selebriti lain yang sudah berkahwin, segalanya sangat berbeza selepas bergelar suami dan ayah.
"Lebih-lebih lagi bila ada anak ramai, ada ketika saya perlu berpakaian sedondon dengan mereka dan isteri pula memang gemar menggunakan warna yang sama untuk kami semua setiap kali raya," katanya anak-anak adalah paling sibuk setiap kali menjelang Aidilfitri.
Pelakon KL Gangster ini mengakui apa yang dimiliki tidak bermakna jika tidak dikongsi bersama keluarga tercinta.
"Kemeriahan Syawal tidak akan lengkap tanpa mereka. Lagipun apa yang saya ada hanya untuk mereka.
"Saya yakin, mana-mana keluarga pun akan berasa tidak sempurna tanpa insan tersayang di sisi," katanya.
Berkongsi mengenai persiapan rayanya tahun ini, jelas Aaron, setiap tahun persiapan akan diserahnya kepada isterinya, Diyana Halik.
"Untuk persiapan saya akan serahkan semua kepada dia, ini termasuklah daripada kelengkapan baju raya anak-anak, duit raya dan lain-lain," katanya mempunyai tiga pasang baju untuk isteri dan anaknya, Dwi.
Manakala baginya dan Danish pula, baju Melayu mereka dibeli dari Jakel.
"Saya bertuah kerana ini tahun kedua saya ditaja Jakel, untuk tahun ini sahaja mereka sudah sediakan 12 pasang baju Melayu dari pelbagai warna," katanya.
Sibuk di malam raya
Bercerita rutin hari rayanya, pelakon berusia 38 tahun ini memberitahu, dia akan mula sibuk bermula malam raya lagi.
"Biasanya saya akan membeli kek-kek kegemaran malam tersebut dan membeli capal untuk anak-anak.
"Manakala Dwi pula akan menolong masukkan duit raya ke dalam sampul. Boleh dikatakan malam tersebut pelbagai aktiviti akan dilakukan," katanya menjadi aktiviti wajib dia dan Danish menunaikan solat raya setiap tahun.
Katanya, selepas solat barulah dia dan keluarga akan ke rumah nenek isterinya.
"Tahun lalu adalah giliran beraya di rumah keluarga saya, jadi tahun ini giliran Diyana pula.
"Kami mengamalkan sistem giliran supaya masing-masing berpuas hati dan tidak timbul salah faham antara kedua pihak," katanya.
Tambahnya, dia seronok beraya bersama keluarga sebelah Diyana memandangkan isterinya itu mempunyai keluarga yang besar.
"Keluarganya lebih kecoh berbanding keluarga saya yang kecil, sebab itulah kemeriahan lebih dirasai apabila bersama mereka," katanya.
Pindah rumah baru
Dalam pada itu, Aaron memberitahu, dia dan isteri tidak membuat persiapan lain di rumah kerana mereka akan berpindah ke rumah baharu Oktober nanti,
"Setakat ini kami hanya selesaikan kelengkapan raya seperti pakaian dan keperluan untuk pulang ke Singapura sahaja.
"Lagipun kalau buat persiapan lebih di rumah sekarang, bimbang pula sukar hendak berpindah nanti," katanya akan membuat majlis rumah terbuka di kafe barunya, Kids & Creme Cafe yang terletak di Setia Alam.|
Berkenaan bajet raya pula, Aaron berkata, dia tidak pernah mempunyai bajet yang tetap.
"Walaupun tidak mempunyai sebarang bajet tetapi saya dan isteri tetap akan berjimat cermat.
"Sebagai contoh, Diyana akan memakai baju baru pada tiga hari raya dan selepas itu dia akan memakai baju tahun sebelumnya memandangkan masih ada yang belum digunakan," ujarnya wajib hidangkan juadah seperti lodeh, serunding dan rendang setiap kali Aidilfitri.