Ashraf Muslim Bahagia selepas ribut



MATA pelakon Mohd. Ashraf Muslim, 33, hanya menatap wajah anak sulungnya, Sarah Ashraf yang berusia dua bulan ketika sesi fotografi diadakan bersamanya di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anaknya sentiasa berada dalam dakapan Ashraf, langsung tidak kekok. Sementara dua isterinya Noor Dayana Lokman, 27, dan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, sedang bersolek, Ashraf leka melayan kerenah Sarah tanpa jemu.

Kata Ashraf, selepas kontroversi perkahwinan keduanya bersama Sakinah, kehadiran Sarah umpama magnet yang menyatukan mereka semua.

"Sarah amat membahagiakan saya. Secara automatik isteri pertama, Dayana dan isteri kedua, Sakinah menjadi rapat sebaik sahaja Sarah lahir.

"Itu merupakan doa dan impian saya, akhirnya ia berlaku seiring dengan kelahirannya. Sarah amat beruntung kerana dia mempunyai ibu (Sakinah) dan mama (Dayana) yang amat menyayanginya," ucap Ashraf.

Enggan mengambil pusing pandangan orang sekeliling terhadapnya, ujarnya, dia berusaha untuk menjadi seorang bapa yang baik dan suami yang adil kepada kedua-dua isterinya.

"Saya tidak fikir orang cakap apa. Susahlah hidup saya kalau bergantung kepada cakap orang sahaja. Lebih baik saya menjaga hati keluarga dan memohon doa yang terbaik daripada Allah.

"Dalam apa sahaja yang saya lakukan, saya harus berfikir untuk berlaku adil dan menjaga hati semua," akuinya sambil memberitahu bukan mudah untuk menjaga hati dua isteri.

Bercakap soal poligami, ia satu isu yang amat sensitif. Ashraf menjadi contoh apabila dia dilemparkan dengan pelbagai tohmahan oleh peminat yang tidak berpuas hati terhadapnya.

Namun, kata Ashraf, sebelum ini apa sahaja yang dilakukannya nampak salah pada mata orang ramai walaupun dalam undang-undang Islam poligami itu tidak salah selagi lelaki itu berkemampuan.

"Dugaan yang datang cukup besar kepada saya tetapi saya tidak berhenti berdoa. Alhamdulillah, hari ini semuanya berjalan dengan baik.

"Bagi saya paling penting adalah komunikasi dan didik isteri supaya dekat dengan Allah. Selain itu, berlaku adil. Saya harap kebahagiaan yang saya ada hari ini akan berkekalan," luahnya.


DAYANA (kiri) mengaku sebagai wanita normal, ada terbit rasa cemburu terhadap Sakinah, manakala Sakinah memberitahu dia tidak akan mengganggu giliran Ashraf bersama madunya itu.

Dayana tetap cemburu

Melihat peribadi Dayana, orangnya agak pendiam tetapi tidak lokek memberikan senyuman. Andai sudah mengenalinya, Dayana seorang yang mesra.

Memikul status isteri pertama pada usia 27 tahun bukanlah sesuatu yang mudah. Ramai wanita yang kasihan dengan nasib yang menimpa Dayana.

Bagaimanapun, Dayana yang bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Kuala Lumpur meminta orang di luar sana supaya berhenti kasihan kepadanya kerana dia cukup bahagia dengan keluarganya hari ini.

"Saya mengaku mula-mula dapat tahu tentang Sakinah, memang saya sedih. Bohonglah kalau saya kata saya tidak sedih.

"Bukan mudah untuk menerimanya, tetapi saya belajar reda dengan apa yang berlaku. Suami juga memberi kekuatan untuk saya menerima kehadiran Sakinah," balasnya.

Beritahu Dayana, dia memohon doa di hadapan Kaabah supaya hatinya boleh menerima kehadiran Sakinah ketika Ashraf membawanya menunaikan umrah sekitar Februari tahun ini.

Sekembalinya ke Kuala Lumpur, hatinya mula tenang tetapi hubungannya dan Sakinah bertambah rapat sejak kehadiran Sarah pada 5 April lalu. Kini, mereka umpama rakan baik.

Namun, apabila disoal tentang cemburu, Dayana terus ketawa. Sudah tahu apa yang ingin disoal, kata Dayana, setiap wanita ada cemburunya, dia tidak terkecuali.

"Ya, saya cemburu. Itu normal. Semua wanita mempunyai rasa yang sama terhadap suami. Jika tidak cemburu, ada sesuatu yang tidak kena pada wanita itu," luah Dayana bersahaja.

Sakinah tidak kisah berkongsi kasih

Menjadi isteri kedua, secara automatik apa yang dilakukan Sakinah nampak tidak kena pada mata masyarakat. Sedar dirinya dilemparkan pelbagai tohmahan, Sakinah hanya memejamkan mata dan memekakkan telinga saat dia sedang sarat hamilkan Sarah.

Walaupun terasa hati dengan tulisan orang ramai di internet tentang dirinya, suaminya merupakan kekuatannya untuk terus bertahan.


ASHRAF bersyukur dengan jalan hidup yang Tuhan tentukan buat dia dan keluarga. Kehadiran anak sulungnya, Sarah dari isteri keduanya, Sakinah telah membuat rumah tangganya yang pernah dilanda kontroversi menjadi lebih baik.

Saat Sarah lahir ke dunia, semuanya berubah 360 darjah. Kehidupannya semakin bahagia, hubungannya bersama madu, Dayana juga semakin akrab. Bahkan mereka berdua berkongsi tanggungjawab menjaga Sarah.

"Sudah tertulis rezeki saya untuk mendapat anak terlebih dahulu, tidak salah untuk saya berkongsi anak saya bersama Dayana.

"Saya ibu, dia mama kepada Sarah. Jika Dayana tidak bekerja, dia akan ke rumah saya untuk menjenguk Sarah. Saya bersyukur kerana dia sayangkan anak saya seperti anaknya sendiri," balas Sakinah.

Tutur Sakinah, sebagai isteri kedua, dia sedar tempatnya di mana. Isteri pertama harus didahulukan dalam setiap perkara meskipun dia terlebih dahulu mempunyai anak.

"Apabila saya buat keputusan untuk berkahwin dengan Ashraf, saya sudah tahu risiko dan dugaan yang bakal datang.

"Justeru itu, saya harus lebih berdikari. Andai tiba giliran Dayana, jika tidak ada kecemasan saya tidak akan menghubungi Ashraf," katanya.

Malahan, ketika majlis akikah Sarah yang diadakan di kampung halaman Ashraf di Melaka pada 21 Jun lalu, mereka berdua berganding bahu membuat persiapan untuk majlis berkenaan.

"Kami pergi membeli-belah bersama dan membahagikan tugas masing-masing. Seronok ada rakan yang boleh dibawa berbincang dan saling membantu untuk persiapan majlis.

"Saya berdoa dan berharap agar kami sentiasa bahagia seperti hari ini. Terima kasih kepada Allah kerana mengurniakan Sarah buat kami semua," ucap Sakinah.

Ramadan dan raya

Ramadan tahun ini, Ashraf mengurangkan aktiviti seninya untuk memberi tumpuan kepada ibadah puasa dan masa bersama keluarga.

"Bulan puasa merupakan bulan untuk umat Islam menggandakan pahala. Bagi saya berlumba-lumba untuk berhabis wang makan di hotel dan restoran merupakan satu pembaziran.

"Kami sekeluarga akan berbuka sedikit sahaja dan menunaikan solat tarawih. Selepas itu barulah kami akan berbuka dengan makanan yang lebih berat. Saya juga berusaha untuk khatam al-Quran bersama dua isteri dalam bulan Ramadan," kata Ashraf.


ASHRAF akan membawa dua isterinya pulang ke kampungnya di Melaka pada Aidilfitri pertama sebelum bergilir balik ke rumah keluarga Dayana dan Sakinah.

Sakinah pula tidak kekok membawa Sarah ke masjid untuk menunaikan solat tarawih. Katanya, rugi rasanya tidak ke masjid kerana anak kecil.

"Bagi saya ketika anak kecil, elok untuk membawanya ke masjid kerana secara tidak langsung kita mendidiknya untuk bersolat.

"Ada hari ketika Sarah tidak meragam saya dapat buat lapan rakaat. Namun, jika Sarah meragam terpaksalah buat seberapa yang boleh sahaja," tutur Sakinah.

Lebaran tahun ini, menurut Ashraf mereka sekeluarga akan pulang beraya di kampungnya di Melaka terlebih dahulu sebelum dia membuat giliran beraya di kampung Dayana dan Sakinah.

"Biasanya, saya akan membawa mereka pulang ke kampung saya, selepas itu barulah saya fikir akan ke mana. Cuma pagi raya itu kami akan berkumpul di rumah ayah saya," ucapnya.

Soal persiapan semuanya diserahkan kepada dua isterinya. Katanya, bila tiba hari raya, kaum wanita dan kanak-kanak yang lebih meriah.

"Persiapan kami sama sahaja dengan keluarga yang lain. Rasanya kami akan memakai pakaian sedondon tetapi belum tahu warnanya. Makanan wajib yang harus ada adalah rendang.

"Selebihnya raya adalah untuk mengeratkan silaturahim antara keluarga. Jadi, saya akan membawa dua isteri saya dan anak melawat saudara-mara," terangnya.




Previous Post Next Post