BAND punk rock, Subculture meraih penghormatan apabila jenama kasut antarabangsa, Converse Malaysia bersetuju untuk bekerjasama dalam menggerakkan industri muzik indie tempatan bersama-sama.
Kolaborasi antara Subculture dan Converse Malaysia telah bermula pada bulan Mei lalu. Kerjasama tersebut bukan sahaja dalam bentuk sokongan produk tetapi juga melibatkan aktiviti-aktiviti lain seperti kempen promosi, bengkel khas (workshop) dan juga siri jelajah yang dijangkakan bermula selepas bulan Ramadan ini.
"Kami berharap dengan sokongan pihak Converse Malaysia ini, ia akan dapat memajukan lagi industri muzik indie tempatan yang perlu mendapat perhatian yang sewajarnya," ujar ketua Subculture, Azreen.
Tambahnya: "Saya sangat teruja kerana Converse merupakan satu jenama yang sangat besar dan sinonim dengan muzik punk rock yang kami bawakan."
Menurutnya lagi, kerjasama antara Subculture dan Converse Malaysia ini sebenarnya adalah suatu gandingan yang amat padu.
"Ini kerana Subculture merupakan nama yang tidak asing lagi dalam kelompok muzik punk rock.
"Ia juga sejajar dengan kempen global Converse yang mana ia sentiasa meraikan bakat-bakat muzik tempatan, terutamanya yang mengarah kepada genre muzik indie," ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai Subculture, Converse Malaysia dan aktiviti mereka boleh didapati di laman media sosial, Facebook subculturemalaysia/converse malaysia dan Instagram, Subs365/conversemy.