ALBUM Kalimah Lebaran memuatkan lagu-lagu dendangan (dari kiri), Ihab Ismail, Azmir Arif dan Razis Ismail bersama Noraniza Idris.
SEPERTI pesona seni persembahan ragam tari zapin yang bermula dengan taksim (langkah tari mula) disusun indah bunga-bunga tari dan gerakan lincah kaki penari yang kemudiannya ditutup kemas dengan wainap (langkah tari akhir), begitu juga, ironi dunia seni Noraniza Idris.
Jatuh bangun dirinya selama ini dalam memperjuangkan irama tradisional dan etnik kreatif sejak tahun 1990-an sehingga kini, membuktikan dia tidak pernah kenal erti jemu dan kalah.
Namun begitu, senario kemunduran muzik Irama Malaysia membuatkan penyanyi kelahiran Kluang, Johor itu patah hati.
Adakalanya, perjuangan Noraniza tidak disambut sepenuhnya oleh generasi muda yang disasar menjadi sandaran utama.
"Aliran muzik sekarang tidak sama seperti dulu. Memang suatu ketika dahulu, muzik irama Malaysia masyhur dan menjadi ikutan tapi sekarang pelbagai pengaruh sudah ada.
"Misalnya, lagu Enjut yang saya gabungkan dengan muzik rap bersama kumpulan The Fabulous Cat empat tahun lalu, ramai yang tidak tahu bahawa intipati utama yang saya ingin ketengahkan adalah kesenian kuda kepang.
"Risau juga kalau saya masukkan elemen lain dalam lagu berikutnya, penerimaan pendengar lari dan mereka akan keliru dengan hala tuju saya.
"Maka, lagu itu akan menjadi lagu semasa saja, tidak kekal lama dan akhirnya terkubur," ujarnya yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang akhbar album Kalimah Lebaran di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Suami minta berhenti
Noraniza atau lebih dikenali dengan sapaan Kak Ani, 46, pernah menjulang genre tersebut suatu ketika dahulu.
Enam buah album studio miliknya, Ala Dondang, Masyhur, Bekaba, Iktiraf, Aura dan Sawo Matang menjadi bukti bahawa kecintaannya dalam irama tradisional sentiasa subur.
Hasil itu belum dihitung pembabitannya dalam acara-acara besar hiburan tempatan dan antarabangsa, misalnya Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik yang menobatkannya sebagai pendukung suara pop etnik terbaik.
Industri hiburan bagaimanapun bakal sepi daripada dendangan lagu Irama Malaysia tidak lama lagi memandangkan Ratu Etnik Kreatif itu meng- umumkan yang dia bakal berundur dari dunia seni penghujung tahun ini.
"Kalau ditanya mengenai keharmonian rumah tangga saya, hingga kini saya dan abang (suami) tidak pernah bergaduh. Namun, dia pernah menyuarakan panda- ngan supaya saya berhenti menyanyi pada tahun ini dan memperbanyakkan amal ibadah.
"Saya tidak mahu cakap saya mahu bersara terus atau berhenti sepenuhnya, nanti takut bila saya kembali menyanyi ada pula yang mempertikaikan keputusan tersebut.
"Namun, saya masih akan terbabit dengan tugas-tugas belakang tabir dan menggilap bakat baharu untuk menggalas tanggungjawab saya sebelum ini.
"Sedih memang sedih tapi saya berjanji kepadanya untuk buktikan usaha saya selama ini tidak sia-sia dan hasrat saya mahu menjadikan penutup siri jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara penghujung tahun ini menjadi yang terbaik dalam karier saya.
"Kemudiannya, saya akan perla- han-lahan mengikut dia," luahnya sebak.
Siri jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara telah memulakan langkah pada bulan Mei lalu dan akan menjelajah ke beberapa buah zon di Malaysia untuk menjadi kumpulan tarian zapin terbaik untuk dipertandingkan ke peringkat nusantara.
Kemuncak acara itu ialah perlawanan antara wakil Malaysia menentang kumpulan-kumpulan lain dari Singapura, Indonesia dan Brunei pada 21 September depan.
Sementara itu, mengimbas kembali perkembangan rumah tangga penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri itu, Kak Ani telah memutuskan untuk berkahwin dengan bilal sebuah masjid di Singapura, Juffri Hudi, 55, pada Oktober 2011.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Kak Ani dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Mohd. Aliff Haiqal, 25, dan Mohd. Alfeeq Haiqal, 20. Juffri pula merupakan seorang duda empat anak.
Pak Ngah, Kalimah Lebaran
Kak Ani dan Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah bagai sebuah paduan menjadi yang saling melengkapi. Lihat sahaja magis yang tercipta hasil gabungan dua ikon irama pop tradisional itu seperti lagu Dikir Puteri, Dondang Dendang dan Hati Kama.
Kak Ani dalam perkembangan sama menyasarkan impian untuk mengeluarkan beberapa buah single irama Malaysia berkolaborasi dengan pemuzik terkenal itu.
"Kami sudah berbincang mengenai album tradisional yang mungkin akan dilancarkan penghujung tahun nanti termasuk konsep dan pembaharuan dalam muzik. Insya-Allah, saya juga akan turut menyanyi selain artis naungan saya yang lain," tambahnya.
Titik tolak kolaborasi semula Kak Ani dan Pak Ngah bermula menerusi album mini terbaharunya, Kalimah Lebaran apabila komposer itu diberikan tanggungjawab men- cipta single yang menggabungkan tiga penyanyi itu.
Album mini Kalimah Lebaran memuatkan single Kalimah Lebaran itu sendiri selain dua single nyanyian Ihab Ismail berjudul Akar Kita Zapin dan Pahlawan Zafana.
"Kali terakhir saya merakamkan album raya adalah pada tahun 2009 dan album mini ini dihasilkan kebetulan sempena promosi siri jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara.
"Alhamdulillah, Pak Ngah berminat untuk membantu dan dia menghasilkan lagu Kalimah Lebaran untuk saya nyanyikan bersama penasihat produk Rohana Kasih Enterprise yang juga penyanyi veteran, Razis Ismail dan penyanyi baharu, Azmir Arif," katanya.
Album Kalimah Lebaran diterbitkan sendiri oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. dan edaran oleh Luncai Emas Sdn. Bhd.
Mahu Shila Amzah
Dalam pada itu, menyuarakan hasrat sama untuk menyemarakkan kembali muzik irama tersebut kata Kak Ani, dia menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan penyanyi popular Shila Amzah.
"Hati memang teringin untuk berduet dengan Shila Amzah memandangkan bapanya ND Lala juga sudah lama memberikan lampu hijau tapi rasanya sukar kerana dia sudah jauh melangkah ke hadapan.
"Apabila industri sudah berubah, saya perlu menghormati penyanyi terkini dan sudah pasti saya berbangga dengan pencapaiannya sekarang.
"Apa yang pasti, Shila yang saya kenal sejak dari kecil merupakan penyanyi lagu irama tradisional yang bagus dan saya tidak sabar untuk mendengar dia menyanyikan lagu genre itu di China," kata- nya yang telah menaruh harapan sejak tahun 2011 lagi.