
ADA transisi berbeza kepada penyanyi berbakat ini. Untuk kali ini, langkahnya dalam dunia hiburan tanah air tampak sedikit laju.
Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan Najwa Mahiaddin kini semakin berani untuk keluar, meneroka dan mengenal dunia hiburan tempatan selepas dilihat tidak begitu menyerlah menerusi karya sulungnya Innocent Soul .
Biarpun namanya meniti di bibir peminat ketika pertama kali memperkenalkan diri dalam dunia seni dengan seleksi lagu antaranya Got To Go dan Impian Terindah, untuk seketika kehadiran gadis berusia 28 tahun ini dalam arena muzik negara agak kabur.
Menyedari dia perlu hadir dengan menjawab mengapa keadaan itu berlaku, Najwa ternyata sudah bersedia. Memandangkan pelajaran menjadi komitmen utamanya waktu itu, Najwa akur menjalani kehidupan seorang pelajar sarjana muda di Kolej Muzik Berklee, Boston, Amerika Syarikat (AS) selama tiga tahun.
"Ini bukan soal saya tidak berani atau tidak bersedia untuk memberi tumpuan kepada kerjaya seni. Jangan pula salah anggap saya tidak mahu bertemu dengan mana-mana media dan enggan menerima publisiti.
"Sebagai artis tidak mungkin saya menolak publisiti kerana saya tahu kepentingannya untuk kerjaya seni saya namun tugas sebagai pelajar membataskan saya untuk kerap muncul di media.
"Meski berulang-alik dari AS ke Malaysia, waktu yang ada untuk saya berada di sini agak terhad. Jadi saya utamakan keluarga dahulu. Sebab itulah saya tak dapat memenuhi permintaan teman-teman media yang mahu memberi publisiti untuk saya di akhbar atau majalah," katanya.
Menolak andaian bahawa dia bersikap memilih kasih dan hanya mahu bekerjasama dengan media tertentu untuk tujuan promosi, Najwa menganggap perkara itu tidak wajar dijadikan isu.
"Macam saya katakan, waktu terhad. Dan ya, saya selektif. Tetapi tidaklah sampai memilih kasih. Selektif yang saya maksudkan adalah dari segi komitmen.
"Kalau boleh saya tak mahu hampakan permintaan media cuma saya memang tak sempat buat sesi fotografi. Harap-harap tiada yang salah faham atau berkecil hati. Apa pun, saya sebenarnya sudah cuba yang terbaik," katanya.
Telah sebulan kembali ke Malaysia, anak ketiga daripada empat beradik ini mengakui, dia kini sedang menyusun atur strategi muziknya.
"Kalau segalanya berjalan lancar saya akan memberi sepenuh perhatian untuk perkembangan muzik saya di sini dan di luar negara," katanya lagi.
Tuduhan yang merimaskan
Menyelami hati Najwa, penyanyi pelapis genre soul & blues ini sebenarnya sudah cukup masak dengan pertanyaan dan kaitan diri dengan profil tinggi kedua-dua ibu bapanya.
Najwa tidak terlepas daripada usikan tipikal dan nakal yang mengandaikan dia mampu mengukir kejayaan pada hari ini kerana sokongan dan pengaruh besar daripada keluarganya.
"Selalu sangat saya dituduh begitu. Jujur saya katakan, kadangkala rasa rimas juga apabila sering diusik begitu. Tapi saya selesa ambil langkah untuk berdiam diri kerana saya percaya pada kebanyakan waktu, berdiam itu lebih baik daripada kita penat berbicara panjang," ujarnya.
Berkongsi cerita kata Najwa, dia hairan melihat sikap sesetengah masyarakat yang suka mengaitkan hal begitu berbanding berbicara soal kerjayanya.
"Pernah berlaku peminat berkongsi video muzik saya di Facebook atau Twitter dan sebagainya. Mereka kongsi mungkin sebab suka dengan lagu tersebut. Tetapi yang menghairankan saya, ada pula orang yang komen di video muzik itu dan kaitkan dengan bapa saya.
"Paling kelakar mereka kaitkan saya dengan politik dan menganggap saya juga pandai berpolitik sama seperti bapa. Ingin saya tekankan, walaupun bapa adalah ahli politik tidak semestinya saya perlu ikut jejak langkah dia.
"Saya di sini sebagai penyanyi dan berusaha untuk mengembangkan muzik saya. Kadangkala saya fikir macam tak masuk akal mereka nak cakap pasal politik dengan saya," katanya.
Mengaku dia pada awalnya agak skeptikal apabila asyik dihujani dengan pertanyaan, kritikan dan sindiran yang serupa kini dia sudah lali dan boleh tertawa mengendalikan ‘permainan’ lucu itu.
Rendah diri
Dalam pada rimas dengan keadaan itu, Najwa bagaimanapun terharu apabila ada yang menyifatkan dia antara artis yang masih berpegang dengan budi bahasa dan santun orang Melayu.
Sentiasa dilihat sebagai individu yang gemar bersikap rendah diri kata Najwa, dia sudah biasa begitu lantaran dididik sejak kecil untuk menjadi individu yang tidak ego dan sombong .
"Yang orang lihat memang itulah karakter diri saya. Kami sekeluarga sebenarnya menjalani kehidupan macam orang lain.
"Namun saya faham andai kata ada yang hadir dengan persepsi kurang senang terhadap diri saya, itu pastinya kerana mereka tidak mengenali siapa diri saya yang sebenar.
"Saya tidak pernah mencanang-canang siapa keluarga saya. Malah saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Saya lebih senang jika mereka kenali saya kerana saya. Bukannya kerana siapa orang tua saya," ujarnya.
Eksperimentasi Seri Mersing
Punya bakat yang berpotensi besar, selepas tiga tahun terperuk dalam dunia buku dan pembelajaran ilmiahnya di kolej, Najwa lega kerana EP berjudul Aurora kini telah dipasarkan.
Antara bukti komitmen seriusnya dalam bidang muzik, Najwa punya visi dan misi tersendiri dalam merubah pandangan peminat yang selesa mengenalinya dengan genre retro, soul dan R&B sebelum ini.
Tidak menolak bahawa itu adalah satu eksperimentasi berani daripadanya kata Najwa, Aurora memperlihatkan transisi imejnya yang lebih matang dan segar.
"Kesemua lagu dalam EP tersebut menyaksikan permainan eksperimen genre elektronik dan R&B. Pertembungan muzik ini adalah sesuatu yang baru dan saya sedar tidak semua orang boleh dengan mudah menerimanya terutama orang Malaysia.
"Tetapi saya suka mencuba. Sebab itu saya pilih Seri Mersing sebagai salah satu eksperimen lagu yang menyaksikan pertembungan elektronik dengan irama tradisional," katanya yang bernaung di bawah syarikat rakaman Nada Biru Muzik.
Bagaimanapun akuinya secara peribadi dia terkejut kerana sambutan terhadap lagu Seri Mersing agak memberansangkan dan punya peminatnya yang tersendiri.
"Paling saya tak sangka daripada cuma sebuah lagu projek tugasan di kolej kini dijadikan antara buah tangan baru untuk peminat saya menerusi EP Aurora," katanya yang juga punya perancangan untuk muncul berkolaborasi bersama adiknya, Farhan Yassin Mahiaddin untuk satu projek lagu yang akan dilancarkan selepas raya nanti.
Mahu peminat berfikiran terbuka menerima naskah Seri Mersing dalam pertembungan dua genre berbeza tersebut, Najwa bersedia untuk menerima sebarang kritikan mengenainya.
Pun begitu tidak mahu peminat melatah terlalu awal Najwa memberitahu, niatnya cuma mahu mengangkat sesuatu yang segar dalam irama tradisional Melayu dan melihat sejauh mana strategi eskperimentasi sedemikian mampu mengubah corak penerimaan muzik Melayu terhadap generasi baru.