Zizan Razak: Emma tiada kaitan



TERKEJUT! Itu gambaran yang diberikan oleh Zizan Razak apabila melihatkan rakan kongsi dalam syarikat Wirefame Entertainment Sdn. Bhd. membuat sidang akhbar minggu lalu ketika dia berada di Jepun.

Meskipun terkesan dengan sidang media itu, Zizan menganggap perkara tersebut seharusnya tidak menjadi heboh dan boleh diselesaikan secara baik antara dirinya dengan Marina Juki.

"Kalau boleh saya tak mahu komen apa-apa tentang perkara berkenaan. Ini hal dalaman syarikat dan tak sepatutnya dihebohkan kepada umum sehingga perlu buat sidang media.

"Sejujurnya saya terkejut macam mana sidang media diadakan dan keadaan sampai jadi macam ini. Kita yang menguruskan syarikat dan kita jugalah yang sepatutnya menyelesaikan cara baik," jelas Zizan.

Pun begitu Zizan menghormati cara Marina menyelesaikan masalah dengan cara tersebut dan dia sendiri juga tidak mahu membiarkan isu itu menjadi lebih parah.






Dalam nada yang cukup serius Zizan berjanji akan menyelesaikan pelbagai perkara yang dibangkitkan dalam tempoh terdekat ini.

Terdahulu dalam sidang media yang diadakan pada 26 Jun lalu menjelaskan mengenai tiga perkara berbangkit meliputi isu penyelewengan wang syarikat, pengurusan Wirefame dan pembekuan akaun syarikat.

Zizan dikatakan mengarahkan pihak bank untuk membekukan akaun syarikat dan perkara tersebut menimbulkan kerumitan kepada pihak pengurusan dan artis naungan Wirefame termasuk Kaka Azraf dan Johan As’ari.

Ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut, Zizan memberitahu mahu menyelesaikan dahulu perkara tersebut sebelum memberikan maklum balas kepada semua pihak.

Pun begitu Zizan ada menyatakan rasa kurang senang apabila nama kekasihnya, Emma Maembong turut terheret sama ke dalam kemelut yang masih tidak berkesudahan ini.

Dia menegaskan Emma tidak terlibat langsung dalam permasalahan ini memandangkan kekasihnya itu tidak ada kena mengena dalam pengurusan Wirefame.

"Kenapa nak kaitkan Emma dalam soal ini? Ini antara saya dan dia (Marina) memandangkan kami adalah rakan kongsi untuk syarikat tersebut. Emma tak ada kena mengena.

"Soal pembekuan akaun syarikat itu akan saya uruskan secepat mungkin. Harap selepas ini tak akan menimbulkan masalah kepada artis-artis lain," tegas Zizan lagi.

Bukan bermasalah

Selepas empat tahun bersama Melodi, minggu lepas (29 Jun) adalah hari terakhir Zizan menjadi hos bersama rancangan hujung minggu tersebut. Dia yang membuat pengumuman itu secara langsung pada program tersebut dilihat sebak.

Namun ada suara-suara sumbang mengatakan kontrak Zizan bersama rancangan tersebut tidak diperbaharui kerana pelbagai isu dan masalah yang timbul sejak akhir-akhir ini.

Terkejut dengan tuduhan tersebut, Zizan menegaskan perkara itu tidak pernah menjadi sebab untuknya ‘disingkirkan’ daripada Melodi sebaliknya pengundurannya itu adalah proses biasa untuk mana-mana hos sekalipun.

"Siapa yang cakap macam itu? Saya tak lagi mengacarakan Melodi disebabkan kontrak saya tamat dan bukannya disingkirkan seperti yang didakwa.

"Isu kontrak tamat ini pun sudah diketahui antara saya dan pihak penerbit. Bukan bermakna minggu lepas baru saya tahu saya tak disambung sebaliknya sudah diketahui awal. Jadi tak timbul isu," jelasnya.

Meskipun begitu Zizan tidak menafikan perasaan sedih bercampur baur saat dia mahu meninggalkan program yang dikendalikan bersama-sama Awal Ashaari itu.

Baginya Melodi sudah menjadi seperti keluarga dan pastinya kenangan itu akan diingati sebagai momen manis buat pelawak ini.

Terbaru Zizan baru sahaja menyelesaikan penggambaran program Jejak Jepun untuk siaran Astro.
Previous Post Next Post